JTR mengalu-alukan tuan puan untuk membaca tulisan dalam blog ini bagi manfaat tuan puan
Photobucket

Sabtu, 4 Disember 2010

Kemiskinan Yang Akhirnya Melemaskan

Posted by Abu Hannan On 10:41:00 PTG 9 comments



Selepas 5 bulan berlalu, rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan isu kenaikan harga petrol dan barang. Jika dahulunya melibatkan 5 dalam 1, tetapi kali ini dengan edisi yang berbeza iaitu 4 dalam 1 yang  melibatkan petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG) dan gula. Saya bukanlah orang politik yang mahu berkempen, bahkan bukan pula penganalisis ekonomi dunia. Saya juga tidak menerima apa-apa elaun dari tulisan ini. Saya adalah rakyat  Malaysia yang tidak memiliki rumah banglo mewah. Apatah lagi mewarisi saham syarikat keluarga. Saya hanyalah rakyat marhaen. Suara saya mewakili mereka yang merasai akibat kenaikan harga tersebut.


BUMI BERTUAH
Ketika mula-mula menjejakkan kaki ke bumi anbiya’ Jordan ini, terdetik perasaan alangkah bertuahnya saya lahir di bumi Malaysia. Sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang majmuk dan kaya dengan hasil bumi yang pelbagai. Benarlah, “hujan batu di negara sendiri”. Masakan tidak, katakan sahaja apa yang anda mahu makan di Malaysia, semuanya ada. Makanan yang mewakili pelbagai negara seperti Perancis, Itali, India@mamak, Jepun, Cina, Arab, anda memang boleh memperolehinya di Malaysia. Tetapi berbeza dengan keadaannya di tanah arab ini. Anda tidak mempunyai pilihan yang banyak. Anda terpaksa belajar membiasakan diri dengan makanan rutin mereka yang berasaskan gandum iaitu roti.

Itu baru dari satu sudut, belum lagi dilihat dengan kekayaan hutan dan tumbuhan yang kita perolehi di Malaysia jika mahu dibandingkan dengan padang pasir dan tanah gersang disini. Ketika rakyat Malaysia mengeluh kerana cuaca panas, kita masih lagi dikurniakan oleh Allah yang menurunkan sang hujan. Tetapi di tanah arab yang panas terik ini, hujan merupakan rahmat Allah yang sangat besar nilainya. Rakyatnya akan keluar beramai-ramai untuk merasai nikmat hujan yang hanya kira-kira 20 minit itu. Itu pun hujan turun ketika penukaran musim empat bulan sekali. Begitulah uniknya tanahair kita.

YANG MISKIN SEMAKIN MISKIN
Tetapi kenaikan harga yang terpaksa kita hadapi pada hari ini, seolah-olah negara kita telah kehilangan kekayaan sumber. Kata pemimpin negara kita, “rakyat perlu berjimat cermat”. Ya, satu saranan yang baik dari kerajaan. Kerana Islam sendiri menegah umatnya daripada melakukan pembaziran. Jadi saya memahami hasrat murni kerajaan itu. Tetapi tidakkah kita semua tahu, di sebalik kekayaan hasil sumber negara yang kita ada pada hari ini, masih ramai lagi rakyat miskin yang memerlukan pertolongan? Bagaimana harus saya aplikasikan saranan kerajaan tadi pada keluarga si miskin? Selama ini pun mereka sudah cukup berjimat dengan makan sehari sekali. Apakah dengan kenaikan ini menuntut mereka makan dua hari sekali untuk memenuhi hasrat kerajaan agar berjimat? Maka menderitalah mereka yang sudah mempunyai hutang keliling pinggang kerana terpaksa berhutang lagi, ibu-ibu tunggal terpaksa meninggalkan anak di rumah kerana berkerja lebih masa, suami isteri bertegang leher akibat ke’sesak’kan wang belanja dan pekerja terpaksa diberhentikan kerana majikannya ingin berjimat. Saya juga mendengar rintihan ramai anak muda yang kini takut untuk berkahwin disebabkan bimbang dengan kehidupan selepas kahwin. Bayangkan, mahar sahaja sudah mencecah belasan ribuan. Itu belum termasuk perbelanjaan bagi menyara keluarga sesudah itu. Bagaimana saya harus memahami hal yang seperti ini?


Sebaliknya yang perlu berjimat cermat terlebih dahulu sebenarnya adalah menteri-menteri dan pegawai kerajaan!  Subsidi mereka yang perlu ditarik dahulu. Di dalam rakyat menderita dan menangis, mereka masih lagi duduk selesa dengan kerusi empuk mereka. Di saat rakyat terpaksa berpeluh dan berhimpit di dalam bas, mereka tetap menaiki kereta kerajaan yang menaja penuh minyak untuk ke destinasi. Ketika rakyat mula mencatu beras, mereka sedang menikmati layanan VIP dan makanan sedap di hotel mewah. Di waktu rakyat terpaksa menggadai harta benda, mereka sedang berkira-kira untuk claim sana sini. 

PEMIMPIN MENJADI IKUTAN
Pemimpin yang berjiwa rakyat adalah pemimpin yang merasai kesusahan dan keperitan yang terpaksa rakyat hadapi. Mereka mengutamakan rakyatnya terlebih dahulu melebihi kepentingan peribadi. Pemimpin yang menangis bersama disaat rakyatnya ditimpa musibah. Hal ini mengingatkan kita pada Amirul Mukminin Saidina Umar bin al-Khattab r.a, khalifah Islam yang kedua selepas kewafatan Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. Sejarah telah membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan merendah diri. Baginda sangat kasihkan rakyatnya sehingga dikisahkan ketika beliau dijamu sajian daging, Umar r.a tidak mahu makan kerana bimbangkan jika ada rakyatnya yang masih belum dapat memakan daging (ketika itu hidangan daging adalah istimewa). Beliau mahu memastikan terlebih dahulu agar rakyatnya dapat memakan daging, barulah beliau menjadi orang yang terakhir memakannya. Apabila waktu malam, beliau akan menyamar sebagai orang biasa dan meronda untuk memastikan jika ada rakyatnya yang sedang menangis kelaparan. Inilah sifat keluhuran seorang pemimpin agung.

Sifat ini diwarisi oleh cucunya, Umar bin Abdul Aziz yang menjadi khalifah di waktu pemerintahan bani Umayyah. Beliau juga seorang pemimpin yang sangat menitik beratkan masalah umatnya. Di awal perlantikannya sebagai khalifah, Umar bin Abdul Aziz menangis sehingga tidak mampu berdiri. Beliau amat takut jika di akhirat kelak rakyatnya akan menuding salah padanya. Namun, pemerintahannya sangat dikagumi kawan dan lawan. Beliau berjaya mengagihkan kekayaan negara secara adil dan mengembalikan hak-hak rakyatnya. Disebabkan itu diwaktu pemerintahan beliau, tiada orang yang berhak menerima zakat. Atau maksud lainnya, tiada orang miskin waktu itu! Tiada juga masalah dan jenayah kecurian berlaku. Sehinggakan kerajaan ketika itu mengiklankan sesiapa yang tiada wang untuk berkahwin, dibolehkan mengambil wang itu di baitulmal.

Ketika beliau sakit dan dihujung hayatnya, orang telah bertanya padanya“Wahai amirul mukminin, tidakkah engkau ingin mewasiatkan sesuatu pada anak-anak mu?” Jawab Umar bin Abdul Aziz “Apa yang aku ingin wasiatkan, sedang aku tidak memiliki apa-apa.” Lihatlah, betapa hebatnya pentadbiran Umar bin Abdul Aziz. Pemerintahannya hanya memakan masa dua tahun setengah, tetapi beliau mampu menukar dunia Islam keseluruhannya ketika itu. Beliau kembalikan hak dan harta rakyat tanpa mengambil sedikit untuk kepentingan dirinya. Kerana beliau bimbang jika ditanya Allah tentang kepimpinannya di akhirat kelak.

Inilah ciri-ciri pemimpin yang kita dambakan buat tanahair Malaysia. Seorang pemimpin itu tidak memerlukan bangunan yang tinggi bertingkat-tingkat atau binaan yang mewah untuk diingati rakyat, tetapi cukuplah dengan kebaikan yang dilakukan untuk rakyatnya, nescaya namanya itu akan terus diingati dan disebut walau 100 tahun lagi. Bahkan rakyat akan sentiasa mendoakan diatas jasa-jasa beliau. Sebagaimana kejahatan firaun terus diingati sehingga hari ini, begitulah juga kebaikan jika dilakukan. Janganlah memberi alasan bahawa kenaikkan harga gula disebabkan gula membahayakan kesihatan. Itu bukanlah jawapan yang bijak daripada mulut seorang pemimpin. Saya berharap agar kekayaan negara dapat diagihkan secara adil agar nikmat yang Allah beri dapat kita rasa bersama. Kembalikan hak rakyat. Mungkin rakyat boleh menghakimi anda pada pilihanraya umum, tetapi jangan lupa bahawa Allah pula akan menghakimi anda di akhirat nanti. 

Wassalam.

Sulaiman an-nuuri,
Krew JTR,
Uni.Al-Albayt, Jordan.
28 Zulhijjah 1431.

9 Komen:

salam, ulasan yang sngat baek ya akhil karim...semoga antum semua diberi ilmu yang shaheh sehgga dpat tercurah dalam tulisan sperti ini bahkan lebih kelak...salam dari bumi lampung..Indonesia.

Salam...

Kupasan yg baek..masih adakah lagi legasi kepimpinan spt umar yg sentiasa risau trhdp kebajikkan rakyatnya...

Syukran ats perkongsian..

Pemimpin yang adil dan amanah adalah dambaan setiap dari rakyat. Tertarik dengan cerita dari seorang sahabat arab dari Oman, menceritakan berkenaan kebaikan Perdana Menteri Qatar Sheikh Hamad bin Jassim bin Jaber Al Thani, memberi secara percuma rakyatnya menggunakan elektrik, air dan biasiswa kepada pelajar-pelajarnya. Alangkah indahnya kekayaan Malaysia juga diagihkan secara baik kepada rakyat...

assalamualaikum saudara,
saya bersetuju dgn pndgn saudara!
alangkah indahnya kehidupan di zaman pemerintahan tersebut,
pemimpinnya adil dan saksama, sama sekali tidak menindas rakyat..
entah bila negara kite akan jadi seperti itu..wallahualam..
apa yg berlaku sudah tentu ada hikmahnya..
Allah Maha Mengetahui.
smoga Hidayah terus menyinari jiwa2 yang mendambakan rahmatNya

Seharusnya... untuk mencapai impian kita sebagai salah seorang individu dalam masyarakat, doa adalah penting selain percubaan merubah diri sendiri ke arah yang terbaik, amanah, adil dan saksama. Justeru jika dia bermula dari diri kita, insyaALlah akan lahir satu generasi beriman yang akan mempinpin negara sekaligun menguruskan keperluan muslim dan bukan muslim secara adil. =)

renungan yang baik.. terima kasih atas topic dikupas..... islam pegangan hidupku...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Setiap perlaksanaan yang menegakkan kebenaran akan sentiasa menempuh onak dan duri.Yang berkuasa berada diatas tetapi yang hak itu tetap hak.

Segala Puji Bagi Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

saya bukan orang miskin,saya orang biasa je,tapi saya rasa situasi kewangan saya sangatla menyedihkan,ditambah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,harga barang keperluan semua mahal,saya terpaksa catu makan sehari sekali je sebab saya bujang,bukanla saya tiada duit untuk makan sehari dua kali,tapi sebagai seorang perempuan saya ada banyak keperluan lain yang perlu dibereskan.bukan sahaja harga makanan mahal,malah semua benda lain pun mahal sampai tahap nak basuh baju pun saya bajet2 tuang sabun basuh baju tu sebab satu kerja la pulak nanti nak beli sabun ngan softlan je.sebagai orang biasa saya rasa tempiasnya,macam mana la ye orang lain yang bertaraf miskin atau berpendapatan rendah

Catat Ulasan

Pada pendapat anda?

Perjalanan

Tembusi Petra, Jordan Slideshow: BenTaleb’s trip was created by TripAdvisor. Create a free slideshow with music from your travel photos.
Sabda Baginda SAW ; "Ketahuilah ia (Dajjal) berada di laut Syam atau laut Yaman.. akan datang dari arah timur (lalu menunjukkan dengan tangan baginda).."[Riwayat Muslim]. Daripada Abi Bakr al-Siddiq r.a, sabda Baginda SAW, "Dajjal akan muncul ke bumi dari arah timur bernama KHURASAN." [Riwayat al-Tirmizi]. Daripada Anas bin Malik r.a, sabda Baginda SAW, "Dajjal akan keluar dari kota Yahudi ISFAHAN (Khurasan, IRAN) bersama 70,000 penduduk ISFAHAN". [Fath al-Rabbani Tartib Musnad Ahmad. Ibn Hajar berkata : "Sahih"]. Ibn Kathir berkata, Dajal pada mulanya akan muncul dari ISFAHAN dari sebuah kota Yahudi [al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim]. ISFAHAN adalah sebuah bandar terbesar YAHUDI di Iran dan pusat loji nuklear Iran pada masa kini.