Ada beberapa orang mencadangkan agar saya menyentuh sedikit apa yang disebut minggu lepas oleh seorang akvitis tarekat yang menulis mengenai penangkapan saya dalam kolum di bawah saya ini.
Bagi saya, adalah perkara biasa untuk ahli tarekat tidak selesa dengan saya kerana beberapa artikel saya sebelum ini turut mengkritik budaya meminggirkan rasional atau budaya taklid buta yang sering berlaku dalam banyak tarekat sehingga pengikut melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh ‘syeikh’ mereka tanpa bertanya lagi dalilnya.
Namun persoalan yang besar yang sering ditimbulkan ‘siapakah Ahlus Sunnah wal Jama’ah?”. Oleh kerana jenama ini begitu laku, bahkan ia juga sering dijadikan senjata, maka banyak pihak mengistiharkan jenama ini milik mutlak mereka dan sesiapa yang menentang mereka bererti terkeluar dari Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Mereka ini mengingatkan kita kepada Napoleon Banaparte yang berkata: “I am France and France is me”.
Maka ramailah orang mendakwa Ahlus Sunnah wal Jama’ah, walaupun jika ditanya mereka apakah itu Ahlus Sunnah wal Jama’ah mereka meraba dan terpinga mencari jawapannya. Atau jika diberikan jawapan, ia mempunyai kepentingan yang tersendiri.
Sehingga kelompok tarekat yang sering mencetuskan dakwaan berbagai-bagai termasuk konsep ‘wahdatul ujud’ (kesatuan tuhan dengan makhluk) yang dilaungkan oleh Ibn ‘Arabi juga mendakwa mereka Ahlus Sunnah wal Jama’ah.
Lebih sedih lagi, ada yang mendakwa “Ahlus Sunnah hanya yang ikut mazhab Syafi’e”. Kalau demikian, habislah terkeluar imam-imam lain seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam Ahmad dari kalangan Ahlus Sunnah wal Jama’ah!.
Sehinggakan mereka yang tidak qunut pun dikeluarkan dari Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Maka barangkali tiga perempat dari umat Islam ini terkeluar dari Ahlus Sunnah wal Jama’ah.
Padahal istilah Sunnah di sini merujuk Sunnah Nabi s.a.w yang merangkumi penghayatan al-Quran dan sunnah, maka ahli sunnah ialah mereka yang menghayati hakikat ini. Sementara perkataan jama’ah merujuk kepada para sahabat Nabi s.a.w dalam ertikata lain menghayati al-Quran dan Sunnah seiring dengan jalan yang ditunjukkan oleh generasi agung Islam iaitu para sahabat. Sesiapa yang yakin bahawa al-Quran dan Sunnah adalah pegangan mereka sementara penghayatan para sahabah adalah panduan mereka, maka mereka adalah Ahlus sunnah wal Jama’ah (lihat: al-Mausu’at al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa al-Ahzab al-Mu’asarah, 40-54, WAMY).
Maka dengan itu berbagai mazhab fekah sekalipun ada perbezaan pandangan mereka tidak dikeluarkan dari Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Ini seperti kata ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi (wafat 429H):
“Maka termasuk dalam golongan ini mereka yang mengikut al-Imam Malik, al-Imam Syafi’i, al-Auza’i, al-Thauri, Abu Hanifah, Ibn Abi Laila, Abi Thaur, Ahmad bin Hanbal, Ahli Zahir dan sekelian yang beriktikad dalam bab yang menggunakan akal berdasarkan prinsip-prinsip tauhid sifat. Mereka tidak mencampur-adukkan sedikit pun dengan bida’ah ahli hawa nafsu dan sesat” (al-Baghdadi, al-Farq bain al-Firaq, m.s 314-315, Beirut: Dar al-Ma’rifah).
Jika kita lihat di sini, Mazhab Zahiri yang hanya berpegang kepada zahir nas sahaja dikategorikan sebagai Ahlus Sunnah, apakah tidak qunut, letak tangan atas dada ketika solat, tidak berwirid beramai-ramai selepas selepas solat terkeluar dari Ahlus Sunnah?!
Lihatlah, wakil JAIS dalam temubual Utusan menyebut antara ciri sesat itu mereka yang membicarakan pecahan tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah, Asma dan Sifat. Namun dalam ciri-ciri Ahlus Sunnah wal Jama’ah yang dikeluarkan oleh WAMY, bahkan sukatan UIA, sukatan sekolah negara kita dan kebanyakan universiti di dunia ini, itulah ciri manhaj kefahaman tauhid Ahlus Sunnah yang diajar.
Sejak saya sekolah rendah, dalam usrah, dalam buku akidah Presiden PAS, dalam buku sekolah Kerajaan UMNO dan di negara-negara Arab, di UK, US dan Eropah itulah bentuk perbahasan akidah Ahlus Sunnah yang diajar.
Hari ini wakil JAIS dalam temubualnya dengan Utusan menyatakan itu bukan akidah akidah Ahlus Sunnah bahkan dikaitkan dengan akidah penyembah berhala. Akhirnya, dikaitkan dengan wahabi. Kalau begitu telah lamalah kita semua wahabi.
Saya amat dukacita, jika golongan agama itu suka menjadikan senjata kafir mengkafir, sesat menyesat sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan dan diri, akhirnya umat yang musnah. Izinkan sekali lagi saya menyebut perkataan Prof Hamka:
“Kadang-kala dikatakan Kaum Muda tidak hormat kepada ulama. Padahal yang mereka katakan ulama itu bukanlah Imam Malik atau Imam Syafie, tetapi beberapa pegawai kerajaan yang memakai serban dan jubah. Dan beliau pun merasakan dirinya ulama kerana pada tangannya sudah ada surat tauliah”. (Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s. 66).
Daripada cerita tauliah pergi ke cerita wahabi. Setiap yang berbeza pendapat dengan mereka yang memegang kuasa agama dilebelkan wahabi.
Minggu lepas Pengarah Jais menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh masuk masjid kerana mereka bagaikan wanita haid. Dalam keadaan ramai bukan muslim salah faham terhadap Islam, fatwa seperti ini dikeluarkan.
Padahal pada zaman Nabi s.a.w para perwakilan muslim dan bukan muslim samada Yahudi, Kristian dan selain mereka masuk berjumpa Nabi s.a.w dalam masjid. Mereka memahami Islam dari masjid dan berurusan dengan kerajaan Islam dalam masjid. Ini disebut dalam banyak hadis.
Jika Pengarah JAIS itu memilih pendapat yang saya anggap tidak kukuh dan merugikan Islam di Malaysia dan saya memilih pendapat para ulama yang menyatakan bukan muslim boleh masuk ke masjid jika ada keperluan, adakah saya telah menjadi wahabi dan sesat? Apakah pula jika satu hari Allah takdirkan saya berada di tampok kuasa, maka pendapat beliau pula akan dihukum wahabi dan sesat?! Rosaklah agama jika menjadi mainan hawa nafsu dan kepentingan!
Saya bukan peminat karangan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab (1115H). Saya suka dengan Dr Yusuf al-Qaradawi yang menyatakan jiwanya begitu dekat Ibn Taimiyyah (meninggal 728H). Begitulah juga saya. Namun saya sama sekali tidak dapat menerima tabiat suka mengkafir dan menyesatkan tokoh ilmuwan seperti yang berlaku sekarang ini. Jika saya tidak bermazhab Maliki, saya tetap membantah mereka yang menghina al-Imam Malik bin Anas, kerana seorang muslim wajib membela muslim lain yang dizalimi, apatah lagi tokoh ilmuwan.
Sekalipun saya bukan pengikut Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, saya tetap tidak akan mengizinkan beliau dicerca, dikafirkan dan dihina. Apatahlagi, kesannya besar. Mereka yang membangkitkan isu kafir dan sesat wahabi ini akan mengheret Negara Arab Saudi secara khusus dan beberapa negara Arab lain sebagai sesat dan mungkin kafir. Mereka ini ada agenda yang tersendiri, yang berpusat di Lubnan dan ada agen-agennya sudah sampai ke negara ini. Rancangan menghidupkan kafir mengkafir sesama umat. Ini akan dihuraikan dalam tulisan akan datang.
Baru-baru ini UIA meraikan kedatangan tokoh ilmuwan terkenal ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Muhsin al-Turki , Setiausaha Agung, Muslim World League dalam International Conference on Jurisprudence of Minorities in the Light of Maqasid al-Shariah.
Tokoh ini dalam tulisannya Mujmal I’tikad Aimmah al-Salaf memuji akidah dan perjuangan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, antaranya beliau menyebut:
“Berterusanlah al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab menyeru kepada akidah yang bersih dan bersinar. Dengan tauhid, beliau menentang syirik, dengan ilmu beliau menentang khurafat” (m.s. 105, Beirut: Muasasah al-Risalah).
Dr Yusuf al-Qaradawi juga menyebut dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata:
"Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abdul Wahhab di Semenanjung Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, Mesir: Maktabah Wahbah).
Seorang lagi tokoh fekah yang terkenal di zaman ini, yang banyak pandangannya dirujuk, Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut :
“Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya):“Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah.Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid’ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih..” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).
Sekali lagi, seperti yang pernah saya tanya dahulu, apakah mereka semuanya wahabi kerana memuji Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Apakah mereka jika berceramah di negara ini akan ditanggap kerana tiada tauliah dan tauliah pun tidak boleh diberikan kepada mereka kerana mereka ada unsur wahabi ?!
Dalam sejarah, akibat permainan golongan agama seperti ini al-Imam Ahmad bin Hanbal pernah dijatuhkan hukuman oleh ulama pemerintah pada zamannya, al-Imam al-Bukhari juga sama. Wahabi telah menjelma bagaikan istilah hantu yang digunakan oleh orang tua-tua dulu untuk menakutkan budak-budak.
Maka, tidak pentinglah samada hantu itu wujud atau tidak di situ, tidaklah penting samada orang tua-tua itu pernah melihatnya atau tidak, tidaklah penting apa rupanya, yang penting kanak-kanak menjadi takut dan orang tua-tua dapat duduk selesa bersembang di meja kopi dengan gelak ketawa sampai ke pagi.
Peranan media antarabangsa & orientalis mampu mengubah persepsi dua negara di atas terhadap masyarakat Islam dunia
Kita diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk sentiasa beramal dengan sunnahnya agar agama yang diamal tidak lari dari manhaj atau metodologi juga diterima oleh Allah s.w.t. Oleh kerana itu, tidak ada satupun berkenaan ibadah, Nabi s.a.w tinggalkan kecuali baginda meninggalkan juga satu petunjuk sunnah agar kita mampu untuk melaksanakan ibadah tersebut.
Aidul Fitri menjelang tiba, kebiasaan masyarakat kita dinusantara sedang sibuk melakukan persiapan menjalang raya antara hari-hari terakhir ramadhan. Jika kita punya ilmu untuk mengetahui lailah al-Qadr itu, saya yakin, tidak ada yang sibuk ke pusat-pusat membeli belah, bahkan masjid-masjid akan menjadi padat buat seketika.
Hari ini, Aidul Fitri sudah tidak lagi dilihat sebagai sebuah perayaan yang tunjangnya adalah keimanan, Aidil Fitri adalah sebuah keseronokan bebas seperti yang digambarkan oleh Kristian terhadap perayaan hari Natal. Lalu umat Islam yang disogok dengan cerita-cerita suka ria Krismas terpengaruh bahkan cuba untuk dipraktik di hari raya. “Hari rayakan hari kemenangan orang Islam, apa salahnya kita berseronok sakan pada hari ini?”.
Ya, hari raya adalah hari kemenangan untuk umat Islam. Ia bukan hari untuk bersedih-sedihan. Bukan juga hari untuk kita bergembira dan berhibur sehingga melampaui batas. Justeru itu, Rasulullah s.a.w banyak memberi tunjuk ajar kepada kita bagaimana menghidupkan hari raya aidul fitri mengikut lunas-lunas yang diredhai Allah. Sunnah mengajar agar Aidul Fitri dilihat sebagai sebuah perayaan keagamaan yang penuh disiplin. Apa yang Rasulullah ajarkan kepada kita?
1.Banyak Bertakbir
Islam mensyariatkan bertakbir ketika mana masuknya tarikh 1 Syawal. Disunatkan bertakbir bila mana terlihat al-Hilal (anak bulan) syawal. Disunatkan juga bertakbir sehingga imam selesai membaca khutbah raya. Allah berfirman:
"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah:185.
Antara sunnah yang sering kita tinggalkan adalah bertakbir dengan suara jahr (lantang) dalam perjalanan kita menuju ke masjid. Dalam hal ini, suka saya untuk merujuk komentar Syeikh Nasiruddin al-Albani r.h. katanya:
"Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini." Mencontohi Rasulullah
S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari,
ms. 32.
Mengapa perlu menguatkan suara? Ini adalah rangka kita menunjukkan syiar-syiar Islam di mana sahaja yang kita lalui.
2.Memberi Ucapan Kepada Muslimin
Rasulullah menganjurkan kepada kita untuk saling memberi ucapan kepada sesiapa sahaja dari kalangan kaum muslimin di hari raya. Alhamdulillah, ini telah menjadi simbol utama masyarakat Islam di Malaysia. Walaubagaimanapun, sunnah ada mengajarkan kepada kita bagaimana ucapan yang terbaik untuk diucapkan.
Disebut oleh Jubair bin Nufair r.a, Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fathul Bari ada menyebut:
“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).” Rujuk Fathul Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, , jil. 5,
ms. 270-271. (hadith hasan)
3.Mandi Di Pagi Raya
Apa yang dimaksudkan dengan mandi di pagi raya adalah mandi yang menyampaikan air ke seluruh anggota badan, sama seperti mandi wajib. Ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w sebelum bergegas ke tempat perlaksanaan solat aidul fitri.
Imam Malik r.h. meriwayatkan sebuah hadith di dalam al-Muwatta’
Maksudnya : “Bawasanya ‘Abdullah bin ‘Umar seringkali akan mandi pada hari raya sebelum beliau keluar ke tempat solat Hari Raya di pagi hari raya.”
Mengikut pendapat ini, cukuplah untuk kita melihat perbuatan Ibn ‘Umar ini kerana beliau adalah sahabat yang paling kuat jiwanya dengan sunnah Rasulullah s.a.w.
Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.
4.Bersarapan Terlebih Dahulu Sebelum Bersolat
Ini adalah contoh dari Rasulullah s.a.w. Baginda biasanya akan makan dahulu sebelum bergerak menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat aidul fitri.
Hikmah dari perbuatan ini adalah untuk mengelakkan andaian bahawa satu syawal bukan lagi hari untuk berpuasa. Pernah diceritakan oleh Anas Bin Malik yang katanya:
“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” Hadis riwayat
al-Bukhari di dalam Sahihnya, no 953
Hadith ini tidaklah bererti yang kita tidak boleh makan selain dari kurma. Cuma adalah baik untuk kita menuruti sunnah Baginda, kerana di sebalik sunnah itu, terselit banyak hikmahnya.
5.Memakai Pakaian Yang Cantik
Masyarakat Malaysia hari ini, jika menyambut hari lebaran, mereka akan mengenakan pakaian baru yang cantik dan berwarna warni. Inilah sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w.
Dalam hal ini, saya suka untuk merujuk pendapat Imam al-Syafie r.h. Katanya sepertimana dipetik:
“Aku sangat suka jika seseorang itu memakai pakaian yang paling baik yang ada dalam simpanannya pada hari-hari raya, iaitu Hari Jumaat, dua Hari Raya (Aidul Fitri dan Aidul Adha) dan tempat di mana di adakan majlis (seperti majlis walimah). Hendaklah dia memakai pakaian yang bersih dan memakai wangian”Rujuk Ringkasan Kitab
Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.
Wanita juga turut serta dalam seruan ini kecuali wanita hendaklah mengelakkan dari memakai pakaian yang menarik minat kaum lelaki untuk melihatnya, apatah lagi mengenakan wangi-wangian yang menghidupkan syahwat lelaki. Dalam hal ini, jika wanita melakukan demikian, ia akan dihukum berdosa berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w:
"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina."Hadis riwayat
al-Nasaai di dalam Sunannya. no 5036
Walaubagaimanapun, hadith ini tidak bermaksud untuk wanita itu sentiasa dalam keadaan busuk, tetapi memadailah wangian itu untuk menghilangkan bau busuk. Tidak mengapa untuk wanita berwangi-wangian ketika bersama suami dan ahli keluarga.
6.Berjalan Kaki Ke Tempat Solat & Melalui Jalan Yang Berbeza
‘Ali r.a di dalam atsarnya menyebut:
“Adalah sunnah jika engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat didirikan dan memakan sesuatu sebelum berjalan menuju ke tempat solat” Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no
487
Ini tidak bererti, sesiapa yang jauh rumahnya dari tempat solat juga perlu berjalan kaki, menggunakan kenderaan tidak dilarang untuk ke tempat solat, Cuma sebaiknya adalah dengan mengikut sunnah ini.
Rasulullah s.a.w juga mengajarkan kepada kita bahawa membezakan jalan pergi dan pulang dari tempat menunaikan solat hari raya adalah salah satu dari sunnah baginda. Jabir Bin Abdullah r.a berkata:
"Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya." Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no
986
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:
"Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untuk memberi barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikan darjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya." Rujuk
Zaadul Ma'ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49, dinukil dari tulisan Mohd Yakub Yunus.
7.Mengerjakan Solat Hari Raya
Solat Hari Raya adalah syiar utama ketika menyambut hari raya. Rasulullah dan para sahabat r.anhum mengerjakan solat hari raya. Yang membezakannya dengan solat-solat lain, Rasulullah mengerjakannya di tanah lapang dan bukannya di masjid. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:
"Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah)." Hadis
riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no 956
Solat sunat hari raya dilakukan sebanyak dua rakaat tanpa ada solat sunat sebelum dan selepasnya. Ini berdasarkan hadith dari Ibnu Abbas r.a:
"Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no
989
Seusai Rasulullah s.a.w mengimami solat sunat hari raya, Rasulullah s.a.w akan berpaling kebelakang untuk berkhutbah, apa pun, khutbah ini adalah sunnah, sesiapa yang ingin mendengarnya adalah lebih baik, sesiapa yang ingin beredar, itu tidak mengapa. Ini berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w seperti berikut:
"Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah)." Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no
956
Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:
"Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar." Hadis
riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no 975
8.Bergembira & Bukannya Bersedih Di Hari Raya
Islam menganjurkan kepada kita untuk bergembira di pagi hari raya dan bukannya bersedih-sedihan. Apa yang berlaku di tanah air kita hari ini ialah, pagi raya dijadikan hari untuk bersedih dengan menziarahi kuburan. Inilah hari yang Allah jadikan untuk umat Islam bergembira, bergurau senda, bertamu di rumah saudara mara dan sahabat handai dan menggembirakan orang-orang miskin dengan pergi untuk menziarahi mereka. Tetapi perlu diingat, hiburan tersebut hendaklah sesuai dengan kehendak syarak dan bukannya melanggar batas-batas akhlak yang diajarkan oleh Rasulullah.
9.Puasa Enam di Bulan Syawal
Rasulullah s.a.w ada bersabda sepertimana yang dicatat oleh Imam Muslim di dalam sahihnya:
"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun." Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no 1164
Tidak menjadi kesalahan jika melakukan puasa enam hari di bulan syawal ini secara tidak berturut-turut. Tetapi ada pendapat yang menyatakan bahawa puasa berturut-turut selepas 1 syawal itu adalah lebih afdhal.
Ada perbuatan yang yang menyatukan puasa qadha’ dan puasa sunat enam hari ini dalam satu puasa. Ini adalah satu kesalahan yang bersalahan dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Ini kerana tidak ada petunjuk dari Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang melakukan puasa dua dalam satu ini. Sebaiknya untuk kita mengasingkan puasa kita mengikut niat. Tidak mengapa untuk mendahului puasa sunat enam hari ini dari puasa qadha’.
Penutup
Semoga hari raya kali ini dapat kita jadikan titik permulaan kepada kita untuk menyambut sebaik mungkin berdasarkan acuan sunnah Rasulullah s.a.w yang semakin ditinggalkan. Hari ini, aidulfitri disambut seolah-seolah tidak ada ruh al-Din dalam perayaan tersebut. Racangan-rancangan tv yang menghidangkan hiburan yang melampau membuatkan semangat ramadhan hilang serta merta.
Marilah kita sama-sama menghidupkan sunnah sunnah Rasulullah s.a.w ini dengan ikhlas. Siapa lagi untuk diharapkan bagi menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w ketika umat sedang rosak dan pelik dengan sunnah melainkan kita sendiri yang wajib menghidupkannya.
Disyari’atkan bagi seluruh umat
Islam untuk mengerjakan solat sebanyak dua rakaat apabila tibanya
dua hari perayaan iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
HUKUM SOLAT HARI
RAYA
Ulamak berbeza pendapat tentang hukum solat Aidilfitri dan Aidiladha.
Bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia mereka berpegang kepada
pendapat bahawa hukum solat tersebut adalah sunat mu’akkadah
(yang dituntut). Ulamak yang berpegang kepada pendapat ini
berpandangan bahawa dengan wujudnya hadis-hadis yang menyatakan
solat yang hukumnya wajib hanyalah solat lima waktu membuktikan
solat pada Hari Raya tidak termasuk di dalam kumpulan solat yang
wajib. Antara hadis yang dijadikan pegangan mereka adalah sabda Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Ada lima solat yang diwajibkan Allah ke atas hamba-hamba-Nya. Maka
siapa yang mengerjakannya dan tidak mensia-siakan walau satu pun di
antaranya disebabkan menganggap mudah, Allah berjanji akan
memasukkannya ke dalam syurga.
- Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab
al-Sholaah, no: 457.
Selain dari hadis di atas mereka juga berhujah dengan
riwayat daripada Thalhah bin ‘Ubaidillah, dia berkata:
Bermaksud: Seorang lelaki Nejd datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam dengan kepala penuh debu. Kami mendengar suaranya tetapi
tidak mengerti apa yang diucapkannya sehingga dia mendekatkan diri
kepada Rasulullah. Kemudian dia bertanyakan perihal Islam. Maka
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Solat Lima waktu dalam sehari semalam.Kemudian dia kembali bertanya: Apakah ada lagi selain itu? Rasulullah pun menjawab: Tidak ada lagi kecuali jika anda suka
mengerjakan solat sunat.
– Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab
al-Imaan, no: 46.
Bagi ulamak yang berpendapat solat pada Hari Raya itu fardu ‘ain
atau wajib, mereka melihatkan kesungguhan Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam di dalam menganjurkan para sahabat untuk
mengerjakannya sebagai bukti kewajipannya. Malah baginda sendiri
tidak pernah gagal untuk mengerjakan solat Hari Raya. Bahkan baginda
memerintahkan para wanita yang sedang haid untuk turut serta
menghadirkan diri di musolla hanya untuk menyaksikan upacara
solat Hari Raya tersebut. Tambahan pula bagi wanita yang tidak
memiliki pakaian yang sempurna untuk menutup aurat telah
diperintahkan untuk dipinjamkan pakaian kepada mereka hanya
semata-mata untuk turut serta di musolla.
Maksudnya: Kami telah diperintahkan (oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam)
untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang
haid, para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu ‘Aun
berkata: “atau wanita-wanita pingitan,” dan wanita-wanita yang haid
diperintahkan (Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) agar menyaksikan
jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi tempat solat.
- Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab
al-‘Iedaini, no: 981.
Bagi wanita yang tidak memiliki pakaian sempurna untuk bersolat Hari
Raya, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: (Jika dia tidak mempunyai jilbab) hendaklah temannya meminjamkan
jilbabnya, sehingga dia dapat menyaksikan kebaikan dan dakwah
orang-orang mukmin.
- Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab
al-‘Iedaini, no: 980.
Pandangan akan wajibnya solat Hari Raya ini diperkuatkan lagi dengan
hakikat bahawa solat Hari Raya ini dapat menggugurkan kewajipan
solat Jumaat jika keduanya terjadi pada hari yang sama. Hanya
sesuatu yang wajib dapat mengugurkan kewajipan yang lain. Dalil yang
menunjukkan kewajipan solat Jumaat gugur sekiranya ianya serentak
dengan Hari Raya adalah:
Maksudnya: Dari Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, dia berkata: Aku pernah
menyaksikan Mu’awiyah bin Abi Sufyan yang sedang bertanya kepada
Zaid bin Arqam. Dia bertanya: Apakah engkau menyaksikan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam menghadiri dua Hari Raya (Hari Raya dan
hari Jumaat) yang berkumpul dalam satu hari? Dia menjawab: Ya.
Mu’awiyah bertanya: Lalu apa yang baginda kerjakan? Dia menjawab:
Baginda mengerjakan solat Hari Raya, kemudian baginda memberikan
keringanan dalam hal (mengerjakan) solat Jumaat dan bersabda:
Barangsiapa yang ingin solat (Jumaat) maka hendaklah dia solat.
- Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab
al-Sholaah, no: 904.
Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah di dalam
Majmu’ Fatawa (jilid 23, ms. 161) berkata:
… oleh
kerana itu, kami mentarjih (menguatkan) bahawa solat ‘Ied
itu wajib bagi setiap individu muslim, sebagaimana pendapat Abu
Hanifah dan lain-lainnya. Dan ini merupakan salah satu pendapat
al-Syafi’i, dan ia merupakan salah satu dari dua pendapat di dalam
mazhab Ahmad.
Adapun
pendapat mereka yang menyatakan tidak wajib maka ia benar-benar jauh
(dari kebenaran), kerana ia termasuk salah satu syi’ar agama
Islam yang paling agung. Dan orang-orang yang berkumpul untuk
mengerjakannya lebih banyak dari solat Jumaat. Di dalamnya disyari’atkan
bacaan takbir. Sedangkan pendapat orang yang menyatakan bahawa solat
‘Ied merupakan fardu kifayah, sama sekali tidak kuat…
- Dinukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah
(Edisi terjemahan dengan tajuk Meneladani Rasulullah S.a.w.
Dalam Berhari Raya)ditulis oleh Syaikh ‘Ali Hassan bin
‘Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 47-48.
Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim pula berkata:
Pendapat
yang kuat adalah pendapat pertama (iaitu hukumnya wajib), yang
berdasarkan kepada dalil-dalil di atas. Sedangkan pendapat yang
menyatakan bahawa solat Hari Raya hukumnya sunat mu’akkadah
adalah pendapat yang lemah, kerana hadis seorang Badwi tidak boleh
dijadikan dalil, ia hanya menyebut solat lima waktu untuk menguatkan
kewajipannya secara terus-menerus pada setiap siang dan malam
harinya. Sedangkan solat-solat yang lain wajib dilakukan hanya pada
waktu-waktu tertentu dan jarang.
– rujuk Abu Malik Kamal bin
As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa
Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 924.
Apa pun jua pendapat yang dipegang sama ada wajib mahupun sunat
mu’akkadah, ketahuilah bahawa baginda shallallahu ‘alaihi
wasallam amat menitik-beratkan agar kesemua umat Islam memenuhi
musolla termasuk kaum wanita sebagaimana yang tercatat di
dalam hadis-hadis di atas. Ini berbeza dengan amalan kebanyakan umat
Islam di Malaysia yang mana kaum wanita hanya ditinggalkan di rumah
untuk menyiapkan apa-apa persediaan yang diperlukan di rumah sempena
budaya rumah terbuka pada hari Lebaran. Budaya sedemikian rupa perlu
dikikis. Berusahalah untuk membawa seluruh isi keluarga untuk
menghadirkan diri bagi mengerjakan solat Hari Raya. Setelah selesai
solat Hari Raya boleh teruskan apa jua agenda yang berupaya
menggembirakan keluarga anda asalkan tidak bertentangan dengan
syari’at.
TEMPAT PERLAKSANAAN SOLAT HARI RAYA ADALAH DI
MUSOLLA
Mengerjakan solat Hari Raya di musolla merupakan satu amalan
yang hampir tidak dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok
kecil manusia yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam. Apakah itu musolla dan
apakah perbezaannya dengan masjid? Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani
rahimahullah berkata:
Adapun
perbezaan di antara musolla dan masjid adalah bahawa
musolla berada di tempat terbuka (seperti padang-pen) sehingga
khatib dapat melihat semua hadirin. Sedangkan masjid berada di dalam
sebuah tempat (bangunan-pen) yang tertutup, sehingga terkadang
seorang khatib hanya dapat melihat sebahagian sahaja para hadirin.
Solat Hari Raya disunnahkan untuk dilakukan di musolla, dan
tidak dilakukan di masjid kecuali apabila di dalam keadaan darurat
(seperti hujan, angin kencang dan lainnya-pen).
- Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5,
ms.282.
Dalil yang menunjukkan disunnahkan untuk mengerjakan solat Hari Raya
di musolla adalah sebuah hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri,
dia berkata:
Maksudnya: Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam keluar menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda
lakukan adalah solat Hari Raya.
- Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab
al-‘Iedaini, no: 956.
Ketahuilah bahawa solat di Masjid Nabawi itu adalah seribu kali
lebih baik dari bersolat di masjid-masjid lain. Ini sebagaimana
sabda baginda shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Solat di masjidku ini (iaitu Masjid Nabawi) adalah lebih baik dari
seribu kali solat di masjid lainnya kecuali Masjidil Haram (di Mekah
al-Mukarramah).
- Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab
al-Jamaah, no: 1190.
Namun ternyata meskipun dengan keutamaan sebesar ini Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam tetap memerintahkan para sahabat
untuk mendirikan solat Hari Raya di musolla.
Ibnu Qudamah rahimahullah di dalam al-Mughni (jilid 3,
ms. 260) berkata:
Mengerjakan solat Hari Raya di musolla adalah sunnah, kerana
dahulu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam keluar ke tanah
lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian
pula para khulafa’ al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan
kaum muslimim. Mereka telah sepakat pada setiap zaman dan tempat
untuk keluar ke tanah lapang ketika solat Hari Raya.
- Penulis nukil dari artikel bertajuk Bimbingan Berhari Raya Idul
Fithri yang disusun oleh Abu Sulaiman Aris S, ms. 40.
Tentang hikmah diselenggarakan solat Hari Raya di musolla,
Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:
Sesungguhnya mengerjakan dua solat Hari Raya di tanah lapang (musolla)
memiliki hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum
muslimin setidaknya boleh berkumpul bersama dua kali selama setahun.
Semua orang dari penjuru negeri berkumpul di sebuah tempat, baik
lelaki, perempuan mahupun kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah
dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat
(kalimat tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir
dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh
ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia
dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka.
Dengan demikian, Hari Raya benar-benar memiliki erti yang agung bagi
mereka.
- Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, Al-Qawl al-Mubiin fii
Akhthaa’ al-Musholliin, (edisi terjemahan dengan tajuk
Koreksi Total Ritual Solat, Pustaka Azzam, Jakarta 2001), ms.
394.
Menurut Syaikh Wahid Abdussalam pula:
Para
ulamak telah mengemukakan sejumlah hikmahnya:
Berkumpulnya kaum muslimin di satu tempat untuk menampakkan
kejayaan kaum muslimin.
Berkumpulnya kaum muslimin di tempat terbuka yang terlihat
awal dan akhirnya disertai takbir dan tahlil, dapat
menguatkan keimanan dan memantapkan keyakinan.
Keluarnya kaum muslimin di satu tempat, dewasa dan
kanak-kanak, laki-laki dan perempuan, adalah salah satu fenomena
kegembiraan pada Hari Raya.
Tercerai-berainya kaum muslimin di beberapa masjid pada hari
yang diberkahi ini menyebabkan perselisihan hati dan
tercerai-berainya kalimat.
Kaum muslimin memakai pakaian baru dan berkumpul di satu
tempat dengan bertakbir, bertahlil, solat dan
mendengarkan nasihat (khutbah), adalah salah satu bentuk rasa syukur
kepada Allah, Rabb semesta Alam yang berfirman
Maksudnya: Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan
supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana mendapat
petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.
- al-Baqarah (2) : 185
Berkumpulnya kaum muslimim di dalam pemandangan yang disegani ini
dapat menggentarkan para musuh agama dan membuat marah kaum kafir.
- Syaikh Wahid Abdussalam Bali,
Al-Kalimat al-Nafi’ah fil Akhtha’
asy-Sya’iah, ms. 298-299.
Namun begitu janganlah disebabkan di
Malaysia solat Hari Raya tidak dilaksanakan di musolla maka
ada yang beranggapan tidak perlu untuk menunaikan solat tersebut
kerana menghindari amalan bid’ah. Menunaikan solat Hari Raya di
masjid telah dibenarkan oleh Imam al-Syafi’i rahimahullah
sekiranya masjid tersebut mampu menampung seluruh penduduk di daerah
tersebut. Imam al-Syafi’i berkata:
Jika
sesebuah masjid di dalam sebuah daerah dapat menampung seluruh
penduduk, maka menurut saya mereka tidak perlu lagi pergi ke tanah
lapang (untuk mengerjakan solat Hari Raya). Tetapi jika tidak dapat
menampung seluruh penduduk, maka tidak dianjurkan melakukan solat
‘Ied di dalamnya.
-
Dinukil daripada Fathul Baari, jilid 5, ms. 283.
Dari fatwa Imam al-Syafi’i ini maka
al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah telah membuat
kesimpulan seperti berikut:
Dari
sini dapat disimpulkan, bahawa permasalahan ini sangat bergantung
kepada luas atau sempitnya sesuatu tempat, kerana diharapkan pada
Hari Raya itu seluruh masyarakat dapat berkumpul di suatu tempat.
Oleh kerana itu, jika hal itu dapat dilakukan di dalam masjid, maka
melakukan solat Hari Raya di dalam masjid lebih utama dari di tanah
lapang.
- al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani,
Fathul Baari, jilid 5, ms. 283.
Apapun jua bagi penulis mencontohi Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam adalah lebih utama kerana hadis-hadis baginda bersifat
umum tanpa meletakkan sebarang syarat berkaitan keluasan atau
kesempitan sesebuah masjid dalam menentukan tempat untuk
dilaksanakan solat Hari Raya. Wallahu a’lam.
Oleh itu sewajarnya umat Islam di Malaysia berusaha untuk
mengembalikan pengamalan sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam
yang semakin dipinggirkan ini. Alangkah indahnya sekiranya seluruh
kepimpinan tertinggi di Malaysia melaksanakan solat Aidilfitri dan
Aidiladha bersama rakyat jelata di tanah-tanah lapang di daerah
masing-masing.
TATACARA SOLAT HARI RAYA
Waktu Mengerjakan Solat Hari Raya.
Waktu untuk mengerjakan solat Hari Raya adalah setelah terbitnya
matahari setinggi tombak sehingga tergelincirnya matahari iaitu
waktu dhuha. Disunnahkan untuk dilewatkan solat Aidilfitri
agar memberikan kesempatan mereka yang belum menunaikan zakat fitrah
untuk menyempurnakannya. Manakala bagi solat Aidiladha disunnahkan
untuk mempercepatkannya bagi memudahkan untuk menguruskan
penyembelihan haiwan korban setelah solat tersebut.
Tiada Solat Sunat sebelum Dan Sesudah Solat Hari Raya.
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam keluar pada Hari Raya al-Fithri kemudian solat dua rakaat
dan tidak solat sebelumnya dan tidak pula sesudahnya.
- Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab
al-‘Iedaini, no: 989.
Namun di Malaysia ini solat Hari Raya dikerjakan di masjid-masjid.
Maka perlu untuk dilaksanakan solat Tahiyyatul Masjid kerana
secara umumnya setiap kali seseorang masuk ke dalam masjid adalah disyari’atkan
untuk dikerjakan solat sunat dua rakaat Tahiyyatul Masjid.
Tiada Seruan Azan atau Iqamah.
Tidak ada azan atau iqamah mahupun apa-apa ucapan sebelum solat Hari
Raya. Dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh:
Maksudnya: Bahawa Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam melaksanakan solat Hari Raya tanpa azan dan tanpa
iqamah.
- Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam
Sunannya,Kitab al-Sholaah, no: 968.
Apa yang jelas baginda shallallahu ‘alaihi wasallam setibanya
di musolla lalu terus mendirikan solat Hari Raya. Ini
sebagaimana disampaikan oleh Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata:
Maksudnya: Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam keluar menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda
lakukan adalah solat Hari Raya.
- Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab
al-‘Iedaini, no: 956.
Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mendirikan solat dua
rakaat dahulu sebelum khutbah, tanpa ada ucapan al-sholatu
jami’ah. Apa yang benar menurut al-Sunnah adalah tanpa
ucapan itu. Baginda dan para sahabat tidak ada yang mengerjakan
solat sebelum mahupun sesudah solat ‘Ied.
- Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad, ms. 48.
Tiada Laungan
al-Sholatu Jami’ah.
Melaungkan al-Sholatu Jami’ah
sebelum memulakan solat Hari Raya merupakan satu perbuatan yang
lazimnya di amalkan di Malaysia dan inilah juga pendapat Imam
al-Syafi’i rahimahullah. Amalan ini adalah bersandarkan
kepada sebuah hadis mursal daripada al-Zuhri bahawa dia
berkata:
Maksudnya: Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam pernah memerintahkan kepada mu’adzin (tukang azan) ketika di dalam solat Hari Raya untuk mengucapkan al-Sholatu Jami’ah.
Hadis mursal adalah hadis
yang disandarkan kepada tabi’in secara langsung kepada Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa menyebut nama sahabat yang
meriwayatkan. Di dalam hadis di atas al-Zuhri adalah seorang
tabi’in yang menyandarkan sebuah hadis terus kepada Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa melalui seorang sahabat
sedangkan al-Zuhri tidak pernah bertemu dengan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam. Hadis mursal hukumnya dha’if
(lemah) dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Imam Muslim di
muqaddimah kitab Shahih Muslim telah berkata:
Riwayat-riwayat yang mursal itu pada dasar perkataan kami dan
perkataan/pendapat ahli ilmu hadis, tidaklah boleh dijadikan sebagai
hujah.
- Di nukil dari kitab
Al Masaa-il (masalah-masalah agama) karya Ustaz Abdul Hakim
bin Amir Abdat, Darul Qolam, Jakarta 2004, jilid 3, ms. 291.
Oleh itu sewajarnya kita kekal hanya dengan riwayat-riwayat yang
sabit daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu dengan
tidak melaungkan apa-apa perkataan seperti al-Sholatu Jami’ah
sebelum memulakan solat Hari Raya.
Jumlah Rakaat Untuk Solat Hari Raya.
Jumlah rakaat solat Hari Raya adalah dua. Daripada Ibnu ‘Abbas
radhiallahu’ anh dia berkata:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada Hari
Raya al-Fithri kemudian solat dua rakaat…
- Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab
al-‘Iedaini, no: 989.
Takbir Dalam Solat Hari Raya.
Oleh itu perlaksanaan solat Hari Raya ini sama dengan tatacara
perlaksanaan solat dua rakaat yang lain hanya sahaja terdapat
tambahan dua belas kali takbir di dalamnya. Pada rakaat pertama
setelah Takbirat al-Ihram dan doa Iftitah serta
sebelum bacaan surah al-Fatihah disunatkan membaca takbir sebanyak
tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali.
Maksudnya: Dari ‘Aisyah, dia berkata: Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam biasa bertakbir pada solat Aidilfitri dan Aidiladha, pada
rakaat pertama tujuh kali takbir dan pada rakaat kedua lima kali
takbir, selain dari dua takbir rukuk.
- Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab
al-Sholaah, no: 970.
Tentang haruskah diangkat tangan atau tidak ketika takbir tersebut,
menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan:
Tidak
pernah diriwayatkan dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
bahawa baginda mengangkat kedua tangannya ketika takbir pada solat
Hari Raya (takbir pada rakaat pertama yang berjumlah tujuh kali dan
pada rakaat kedua lima kali)… Namun Ibnul Mundzir berkata: “Malik
telah berkata bahawa di dalam masalah ini (iaitu angkat atau tidak
tangan ketika takbir tersebut) tidak ada sunah yang dianggap
muktamad. Barangsiapa ingin mengangkat kedua tangannya pada waktu
takbir tidak mengapa. Namun pendapat pertama (iaitu tidak mengangkat
tangan) lebih aku sukai.”
- Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan,
Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’
al-Musholliin,
ms. 395-396.
Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim berkata:
Dan
tidak ada sesuatu pun yang sahih bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi
wasallam mengangkat tangan ketika takbir dalam solat Hari Raya.
Akan tetapi Ibnul Qayyim menyatakan: Ibnu ‘Umar –dengan semangatnya
mengikuti sunnah- beliau mengangkat tangannya setiap kali takbir.
Saya
katakan (Syaikh Kamal): Barangsiapa yang berpendapat bahawa Ibnu
‘Umar tidak melakukannya kecuali ada contoh daripada Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam, maka dia boleh mengangkat tangan
setiap kali takbir, tetapi jika tidak maka sebaik-baik petunjuk
adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.
– rujuk Abu Malik Kamal bin
As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa
Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 935.
Oleh itu di dalam hal ini bolehlah kita memilih untuk mengangkat
atau tidak tangan ketika takbir-takbir tersebut, namun yang lebih
hampir kepada sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ialah
dengan tidak mengangkatnya. Wallahu’alam.
Bacaan Zikir Di Antara Takbir.
Mengenai bacaan di antara takbir-takbir tersebut maka Syaikh ‘Ali
Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari berkata:
Tidak
ada hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam mengenai doa tertentu yang dibaca di antara
takbir-takbir solat Hari Raya, tetapi telah ditetapkan dari Ibnu
Mas’ud radhiallahu’ anh bahawasanya dia berkata mengenai
solat Hari Raya: “Di antara dua takbir dipanjatkan pujian kepada
Allah 'Azza wa Jalla sekaligus sanjungan ke atas-Nya.
Menurut Imam Ahmad dan Imam al-Syafi’i rahimahumallah sunat
di antara dua takbir itu membaca zikir seperti
سُبْحَانَ
اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ
أَكْبَرُ
“Subhanallah, walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar”.
- Dinukil darpada kitab Fikih Sunnah, karya Syaikh Sayyid
Sabiq (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala
Lumpur, 1990) jilid 2, ms. 286.
Pendapat inilah yang telah dipilih oleh umat Islam di Malaysia.
Bacaan Ayat al-Qur’an Dalam Solat Hari Raya.
Tentang surah-surah yang dibacakan baginda shallallahu ‘alaihi
wasallam setelah membaca al-Fatihah pada solat Hari Raya, Imam
Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah telah berkata:
Diriwayatkan secara sahih dari bacaan pertama surah Qaf dan
surah al-Qamar dan bacaan kedua surah al-A’laa dan
al-Ghaasyiah, dan hanya inilah riwayat yang sahih daripada
baginda tentang bacaan itu (iaitu pada solat Hari Raya).
- Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad, ms. 49.
Dalil yang dijadikan sandaran adalah seperti berikut:
Bermaksud: Daripada ‘Ubaidillah bin ‘Abdullah bin ‘Utbah, bahawasanya ‘Umar bin
al-Khatthab pernah bertanya kepada Abu Waqid al-Laitsi: Apa yang
biasa dibaca oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada Hari
Raya Aidiladha dan Aidilfitri? Dia menjawab:
Pada Hari Raya tersebut baginda membaca surah Qaaf wal quraanil
majeed dan Iqtarabatis saa’atu wanshaqqal qamar.
– Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab
al-‘Iedain, no: 891.
Bermaksud: Daripada Nu’man bin Basyir radhiallahu’ anh, dia berkata Rasulullah
biasa membaca pada solat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha serta
solat Jumaat Sabbihisma rabbikal a’laa dan Hal ataaka hadiitsul
ghaasyiyah. Dia berkata: Jika Hari Raya bertepatan dengan hari
Jumaat dibacakan kedua surah tersebut pada kedua solat tersebut.
– Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab
al-Jumu’ah, no: 878.
Mengqadha Solat Hari Raya.
Apabila seseorang tidak dapat menyertai solat Hari Raya bersama
secara berjemaah maka hendaklah dia solat dua rakaat secara sendiri.
Di dalam Shahih al-Bukhari terdapat sebuah riwayat dari Atha’
bahawa dia berkata:
Maksudnya: Jika seseorang terlewatkan (dan tidak dapat menunaikan) solat Hari
Raya, maka hendaklah dia solat dua rakaat.
-
Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab
al-‘Iedaini, Bab Apabila Seseorang Tidak Mendapatkan Solat
Hari Raya, Maka Hendaklah Dia Melaksanakan Solat Dua Rakaat.
Menurut Syaikh Muhammad at-Tuwaijiri:
Sesiapa
yang ketika ingin bersolat Hari Raya mendapati imam sebelum salam
maka harus menyempurnakan sendiri solatnya sesuai dengan sifat solat
Hari Raya. Dan orang yang tertinggal solat Hari Raya maka hendaklah
dia mengqadhanya sesuai dengan sifat solat Hari Raya.
– Syaikh Muhammad bin Ibrahim at-Tuwaijiri, Mukhtasar al-Fiqh
al-Islami, ms. 720.
Ringkasan tatacara mengerjakan solat Hari Raya.
Rakaat Pertama
1)Berniat di dalam hati
untuk mengerjakan solat Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha
2)TakbiratulIhram
3)Doa Iftitah
4)Takbir Tujuh kali dan
diselangi membaca zikir seperti
سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ
وَاللَّهُ أَكْبَرُ
“Subhanallah, walhamdulillah,wa la
ilaha illallah, wallahu akbar”
sebanyak enam kali
5)Membaca surah
al-Fatihah
6)Membaca Surah
al-Qur’an
7)Rukuk
8)Iktidal
9)Sujud
10) Duduk antara dua sujud
11)Sujud kali kedua
12)Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
1)Takbir Lima kali dan
diselangi membaca zikir seperti
سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ
وَاللَّهُ أَكْبَرُ
“Subhanallah, walhamdulillah,wa la
ilaha illallah, wallahu akbar”
sebanyak empat kali
2)Membaca surah
al-Fatihah
3)Membaca Surah
al-Qur’an
4)Rukuk
5)Iktidal
6)Sujud
7)Duduk antara dua sujud
8)Sujud kali kedua
9)Duduk untuk tahiyyat akhir
10)Memberi salam ke kanan dan ke kiri
Khutbah Hari Raya.
Adalah disunnahkan untuk dilaksanakan khutbah sesudah mengerjakan
solat Hari Raya. Dari Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata:
Maksudnya: Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam keluar menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda
lakukan adalah solat Hari Raya. Kemudian baginda berpusing dan
menghadap jamaah yang sedang duduk di shaf-shaf mereka. Kemudian
baginda memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka.
- Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab
al-‘Iedaini, no: 956.
Khutbah Hari Raya berbeza dengan khutbah Jumaat kerana ianya tidak
dibahagikan menjadi dua khutbah dan khatib tidak perlu duduk di
antara dua khutbah tersebut. Imam al-Nawawi rahimahullah
telah berkata:
Apa yang
diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud bahawa dia mengatakan:
“Disunnahkan berkhutbah pada Hari Raya dengan dua khutbah yang
keduanya dipisahkan dengan duduk adalah dhai’f (lemah) lagi
tidak bersambung. Tidak ada satu riwayat sahih pun yang menyebutkan
dua khutbah.
- Dinukil dari kitab Al-Kalimat al-Nafi’ah fil Akhtha’
asy-Sya’iah, karya Syaikh Wahid Abdussalam Bali, ms. 424.
Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari berkata:
Dan
tidak ada satu hadis pun yang diriwayatkan secara sahih yang
menyebutkan bahawa khutbah Hari Raya itu terdiri dari dua khutbah,
yang dipisahkan antara keduanya dengan duduk..
- Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari, Ahkaam al-‘Iedain
fis Sunnah al-Muthaharah, ms. 73.
Para jemaah juga tidak diwajibkan untuk menghadiri khutbah Hari Raya
ini. Oleh itu setelah selesai mengerjakan solat Hari Raya bagi
seseorang yang tidak ingin turut serta untuk mendengar khutbah maka
dia dibenarkan untuk meninggalkan majlis tersebut. Ini sebagaimana
diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin al-Sa’ib, dia berkata:
Bermaksud: Aku pernah menghadiri solat Hari Raya bersama Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam dan ketika selesai solat baginda bersabda:
Sesungguhnya kami akan berkhutbah, barangsiapa ingin duduk untuk
mendengarkan khutbah maka dipersilakan. Dan barangsiapa yang ingin
pergi, maka dipersilakan untuk pergi.
- Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah,
no: 975.
Sabda Baginda SAW ; "Ketahuilah ia (Dajjal) berada di laut Syam atau laut Yaman.. akan datang dari arah timur (lalu menunjukkan dengan tangan baginda).."[Riwayat Muslim]. Daripada Abi Bakr al-Siddiq r.a, sabda Baginda SAW, "Dajjal akan muncul ke bumi dari arah timur bernama KHURASAN." [Riwayat al-Tirmizi]. Daripada Anas bin Malik r.a, sabda Baginda SAW, "Dajjal akan keluar dari kota Yahudi ISFAHAN (Khurasan, IRAN) bersama 70,000 penduduk ISFAHAN". [Fath al-Rabbani Tartib Musnad Ahmad. Ibn Hajar berkata : "Sahih"]. Ibn Kathir berkata, Dajal pada mulanya akan muncul dari ISFAHAN dari sebuah kota Yahudi [al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim]. ISFAHAN adalah sebuah bandar terbesar YAHUDI di Iran dan pusat loji nuklear Iran pada masa kini.