JTR mengalu-alukan tuan puan untuk membaca tulisan dalam blog ini bagi manfaat tuan puan
Photobucket

Isnin, 29 Ogos 2011

Sunnah-sunnah Menyambut 'Eid

Posted by Abu Hannan On 7:21:00 PTG 2 comments




Kita diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk sentiasa beramal dengan sunnahnya agar agama yang diamal tidak lari dari manhaj atau metodologi juga diterima oleh Allah s.w.t. Oleh kerana itu, tidak ada satupun berkenaan ibadah, Nabi s.a.w tinggalkan kecuali baginda meninggalkan juga satu petunjuk sunnah agar kita mampu untuk melaksanakan ibadah tersebut. 

Aidul Fitri menjelang tiba, kebiasaan masyarakat kita dinusantara sedang sibuk melakukan persiapan menjalang raya antara hari-hari terakhir ramadhan. Jika kita punya ilmu untuk mengetahui lailah al-Qadr itu, saya yakin, tidak ada yang sibuk ke pusat-pusat membeli belah, bahkan masjid-masjid akan menjadi padat buat seketika. 

Hari ini, Aidul Fitri sudah tidak lagi dilihat sebagai sebuah perayaan yang tunjangnya adalah keimanan, Aidil Fitri adalah sebuah keseronokan bebas seperti yang digambarkan oleh Kristian terhadap perayaan hari Natal. Lalu umat Islam yang disogok dengan cerita-cerita suka ria Krismas terpengaruh bahkan cuba untuk dipraktik di hari raya. “Hari rayakan hari kemenangan orang Islam, apa salahnya kita berseronok sakan pada hari ini?”.

Ya, hari raya adalah hari kemenangan untuk umat Islam. Ia bukan hari untuk bersedih-sedihan. Bukan juga hari untuk kita bergembira dan berhibur sehingga melampaui batas. Justeru itu, Rasulullah s.a.w banyak memberi tunjuk ajar kepada kita bagaimana menghidupkan hari raya aidul fitri mengikut lunas-lunas yang diredhai Allah. Sunnah mengajar agar Aidul Fitri dilihat sebagai sebuah perayaan keagamaan yang penuh disiplin. Apa yang Rasulullah ajarkan kepada kita?


                  

1. Banyak Bertakbir

Islam mensyariatkan bertakbir ketika mana masuknya tarikh 1 Syawal. Disunatkan bertakbir bila mana terlihat al-Hilal (anak bulan) syawal. Disunatkan juga bertakbir sehingga imam selesai membaca khutbah raya. Allah berfirman:

"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah:185. 

Antara sunnah yang sering kita tinggalkan adalah bertakbir dengan suara jahr (lantang) dalam perjalanan kita menuju ke masjid. Dalam hal ini, suka saya untuk merujuk komentar Syeikh Nasiruddin al-Albani r.h. katanya:

"Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini." Mencontohi Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32.

Mengapa perlu menguatkan suara? Ini adalah rangka kita menunjukkan syiar-syiar Islam di mana sahaja yang kita lalui. 

2. Memberi Ucapan Kepada Muslimin

Rasulullah menganjurkan kepada kita untuk saling memberi ucapan kepada sesiapa sahaja dari kalangan kaum muslimin di hari raya. Alhamdulillah, ini telah menjadi simbol utama masyarakat Islam di Malaysia. Walaubagaimanapun, sunnah ada mengajarkan kepada kita bagaimana ucapan yang terbaik untuk diucapkan. 

Disebut oleh Jubair bin Nufair r.a, Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fathul Bari ada menyebut: 

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”  Rujuk Fathul Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. (hadith hasan)

3. Mandi Di Pagi Raya

Apa yang dimaksudkan dengan mandi di pagi raya adalah mandi yang menyampaikan air ke seluruh anggota badan, sama seperti mandi wajib. Ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w sebelum bergegas ke tempat perlaksanaan solat aidul fitri. 

Imam Malik r.h. meriwayatkan sebuah hadith di dalam al-Muwatta’

Maksudnya : “Bawasanya ‘Abdullah bin ‘Umar seringkali akan mandi pada hari raya sebelum beliau keluar ke tempat solat Hari Raya di pagi hari raya.”

Mengikut pendapat ini, cukuplah untuk kita melihat perbuatan Ibn ‘Umar ini kerana beliau adalah sahabat yang paling kuat jiwanya dengan sunnah Rasulullah s.a.w. 

Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.

4. Bersarapan Terlebih Dahulu Sebelum Bersolat

Ini adalah contoh dari Rasulullah s.a.w. Baginda biasanya akan makan dahulu sebelum bergerak menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat aidul fitri. 

Hikmah dari perbuatan ini adalah untuk mengelakkan andaian bahawa satu syawal bukan lagi hari untuk berpuasa. Pernah diceritakan oleh Anas Bin Malik yang katanya:

“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no 953 

Hadith ini tidaklah bererti yang kita tidak boleh makan selain dari kurma. Cuma adalah baik untuk kita menuruti sunnah Baginda, kerana di sebalik sunnah itu, terselit banyak hikmahnya.

5. Memakai Pakaian Yang Cantik

Masyarakat Malaysia hari ini, jika menyambut hari lebaran, mereka akan mengenakan pakaian baru yang cantik dan berwarna warni. Inilah sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. 

Dalam hal ini, saya suka untuk merujuk pendapat Imam al-Syafie r.h. Katanya sepertimana dipetik:

“Aku sangat suka jika seseorang itu memakai pakaian yang paling baik yang ada dalam simpanannya pada hari-hari raya, iaitu Hari Jumaat, dua Hari Raya (Aidul Fitri dan Aidul Adha) dan tempat di mana di adakan majlis (seperti majlis walimah). Hendaklah dia memakai pakaian yang bersih dan memakai wangian” Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Wanita juga turut serta dalam seruan ini kecuali wanita hendaklah mengelakkan dari memakai pakaian yang menarik minat kaum lelaki untuk melihatnya, apatah lagi mengenakan wangi-wangian yang menghidupkan syahwat lelaki. Dalam hal ini, jika wanita melakukan demikian, ia akan dihukum berdosa berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w:

"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina." Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no 5036

Walaubagaimanapun, hadith ini tidak bermaksud untuk wanita itu sentiasa dalam keadaan busuk, tetapi memadailah wangian itu untuk menghilangkan bau busuk. Tidak mengapa untuk wanita berwangi-wangian ketika bersama suami dan ahli keluarga. 

6. Berjalan Kaki Ke Tempat Solat & Melalui Jalan Yang Berbeza

‘Ali r.a di dalam atsarnya menyebut: 

“Adalah sunnah jika engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat didirikan dan memakan sesuatu sebelum berjalan menuju ke tempat solat” Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no 487

Ini tidak bererti, sesiapa yang jauh rumahnya dari tempat solat juga perlu berjalan kaki, menggunakan kenderaan tidak dilarang untuk ke tempat solat, Cuma sebaiknya adalah dengan mengikut sunnah ini.

Rasulullah s.a.w juga mengajarkan kepada kita bahawa membezakan jalan pergi dan pulang dari tempat menunaikan solat hari raya adalah salah satu dari sunnah baginda. Jabir Bin Abdullah r.a berkata:

"Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya." Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no 986 

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:

"Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untuk memberi barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikan darjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya."  Rujuk Zaadul Ma'ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49, dinukil dari tulisan Mohd Yakub Yunus.

7. Mengerjakan Solat Hari Raya

Solat Hari Raya adalah syiar utama ketika menyambut hari raya. Rasulullah dan para sahabat r.anhum mengerjakan solat hari raya. Yang membezakannya dengan solat-solat lain, Rasulullah mengerjakannya di tanah lapang dan bukannya di masjid. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

"Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah)."  Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no 956

Solat sunat hari raya dilakukan sebanyak dua rakaat tanpa ada solat sunat sebelum dan selepasnya. Ini berdasarkan hadith dari Ibnu Abbas r.a:

"Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no 989

Seusai Rasulullah s.a.w mengimami solat sunat hari raya, Rasulullah s.a.w akan berpaling kebelakang untuk berkhutbah, apa pun, khutbah ini adalah sunnah, sesiapa yang ingin mendengarnya adalah lebih baik, sesiapa yang ingin beredar, itu tidak mengapa. Ini berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w seperti berikut:

"Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah)."  Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no 956

Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata: 

"Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar." Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no 975 

8. Bergembira & Bukannya Bersedih Di Hari Raya

Islam menganjurkan kepada kita untuk bergembira di pagi hari raya dan bukannya bersedih-sedihan. Apa yang berlaku di tanah air kita hari ini ialah, pagi raya dijadikan hari untuk bersedih dengan menziarahi kuburan. Inilah hari yang Allah jadikan untuk umat Islam bergembira, bergurau senda, bertamu di rumah saudara mara dan sahabat handai dan menggembirakan orang-orang miskin dengan pergi untuk menziarahi mereka. Tetapi perlu diingat, hiburan tersebut hendaklah sesuai dengan kehendak syarak dan bukannya melanggar batas-batas akhlak yang diajarkan oleh Rasulullah.

9. Puasa Enam di Bulan Syawal

Rasulullah s.a.w ada bersabda sepertimana yang dicatat oleh Imam Muslim di dalam sahihnya:

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun."  Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no 1164

Tidak menjadi kesalahan jika melakukan puasa enam hari di bulan syawal ini secara tidak berturut-turut. Tetapi ada pendapat yang menyatakan bahawa puasa berturut-turut selepas 1 syawal itu adalah lebih afdhal. 

Ada perbuatan yang yang menyatukan puasa qadha’ dan puasa sunat enam hari ini dalam satu puasa. Ini adalah satu kesalahan yang bersalahan dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Ini kerana tidak ada petunjuk dari Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang melakukan puasa dua dalam satu ini. Sebaiknya untuk kita mengasingkan puasa kita mengikut niat. Tidak mengapa untuk mendahului puasa sunat enam hari ini dari puasa qadha’.

Penutup

Semoga hari raya kali ini dapat kita jadikan titik permulaan kepada kita untuk menyambut sebaik mungkin berdasarkan acuan sunnah Rasulullah s.a.w yang semakin ditinggalkan. Hari ini, aidulfitri disambut seolah-seolah tidak ada ruh al-Din dalam perayaan tersebut. Racangan-rancangan tv yang menghidangkan hiburan yang melampau membuatkan semangat ramadhan hilang serta merta. 

Marilah kita sama-sama menghidupkan sunnah sunnah Rasulullah s.a.w ini dengan ikhlas. Siapa lagi untuk diharapkan bagi menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w ketika umat sedang rosak dan pelik dengan sunnah melainkan kita sendiri yang wajib menghidupkannya. 

2 Komen:

Semoga Allah menerima amalanku & amalanmu... Salam Aidilfitri saudaraku..

تقبل الله منا ومنكم... salam Eid al-Fitr kepada semua pembaca2 JEJAKI TINGGALAN RASUL. =)

Catat Ulasan

Pada pendapat anda?

Perjalanan

Tembusi Petra, Jordan Slideshow: BenTaleb’s trip was created by TripAdvisor. Create a free slideshow with music from your travel photos.
Sabda Baginda SAW ; "Ketahuilah ia (Dajjal) berada di laut Syam atau laut Yaman.. akan datang dari arah timur (lalu menunjukkan dengan tangan baginda).."[Riwayat Muslim]. Daripada Abi Bakr al-Siddiq r.a, sabda Baginda SAW, "Dajjal akan muncul ke bumi dari arah timur bernama KHURASAN." [Riwayat al-Tirmizi]. Daripada Anas bin Malik r.a, sabda Baginda SAW, "Dajjal akan keluar dari kota Yahudi ISFAHAN (Khurasan, IRAN) bersama 70,000 penduduk ISFAHAN". [Fath al-Rabbani Tartib Musnad Ahmad. Ibn Hajar berkata : "Sahih"]. Ibn Kathir berkata, Dajal pada mulanya akan muncul dari ISFAHAN dari sebuah kota Yahudi [al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim]. ISFAHAN adalah sebuah bandar terbesar YAHUDI di Iran dan pusat loji nuklear Iran pada masa kini.