JTR mengalu-alukan tuan puan untuk membaca tulisan dalam blog ini bagi manfaat tuan puan
Photobucket

Selasa, 24 Ogos 2010

Beberapa Hukum Berkait Kematian Menurut Sunnah

Posted by Abu Hannan On 3:59:00 PTG 26 comments



Perlu di sedari dan di fahami bahawa di dalam urusan yang melibatkan kematian terdapat hukum yang telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW untuk di ikuti dan di patuhi oleh ummat. Ini supaya ummat terhindar dari unsur dan adat jahiliyyah yang sesat dan menyeleweng dari petunjuk serta sunnah Baginda SAW.

Oleh itu menjadi kewajipan atas setiap muslim yang beriman mematuhi dan mengamalkannya apabila berhadapan dengan saat sedemikian. Di antara hukum tersebut ialah:


Pertama: Mengajar syahadah لا إله إلا الله kepada orang yang hampir mati. Ini diarahkan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi, An-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hibban:

لَقِّنُوْا مَوْتَاكُمْ : لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ
Maksudnya: Ajarkanlah orang yang hampir mati di kalangan kamu dengan  لا إله إلا الله (Tiada Tuhan melainkan Allah).

Sekiranya orang yang hampir mati ini telah menyebut syahadah tersebut maka jangan diulang-ulang lagi keatasnya, kecuali jika ia bercakap dengan percakapan lain selepas itu.

Perkara Pertama ini perlu di ambil perhatian yang besar terutama oleh ahli keluarga orang yang hampir mati kerana jaminan syurga telah diberikan oleh Nabi Muhammad SAW bagi sesiapa yang mengakhiri umurnya dengan ucapan syahadah. Ahli keluarga terutamanya janganlah membiarkan walau sesaat pun kecuali hendaklah membisikkan ke telinga orang yang hampir ini dengan kalimah syahadah itu. Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Al-Hakim:
مَنْ كَانَ آخِرُ كَلاَمِهِ “لا إله إلا الله” دَخَلَ الْجَنَّةَ
Maksudnya: Barangsiapa yang akhir ucapannya لا إله إلا الله ia dapat masuk syurga.

Kedua: Istirja’ ( Mengucapkan إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ ) bila menerima berita kematian. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 dan 156:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ . الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ 

Maksudnya: Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar – (Iatu) orang-orang yang apabila mereka di timpa oleh sesuatu musibah (kesusahan) mereka mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.

Juga boleh memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah) kemudian istirja’. Ini berdasarkan hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi, Ibnu Hibban di mana Allah bertanya kepada Malaikat (dalam riwayat Ahmad: Malaikat Maut) yang mengambil nyawa anak kesayangan hambaNya:
مَاذَا قَالَ عَبْدِي, فَيَقُوْلُوْنَ: حَمِدَكَ وَاسْتَرْجَعَ 

Maksudnya: Apa yang disebut oleh hambaKu. Maka jawab para Malaikat: Ia memujiMu dan istirja’.

Ketiga: Menutup mata si mati. Ini berdasarkan hadith riwayat Ahmad, Muslim, Al-Baihaqi dari Ummu Salamah RA yang menceritakan perbuatan Nabi Muhammad SAW pada hari kematian Abu Salamah RA, katanya:


دَخَلَ رَسُوْلُ اللهِ(ص) عَلَى أَبِي سَلَمَةَ وَقَدْ شَقَّ بَصَرُهُ فَأَغْمَضَهُ ثُمَّ قَالَ: إِنَّ الرُّوْحَ إِذَا قُبِضَ 
 تَبِعَهُ الْبَصَرُ

Maksudnya: Rasulullah SAW masuk ke atas Abu Salamah dalam keadaan matanya terbuka lalu Nabi SAW menutupnya kemudian bersabda: Sesungguhnya roh apabila di cabut ia di ikuti oleh pandangan mata.

Keempat: Menutup seluruh jasad si mati dengan kain. Ini berdasarkan perkhabaran Aisyah RA sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Al-Baihaqi:

سُِجِّيَ رَسُوْلُ اللهِ (ص) حِيْنَ مَاتَ بِثَوْبِ حِبَرَةٍ

Maksudnya: Di tutup (mayat) Rasulullah SAW ketika wafat dengan sehelai kain buatan Yaman.

Kelima: Wajib atas keluarga si mati sabar dan redha. Ini kerana kematian orang yang disayangi merupa satu musibah yang termasuk di dalam ujian Allah kepada hamba-hambaNya. Firman Allah di dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 35:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Juga lihat Surah Al-Baqarah ayat 155 di atas.

Keenam: Diharamkan atas keluarga si mati meratap (menangis dengan suara yang kuat/meraung, mengoyak baju, menampar pipi, memukul badan, menarik rambut). Tegahan ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ahmad, Muslim, Al-Baihaqi:

اثْنَتَانِ فِي النَّاسِ هُمَا بِهِمْ كُفْرٌ: الطَّعْنُ فِي النَّسَبِ وَالنِّيَاحَةُ عَلَى الْمَيِّتِ

Maksudnya: Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir: mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat.

Keterangan: Dibolehkan menangis/mengalirkan air mata tanpa mengeluarkan suara sebagai tanda sedih atas kematian orang yang disayangi. Nabi Muhammad SAW sendiri mengalirkan air mata pada hari kematian anaknya Ibrahim sebagaimana di dalam hadith riwayat Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain.

Ketujuh: Segera menyelesaikan hutang si mati dari harta yang ditinggalkan. Perkara ini begitu penting untuk disegerakan kerana mana-mana orang beriman yang mati dengan meninggalkan hutang maka rohnya akan terhalang dari mendapat nikmat. Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi, Ibnu Majah, Al-Hakim:
نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Roh orang beriman tergantung (terhalang dari mendapat nikmat) kerana hutangnya sehingga ditunaikan keatasnya.

Keterangan: Perlu disedari bahawa harta yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya terikat dengan urutan di bawah ini dari segi penggunaannya, bukan terus difaraidhkan sebagaimana yang difahami oleh masyarakat kita. Urutannya adalah seperti berikut ini:
1. Digunakan untuk membayar kos pengkebumian
2. Membayar hutang
3. Menunaikan wasiat (sekiranya si mati ada berwasiat)
4. Difaraidhkan kepada ahli waris.

Kelapan: Berdoa untuk si mati kerana doa ketika keadaan ini diaminkan oleh malaikat. Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi, An-Nasai, Ibnu Majah Al-Baihaqi:

إِذَا حَضَرْتُمُ الْمَرِيْضَ أَوِ الْمَيِّتَ فَقُوْلُوْا خَيْرًا فَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ يُؤَمِّنُوْنَ عَلَى مَا تَقُوْلُوْنَ

Maksudnya: Apabila kamu menghadiri (ziarah) orang sakit atau orang mati maka ucapkan ucapan yang baik kerana para malaikat mengaminkan atas apa yang kamu ucapkan. 

Peluang berdoa memohon rahmat serta keampunan untuk si mati ini banyak disia-siakan oleh penziarah dan bahkan oleh keluarga si mati sendiri. Sedangkan Allah memerintahkan kita supaya berbuat demikian sepanjang masa lebih-lebih lagi dalam keadaan menghadapi kematian. Firman Allah SWT di dalam Surah Muhammad ayat 19:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ

Maksudnya: Dan mohonlah keampunan bagi dosa kamu dan dosa orang-orang beriman lelaki dan perempuan.

Malangnya mereka begitu sibuk dengan “acara-acara” yang telah di susun dan diaturacarakan oleh adat dan amalan yang tidak thabit dari sunnah Nabi Muhammad SAW. Sedangkan kalau di lihat dari keterangan-keterangan yang bersumber dari sunnah Nabi Muhammad SAW apabila terjadi kematian maka doa dari orang yang hidup amat ditekankan. Kita dapat lihat secara jelas perkara ini bermula dari:
1. Selepas mati (seperti hadith di atas)
2. Dalam solat jenazah
3. Di kubur selepas dikebumikan
Oleh itu setiap penziarah dan juga keluarga si mati hendaklah memberi perhatian yang besar tentang perkara ini. Janganlah disia-siakan peluang berdoa dalam keadaan yang begitu penting ini, lebih-lebih lagi doa tersebut diaminkan oleh para malaikat. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW semasa menziarahi jenazah Abu Salamah RA melalui doa yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, Abu Daud:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ ِلأَبِيْ سَلَمَةَ وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّيْنَ وَاخْلُفْهُ فِي عَقِبِهِ فِي الْغَابِرِيْنَ وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ وَافْسَحْ لَهُ فِي قَبْرِهِ وَنَوِّرْ لَهُ فِيْهِ

Maksudnya: Ya Allah berilah keampunan untuk Abu Salamah, angkatlah darjatnya di dalam golongan orang-orang yang mendapat petunjuk, kurniakanlah gantinya untuk orang yang ditinggalkannya, berilah keampunan untuk kami dan untuknya wahai Tuhan semesta alam dan lapangkanlah kubur untuknya serta penuhilah cahaya didalamnya.

Keterangan: Bagi sesiapa yang ingin berdoa dengan doa ini ketika menziarahi si mati, maka tukarkan tempat nama Abu Salamah itu dengan nama si mati. Sebagai contoh si mati bernama Muhammad:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِمُحَمَّد وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ……………….

Sekiranya penziarah atau keluarga si mati ingin menambah dengan doa yang lain maka boleh di pilih doa-doa yang berkisar kepada pengampunan dosa, memohon rahmat, dijauhkan azab kubur dan neraka, masuk syurga dan lain-lain.

Kemudian kita juga dapat melihat dalam suasana kematian ini ramai yang duduk di sekeliling jenazah sambil membaca Al-Quran atau surah-surah tertentu yang ditujukan bacaan tersebut untuk simati. Persoalannya adakah bacaan tersebut sampai kepada si mati? Di sisi Imam As-Syafie tidak sampai pahala bacaan Al-Quran dari orang hidup untuk orang yang telah mati. Berkata Imam An-Nawawi di dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim (Jilid 4 mukasurat 98 cetakan Darul Hadith, Al-Qaherah-cetakan pertama 1994):

“Dan yang masyhur di dalam mazhab kami (As-Syafie) bahawa membaca Al-Quran (untuk simati) tidak sampai pahalanya”.

Ini berbeza sekiranya Al-Quran itu di baca oleh anak si mati kerana setiap amalan kebajikan yang dikerjakan oleh anak pasti diperolehi pahalanya oleh ibu dan bapa walaupun tidak diniatkan untuk kedua-duanya.
Sampaiya pahala setiap amalan kebajikan anak kepada kepada kedua-dua ibubapanya berdasarkan kepada “anak merupakan hasil dari usaha ibubapa”. Sabda Nabi SAW tentang perkara ini di dalam hadith riwayat Ahmad, Al-Bukhari (di dalam kitabnya At-Tarikh Al-Kabir), Abu Daud, An-Nasai, Ibnu Majah:
إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَإِنَّ وَلَدَهُ مِنْ كَسْبِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya apa yang paling baik dimakan oleh seseorang ialah dari hasil usahanya dan sesungguhnya anak adalah dari hasil usahanya.

Tapi yang malangnya dalam masyarakat kita ialah anak tidak berperanan ketika dalam keadaan ini. Urusan yang penting ini di serah dan diharapkan bulat-bulat kepada orang lain. Dimanakah silapnya. Adakah si anak malu atau tergagap-gagap atau lebih buruk lagi tidak pandai membaca Al-Quran? Oleh itu kepada sesiapa yang bergelar ibubapa janganlah di beri dunia semata-mata kepada anak-anak, berikan sama (atau lebih) agama kepada mereka kerana faedahnya adalah untuk ibubapa juga, bukan untuk orang lain.

Kesembilan: Menyediakan makanan untuk keluarga si mati oleh jiran-jiran. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat As-Syafie, Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, Ibnu Majah, Al-Hakim, Ad-Daruquthni, Al-Baihaqi ketika datang perkhabaran kematian Ja’far bin Abi Thalib yang syahid pada Peperangan Mu’tah:

اصْنَعُوْا ِلآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَقَدْ أَتَاهُمْ أَمْرٌ يَشْغَلُهُمْ

Maksudnya: Buatlah makanan untuk keluarga Ja’far kerana sesungguhnya telah menimpa mereka suatu perkara yang menyusahkan mereka.

Berkata Imam As-Syafie di dalam kitabnya Al-Umm (Jilid 2 mukasurat 635 cetakan Darul Wafa’, cetakan pertama 2001) mengenai perkara ini:

“Aku menyukai bagi jiran si mati atau kerabatnya membuat untuk keluarga si mati pada hari kematiannya dan sebelah malamnya makanan yang mengeyangkan mereka kerana sesungguhnya yang demikian itu adalah sunnah. Dan ia adalah satu tanda ingatan yang mulia di mana ia merupakan sebahagian dari perbuatan ahli kebaikan sebelum dan selepas kita”.

Inilah sunnah yang di ajar oleh Nabi Muhammad SAW dan juga sebagaimana yang di sebut oleh Imam As-Syafie di atas. Semestinya bagi keluarga si mati tidak menyibuk dan menyusahkan diri mereka menyediakan makan apa lagi menjemput orang ramai ke rumah pada malam-malam tertentu kemudian menyediakan makanan untuk jemputan yang hadir. Berkata Dr. Wahbah Az-Zuhaily di dalam kitabnya Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh (Jilid 2 mukasurat 549-550 cetakan Dar Al-Fikr, cetakan kedua 1989):

“Adapun ahli keluarga si mati membuat makanan kepada orang ramai maka ia adalah makruh dan bid’ah yang tiada asal baginya (dari Nabi SAW). Perbuatan sedemikian menambahkan lagi atas musibah mereka serta menyusahkan mereka atas kesusahan yang telah menimpa mereka dan menyerupai perbuatan ahli jahiliyyah. Sekiranya ia melibatkan harta waris yang belum baligh maka haram disediakan makanan (tersebut)”.

Kemudian Dr. Wahbah Az-Zuhaily membawa satu riwayat daripada seorang sahabat Nabi Muhammad SAW bernama Jarir bin Abdullah Al-Bajali RA dengan katanya:
كُنَّا نَرَى اْلإِجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنْعَةَ الطَّعَامِ مِنَ النِّيَاحَةِ

Maksudnya: Kami (sababat-sahabat Nabi Muhammad SAW) mengira bahawa berkumpul bersama keluarga si mati dan menyediakan makanan adalah termasuk dalam meratap.

Demikian juga di sebut di dalam Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji ‘Ala Mazhab Al-Imam As-Syafie karangan Dr. Musthofa Al-Khin, Dr. Musthofa Al-Bugho dan Ali Al-Syarbaji (Juzuk 1 mukasurat 263 cetakan Darul Ulum Al-Insaniyyah, cetakan pertama 1989) dalam perkara ke 7 bid’ah jenazah:

“Keluarga si mati membuat makanan dan menghimpun orang ramai atasnya sebagaimana yang biasa dilakukan di zaman ini. Perbuatan ini adalah bid’ah yang bertentangan dan sangat menyalahi Sunnah”.

Sayugianya setiap orang yang cintakan Agama dan Sunnah Nabi Muhammad SAW menghindarkan diri dari melakukan perkara-perkara baru yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW atau sekurang-kurangnya oleh sahabat-sahabat Baginda SAW. Ini penting untuk memastikan supaya ketulenan Islam itu tetap terpelihara dan terhindar dari tokok tambah.

Kesepuluh: Ta’ziah (menyabar dan memberi kegembiraan kepada kaum kerabat si mati). Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ibnu Majah, Al-Baihaqi:

مَا مِنْ مُؤْمِنٍ يُعَزِّي أَخَاهُ بِمُصِيْبَةٍ إِلاَّ كَسَاهُ الله ُسُبْحَانَهُ مِنْ حُلَلِ اْلكَرَامَةِ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ

Maksudnya: Mana-mana dari kalangan orang beriman yang memberi ta’ziah kepada saudaranya yang di timpa musibah nescaya Allah akan memakainya dengan pakaian kemuliaan pada Hari Qiamat.

Kemudian urusan jenazah seterusnya: di mandi, di kafan, di solat, dikebumikan.


Disediakan oleh: Ustaz Ibrahim Mohd Raja Al-Maniri (untuk bacaan JTR)


Daftar Rujukan:
1) Al-Quran dan terjemahannya.
2) Kitab-kitab hadith yang di sebut periwayatannya di atas.
3) Kitab-kitab fiqh yang di sebut pengambilan hujjahnya di atas.
4) Fiqh As-Sunnah, As- Sayyid Sabiq.
5) Ahkam Al-Janaiz, Muhammad Nasiruddin Al-Albani.

26 Komen:

Saya hendak bertanya untuk point no. 9. Perkara ini mungkin menyebabkan kebebanan kepada keluarga si mati, yang baru sahaja diuji oleh Allah. Persoalan saya ialah, sekiranya keluarga si mati tidak terasa terbeban.

Dari segi wang ringgit, mungkin tidak menjadi masalah, kerana saya sering kali melihat mereka yang menziarahi keluarga si mati, menghulurkan bantuan berupakan wang ringgit mungkin untuk meringankan beban, dari segi perbelanjaan pengebumian sehingga ke jamuan ringan. Bagaimana pula dengan perkara ini? Adakah ia termasuk di dalam jiran-jiran dan sahabat handai tolong menyediakan makanan?

Itu sahaja persoalan yang hendak saya utarakan di sini. :)

keluarga si mati, meskipun mereka mungkin berada dan boleh mengeluarkan kos untuk mengadakan kenduri, tetapi ia bertentangan dengan suruhan Rasulullah s.a.w yang menyuruh jiran tetangga yang menyediakan makanan kepada keluarga Ja'far seperti Hadith yg disebut di atas. Bukan waris si mati yg menyediakan makanan utk qariah lain..

Ini kerana, sama ada ia kaya mahupun miskin, kesedihan sudah tentu ada pada setiap dari ahli si mati. Seharusnya sebagai tetangga, untuk meredakan kesedihan mereka, salah satunya menyedikan makanan untuk keluarga si mati. Ahli si mati pula boleh bertenang dari terus bersedih bukan menyebukkan diri menyediakan makanan untuk orang ramai.

Yang berlaku di tempat kita adalah bertentangan dengan apa yg disuruh oleh Rasulullah s.a.w. Yg terbaik adalah mengikut petunjuk Rasul, sahabat r.anhum dan para tabi'in...
wassalam..

assalamualaikum JTR..saya silent reader blog saudara dan juga org bt 6...segamat..org felda palong timur..mengenai point ke 9 tu yg da menjadi adat orang kita..jadi bagaimana kita hendak mengubah cara dan persepsi mereka..adakah perlu pihak jabatan agama or mufti menerangkan perkara ini

waalaikum al-salam kpd zamx,

mengubah sesuatu yg sudah menjadi budaya itu satu yg agak sukar.. Lihat sahaja Rasulullah sahaja memerlukan masa berpuluh tahun untuk mengubah adat arab jahiliyah kepada yg sesuai dgn aqidah dn sunnah rasulnya... apatah lagi kita.

Saya berpendpt bahawa, penerangan seharusnya daripada mereka yg berwajib dan mengetahui. Satu perkara penting yg harus kita tahu, sunnah di akhir zaman selalunya akan dianggap pelik. ini sesuai dengan sabda baginda:

بدأ الإسلام غريبا وسيعود غريبا فطوبى للغرباء
Islam itu bermula dengan pelik/asing, dan akan kembali asing (seperti mana ia datang). Maka berjayalah mereka yg asing (dari kelompok2 kecil yg menghidupkan islam).

Memberi kefahaman terlebih dahulu dengan mempelajari sunnah baginda. kemudian setelah semua faham aplikasikan dalam tuntutan harian. InsyaAllah kehidupan kita akan lebih dekat dengan sunnah Rasulullah...
Wallahu 'A'lam...

assalamualaikum..saya dahulunya bukan arif dalam bab agama dan daif lagi disisi agama. sekarang saya ingin mmpelajari agama untk dunia akhirat.
di tempat saya ada barmacam macam ustaz yang mengajar agama.tetapi berbeza pendapat yang sangat sukar utuk saya fahami..boleh ka saya mengikut ustaz yang betul betul mengamalkan al quran dan sunah..dan bukan bidaah..dan nabi ada sebut bab bidaah dalam agama..bidaah itu sesat dan sesat itu dalam neraka..saya harap saudara ku abu hannan dapat mmberi pendapat..baraqah wamuslimin..

Assalamualaikum, mengenai point pertama, jika seseorang yang meninggal itu ketika hidupnya adalah seorang yang hilang akal akibat diserang penyakit kira2 sebulan sebelum meninggal, maksudnya dia tidak dapat mengucapkan syahadah, bolehkah si mati diterima masuk ke syurga?

WASSALAM kepada tanpa nama (1).
Sy adalah hamba yg sangat dhaif untuk memberi nasihat kepd tuan/puan. Apa pun, sy amat2 bersyukur dan gembira dengan niat baik tuan/puan untuk mendalami ilmu2 agama kita seraya mengkaji semula agama ini agar kita dapat menikmati Islam yang murni tanpa penambahan oleh tangan2 yg tidak bertanggungjawab.

Mempelajari ilmu agama itu mestilah merujuk kepada yang arif berkenaan beberapa perkara. perkara tersebut ialah:
1. al-Quran (dan yg berkaitan dengannya termasuk tafsirnya dan lain-lain.
2. al-Sunnah/al-Hadith ( ini juga kemahiran yang wajib diketahui oleh para ilmuan untuk kita jadikan sebagai guru. Ini kerana hadith adalah ilmu yg menafsirkan ayat2 al-quran dan menerangkan cara ibadah mengikut sunnah rasulullah dengan tepat. Dalam perkara ini,sy sangat tertarik dengan kata-kata imam al-Syafie r.h. "sekiranya kalian menemukan hadith yang sahih, maka itulah mazhabku". ini menunjukkan bahawa imam al-syafie sangat2 mementingkan ilmu hadith sehingga beliau digelar dengan gelaran Nasir al-Sunnah (pembela sunnah). oleh itu, ilmu hadith dan semua yang berkaitan dengannnya sangat penting terutama dalam menilai status hadith sebelum diamalkan...

kemudian dituruti dengan:
pengetahuan berkenaan 1) Ijmak 2)Ijtihad(qias).

Jadi, mencari guru-guru dan ustaz2 yang mengajak kepada perkara sunnah dan menghidupkannya itu wajib dan seharusnya kita cuba menghindarkan diri dari mereka yang sering mendahului perkara lain dari al-Quran dan al-Sunnah.

Hidupkanlah sunnah Rasulullah ketika umatnya sedang dalam kerosakan juga sampaikan juga kepada yang lain. Semoga kita mendapat syafaatnya di hari kemudian.
wassalam..

Salam,

Tetapi di sini dah diterangkan perkara2 ni. http://www.iluvislam.com/v1/forum/viewthread.php?forum_id=49&thread_id=743&pid=8518#post_8518

Assalamualaikum, saya sebenarnya telah cuba mengubah tradisi (..Per. No. 9 tu) di kampung saya dengan memulakannya di rumah keluarga saya sendiri iaitu apabila ayahanda saya yang tercinta kembali kerahmatullah pada 2004. Ia didorong oleh pembacaan saya terhadap perkara-perkara bid'ah ni, desakan daripada adik beradik yang lain (sebab saya adalah anak sulung) dan yang paling kuat adalah pesanan allayarham ayahanda saya sebelum beliau meninggal bahawa dia tidak mahu dikendurikan sebagaimana lazimnya apabila dia meninggal. Saya cuba jelaskan dan laksanakan perkara ini kepada semua ahli keluarga tetapi akhirnya saya gagal (mungkin akibat kelemahan saya)... pertama sebab adik beradik allayarham ayahanda saya terlalu berpegang kepada tradisi tersebut.. sehinggakan menganggap siapa yang tidak melaksanakannya sebagai tidak menghormati arwah...kedua,kerisauan ibu saya dipinggirkan oleh keluarga allayarham ayahanda saya... moralnya..
benarlah kata Abu Hannan.. ia memerlukan masa.. malangnya.. kenapa usaha perubahan ini tidak dimulakan oleh mereka yang berkelulusan dari mesir yang banyak di kg saya....???

kepada Hamzahmad, Akhir zaman, masyarakat islam akan peling dengan wajah islam yang sebenar. Daripada yang demikian, akan ada mereka yang apabila melihat kemungkaran, mereka kata itu perkara biasa, bila lihat perkara baik, mereka kata itu jahat, sesat dan terus menuduh tanpa semak dahulu dari sumber2 Islam.

Berdakwah perlukan kesabaran,teruskan berdakwah dan jangan putus asa.. uslub atau method itu mungkin perlu diperbaiki..

salam..saya hendak bertanya sesuatu..tentang kata2 terakhir 'ummati,ummati,ummati' semasa nabi MUHAMMAD SAW..adalah palsu..??betul ka..dan sebaliknya adalah kata2 ini 'Allahumma r-rafiqal a'la (ya Allah Teman Yang Tinggi) ..mohon penjelasan..

salam..
sekiranya seseorang itu meninggal dunia..jiran tetangga yang patut menyediakan makanan kepada tetamu yang datang menziarah..boleh saya tahu siapa yang dimaksudkan dengan saudara dan keluarga si mati yang tak boleh menjamu tetamu?saya konfius..samada keluarga itu terdiri daripada anak-anak atau adik beradik semati..

Keluarga si mati = keluarga kepada individu yang meninggal dunia.

Assalammualaikum.

Ingin bertanya tentang perkara berikut.

jika simati belum berkahwin dan tiada anak, hanya ada saudara adik beradik dan ibu bapa, jika adik beradik, ibu @ bapa membacakan ayat Al-Quran dan diniatkan untuk sedekah kepada simati, adakah pahala bacaan itu akan sampai kepada simati.

Terima kasih kerana memberi penerangan.

Assalamualaikum saya hendak bertanya boleh ke menonton televisyen atau radio di rumah si mati sebelum 40

Catat Ulasan

Pada pendapat anda?

Perjalanan

Tembusi Petra, Jordan Slideshow: BenTaleb’s trip was created by TripAdvisor. Create a free slideshow with music from your travel photos.
Sabda Baginda SAW ; "Ketahuilah ia (Dajjal) berada di laut Syam atau laut Yaman.. akan datang dari arah timur (lalu menunjukkan dengan tangan baginda).."[Riwayat Muslim]. Daripada Abi Bakr al-Siddiq r.a, sabda Baginda SAW, "Dajjal akan muncul ke bumi dari arah timur bernama KHURASAN." [Riwayat al-Tirmizi]. Daripada Anas bin Malik r.a, sabda Baginda SAW, "Dajjal akan keluar dari kota Yahudi ISFAHAN (Khurasan, IRAN) bersama 70,000 penduduk ISFAHAN". [Fath al-Rabbani Tartib Musnad Ahmad. Ibn Hajar berkata : "Sahih"]. Ibn Kathir berkata, Dajal pada mulanya akan muncul dari ISFAHAN dari sebuah kota Yahudi [al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim]. ISFAHAN adalah sebuah bandar terbesar YAHUDI di Iran dan pusat loji nuklear Iran pada masa kini.