"Ya Allah, sampaikan juga aku dan seluruh muslimin dengan Malam al-Qadr-Mu"
Pagi hening ditemani angin berhawa dingin di musim panas seolah menyambut kedatangan bulan yang di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Terasa, betapa Allah telah memakbulkan doa hambanya yang sering meminta, "Ya Allah, sampaikanlah aku dengan Ramadhan". Pagi Ramadhan, ciakkan burung-burung gembira mencipta satu senario harmoni dan ketengan di dini harinya. Alhamdulillah, inilah Ramadhan di bumi Syam, bumi yang dijanjikan dengan keberkatan oleh Rasulullah s.a.w. Akhirnya, aku dipertemukan jua dengannya. Syukur.
Malam pertama dengan bertadarus. Satu amalan yang benar-benar mengajar kita mengenai beberapa perkara penting sebagai seorang manusia yang rendah diri. Tadarus itu, konsepnya agar kita boleh menegur sahabat sekiranya bacaan al-Qurannya sedikit lari dari tajwid, harakat dan apa-apa yang ada relasi dengan bacaan. Biarlah sahabat itu lebih lanjut usianya mahupun umurnya masih kecil. Teguran sudah semestinya jika ada di sana ketidakelokan dalam bacaan. Kadang-kadang ego itu perlu juga diajar untuk tunduk. Inilah rahsia bertadarus. Kalau yang ego dan berasa diri sempurna, pasti sukar menerima teguran, lebih-lebih lagi apabila yang menegur itu lebih muda dari kita, kerana kita merasakan kita lebih banyak ilmu daripadanya. Jadi sekurang-kurangnya, jika kita mahu ego kita dilentur, kita harus boleh menerima teguran dari sahabat yang mendengar dengan hati terbuka. Justeru sikap taksub yang membelenggu diri, tidak boleh menerima pendapat orang lain juga dapat dibuang sejauh-jauhnya. Ramadhan kali ini, selesai masalah untuk menghilangkan rasa bongkak. Maaf andai bahasa sedikit kasar. =)
Al-Quran digital akan terus ku jadikan teman di sisi. Mujur tamdun dan keajaiban minda mencipta teknologi . Tetapi al-Quran itu bukan hanya untuk Ramadhan, juga untuk sahabat-sahabat taulannya di bulan-bulan yang lain. Hati kecil terus berbisik, kalau Ramadhan itu tempohnya setahun lengkap, tentu sahaja ramai manusia membaca al-Quran setiap hari dengan bersungguh-sungguh. Tapi inilah persepsi manusia leka, hanya ramadhan sahaja. Pun begitu, syukur itu aku terus lancarkan kepada Pencipta bulan Ramadhan, kerana adanya bulan ini, penyebab yang leka menjadi peka. Berusahalah untuk khatamkan bacaan kita walaupun sekali di bulan ini. Andai kita tidak punya niat sedemikian, sepatutnya mulai sekarang kita punya angan-angan untuk itu. Besar pahalanya. Jangan biarkan mata kita tertutup sepanjang siang kononnya keletihan.Tidur bukan satu-satunya pengubat keletihan.
Perlukan tidur? semamangnya. Tapi tidur untuk merehat sedikit keletihan. Kalau tidurnya seperti musang berjaga malam, aku risau kalau-kalau puasanya kurus kering, sukar untuk menjamin apa-apa. Kalau malamnya pula diisi ibadah pendekat diri, itu cukup baik itu. Siangnya pula berlaku amal dan saleh, bahkan tepat dengan sunnah Rasulullah, malah ikhlas pula, aku yakin, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lepas. Kan Baginda Muhammad sudah bersabda:
عن ابي هريرة رضي الله عنه قال ، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم (( منْ صامَ رمضانَ إيماناً و احتساباً غُفِرَ لهُ ما تَقَدَمَ منْ ذَنبهِ )) قال الشيخ الألباني : ( صحيح ) انظر حديث رقم : 6326 في صحيح الجامعbermaksud: sesiapa yang berpuasa di Bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan sentiasa menghisab dirinya, Akan diampunkan Allah dosa-dosanya yang telah lalu . (hadis sahih)
Bertarawih, antonimnya tarah kuih atau moreh, iaitu di belakang masjid. Ibadah sunnah ini hanya ada pada bulan Ramadhan sahaja, tidak ada pada yang lain. Rugilah jika kita tidak menunaikannya secara berjamaah di masjid ataupun surau. Tetapi, jemaah tidak kurang hebatnya dibelakang, bukan bertarawih tetapi...anda pasti tahu antonimnya yang tentunya tarah kuih. Ini pada hematku, bukan hanya masalah para remaja yang mungkin letih mendengar bacaan al-Quran Imam yang begitu memengantukkan jemaah, bahkan masalah bapa-bapa yang tidak tahu malu. Seharusnya mereka membawa anak-anak remaja mereka bersama bersebelahan saf solat untuk mengawasi atas tujuan mendidik, tetapi yang terjadi hanyalah sebaliknya. Mungkin ini hanya terjadi di sebahagian kecil masjid sahaja. Justeru, Imam dan AJK masjid perlu mengatur strategi untuk mengembalikan kegemilangan tarawih seperti pada masa Rasulullah dahulu. Usah bertikam lidah 8 atau 20 bilangan rakaatnya, kerana kedua-duanya sunnah. Yang penting, ukhuwwah islamiah itu terus terjaga. Tetapi perlu juga sebagai tanda persaudaraan di dalam Islam, menegur kalau-kalau ada yang membaca hadith-hadith palsu, beramal dengan yang tidak warid dari Rasulullah dan para sahabat dalam persoalan akidah dan ibadah. Sewajibnya, teguran itu perlu berhikmah bukan dengan cara bertikam lidah. Sebuah hadith sahih merekodkan:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ لَيْلَةً مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ وَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلَاتِهِ فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ فَصَلَّى فَصَلَّوْا مَعَهُ فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنْ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى فَصَلَّوْا بِصَلَاتِهِ فَلَمَّا كَانَتْ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ حَتَّى خَرَجَ لِصَلَاةِ الصُّبْحِ فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَيَّ مَكَانُكُمْ وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْتَرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا فَتُوُفِّيَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ. (رواه البخاري
Bermaksud:
“Dari `Aisyah r.a., katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. – pada suatu malam (dalam bulan Ramadhan) ketika jauh malam telah keluar lalu sembahyang di masjid dengan diikuti oleh beberapa orang lelaki sebagai makmum. Pada keesokan harinya terhebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu mereka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua) serta mereka bersembahyanglah bersama-sama Baginda.Pada keesokan harinya terhebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu bertambah ramai orang-orang hadir di masjid pada malam yang ketiga. Rasulullah s.a.w. pun keluar ke masjid lalu sembahyang dengan diikuti oleh sidang jamaah.Setelah sampai malam yang keempat, penuh sesaklah masjid dengan sidang jamaah (tetapi Baginda tidak datang) sehinggalah Baginda keluar ke masjid untuk mengerjakan sembahyang subuh. Setelah selesai sembahyang, Baginda mengadap orang ramai lalu (memulakan ucapannya dengan memuji Allah Taala dan) mengucap syahadah, kemudian Baginda (menerangkan sebabnya Baginda tidak datang ke masjid untuk mengerjakan sembahyang tarawih bersama), sabdanya:“Amma Ba’du, sebenarnya tidak terlindung kepada Aku tentang kedudukan kamu (sebagai orang-orang yang taat dan suka berbuat kebajikan), tetapi Aku bimbang bahawa (sembahyang tarawih) ituakan difardhukan atas kamu, maka dengan itu kamu tidak terdaya mengerjakannya.”(Imam al-Zuhri, salah seorang rawi hadith ini berkata): “Maka wafatlah Rasulullah S.A.W sedang perkara (sembahyang tarawih) itu berkeadaan demikian” (tidak dikerjakan dengan berjamaah).(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari)
Semenjak itu sembahyang tarawih tidak dikerjakan dengan berjamaah di masjid tetapi masing-masing mengerjakannya dengan bersendirian, sama ada di rumah atau di masjid.
Kemudian, situasi ini berjalan terus sehinggalah ke zaman Saidina Umar R.A, barulah sembahyang tarawih itu dikerjakan dengan berjamaah di masjid menurut seorang imam yang telah dilantik oleh Saidina Umar sendiri seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut:
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ قَالَ خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلَاتِهِ الرَّهْطُ فَقَالَ عُمَرُ إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلَاءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلَاةِ قَارِئِهِمْ قَالَ عُمَرُ نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ. (رواه البخاري
“Dari Abdul Rahman bin Abd al-Qari, katanya: Pada suatu malam dalam bulan Ramadhan, saya mengiringi Umar bin al-Khattab ke masjid, tiba-tiba (kami) dapati orang ramai (di situ) berpecah-pecah kepada beberapa kumpulan yang berasingan, ada orang yang sembahyang seorang diri, ada pula yang sembahyang lalu diikuti oleh beberapa orang.
(Melihatkan yang demikian) Saidina Umar berkata: “Aku fikir, kalau aku kumpulkan mereka ini semuanya berimamkan seorang imam, tentulah amalan itu amatlah baiknya.”
Kemudian ia mengambil keputusan lalu mengumpulkan mereka semuanya berimamkan Ubai bin Kaab.
Setelah itu, saya mengiringi Saidina Umar pada suatu malam yang lain (pergi ke masjid), (pada ketika itu) orang ramai sedang sembahyang berimamkan imam mereka (yang tersebut).
(Melihatkan yang demikian) Saidina Umar berkata: “Amalan ini satu perbuatan baru yang baik …” (Hadith Sahih – Riwayat Bukhari)
Bersolat malam, atau menghidupkan malam. Ramai daripada kita tentunya sukar untuk bangun menghidupkan malam-malam di bulan Ramadhan. Cubalah, ikhlaskan diri. Sekurang-kurangnya dua rakaat tahajjud itu sudah memadai kalau kita betul-betul kurang rajin sekalipun. Banyak fadhilatnya. Rasulullah s.a.w bersabda:
منْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Bermaksud: “Sesiapa mengerjakan sembahyang malam dalam bulan Ramadhan, sedang ia beriman serta mengharapkan rahmat Allah Taala, maka ia akan diampunkan dosanya yang telah lalu”
(Hadith Sahih, riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a. (Sahih Muslim – bi Syarh al-Nawawi, 6:39))
Ya al-Rahman, aku ingin menjadi hamba terbaik untuk-Mu. Aku ingin menjadi pengikut yang tepat untuk Rasul utusan-Mu. Lantas Kau tiupkanlah hidayah-Mu kepada hati kecil ini, biar dia bisa melakukan apa sahaja yang Kau dan Rasul-Mu redhai. Ramadhan ini, aku tidak mahu terlepas, dari terus berusaha mengejar hidayah-Mu, yang mahal untuk mereka yang jual mahal, yang murah untuk mereka yang sentiasa berusaha.
Ya Allah, sampaikan juga aku dan seluruh muslimin dengan Malam al-Qadr-Mu...
Sufian Talib, Mafraq Jordan.
6 Komen:
-Anak perantau, UK.
sangat baik untuk perkongsian jiwa. banyak juga teguran membina! TAHNIAH JTR~
semoga ramadhan kali sangat bermakna untuk kita. jadikan ia titik permulaan perubahan dalam diri kita!
-hanissa
bermudik ke seluruh pelusuk alam, aku tahu di mana letaknya yang terbaik..
Ya, apabila bermudik di bulan ramadhan untuk yang dinamakan ibadah...nescaya itu yang paling terbaik, kerana al-Qadr telah memberitakan hal yang terbaik dari 1000 bulan!
al-qusr..
semoga ramadhan tahun ini lebih baik daripada tahun lepas. mencarii ketenangan abadi
Sang Mantan kate...
mencari nialaian pahala disisi ALlah adalah dengan keikhlasan dalam beribadah dan ittiba' pada rasulNya.
salam ramadhan
terima kasih sang mantan....
Catat Ulasan
Pada pendapat anda?