JTR mengalu-alukan tuan puan untuk membaca tulisan dalam blog ini bagi manfaat tuan puan
Photobucket

Memaparkan catatan dengan label salah faham. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label salah faham. Papar semua catatan

Selasa, 1 November 2011

Tepuk Tangan Syaitan Lahir?

Posted by Abu Hannan On 6:56:00 PTG



KEBIASAANNYA bertepuk tangan disaksikan ketika menghadiri majlis keramaian dan persembahan. Sudah menjadi kebiasaan majlis berbentuk Islam sunyi daripada tepukan gemuruh penontonnya. Bahkan suasana sedemikian menampakkan kesuraman sesuatu program.

Apabila diteliti permasalahan ini, timbul beberapa perbahasan dalam kalangan sesetengah orang agama bahawa bertepuk tangan itu diharamkan. Ada pula mengeluarkan pendapat pelik ia boleh menyebabkan syaitan melahirkan anaknya.
Bertepuk tangan di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah
Malah ada yang mencadangkan jika ingin menepuk tangan maka tepuklah dengan belakang tapak tangan sebagai isyarat gantian. Persoalannya adakah ini sesuatu ditetapkan agama.

Walaupun ada dibahaskan dalam bab solat oleh ulama asy-Syafi’iyyah seperti Imam Ramli dan al-Bajuri, namun ia tidak membabitkan hukum menepuk tangan di luar solat. Maka, ada pendapat mengharamkannya berasaskan penghujahan dalil tertentu.
Firman Allah SWT bermaksud: “Tiadalah solat atau ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ (siulan) dan tashdiyyah (tepuk tangan). Maka rasakan azab disebabkan kekafiran kamu.” (Surah al-Anfal ayat 35)
Pentafsir mentafsirkan ayat ini mengatakan perkataan al-muka’ (siulan) dan al-tashdiyyah (tepuk tangan) yang dimaksudkan dalam surah al-Anfal ialah perbuatan orang kafir yang mengganggu solat dan bacaan al-Quran Rasulullah serta kaum muslimin.

Tepukan dan siulan itu mendatangkan rasa tidak senang kepada Rasulullah dan orang Islam sehingga Rasulullah menegah perbuatan berkenaan. Ini pandangan paling tepat dalam menceritakan sebab turunnya ayat menurut Imam Jalaluddin as-Suyuti.

Al Qurtubi pula merujuk kepada pendapat Ibnu Abbas mengatakan, masyarakat Quraisy jahiliah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia adalah ibadat. Ini juga pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.

Merujuk sebab turun dan kisah di sebalik ayat 35 surah al-Anfal ini, jelas pengharaman tepuk tangan secara umumnya adalah kepada orang yang meniru perbuatan orang kafir dalam melakukan ibadah. Jika ibadah solat diselang-selikan dengan bertepuk tangan maka secara jelas diharamkan.

Bagaimanapun, mengharamkan hukum menepuk tangan ketika di luar solat adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya kerana ayat berkenaan tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk tangan.

Sudah jelas kepada kita bertepuk tangan dalam solat seperti orang jahiliah adalah dilarang. Namun, menepuk tangan di dalam solat dan di luar solat berbeza. Maka penyabitan hukumnya juga berbeza.

Begitu juga sebahagian pendapat mengatakan menepuk tangan diharamkan kepada lelaki berasaskan dalil hadis sahih yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih (dengan berkata subhanallah). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya (memberi perhatian). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan itu dilarang kerana termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) wanita seperti dinyatakan hadis bahawa hal semacam itu hanya khusus bagi wanita ketika memperingatkan imam yang tersilap dalam solat sementara lelaki disuruh mengingatkan imam dengan ucapan tasbih.

Hadis ini khusus mengenai bertepuk tangan dalam solat. Kes berlaku apabila seorang imam melakukan kesilapan maka makmum wanita hanya boleh menepuk tangan sebagai isyarat membetulkan imam. Ia tidak boleh menjadi dalil menegah bertepuk di luar solat seperti disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami.

Pengharaman hukum menepuk tangan dalam sesuatu majlis itu tertolak kerana masih lagi didasari dalil agak lemah. Penulis cenderung kepada pandangan beberapa ulama yang membenarkannya seperti Syeikh Atiyyah Saqr, yang mengharuskannya kerana tiada dalil mengharamkan.

Menurut kaedah fiqh Islam, asal sesuatu perkara adalah harus. Maksudnya, sesuatu perkara yang tidak diberitakan oleh syariat dipandang harus hukumnya. Namun, ia boleh menjadi haram mahupun wajib jika disertakan dalil yang menyuruh.

Pengarang kitab al-Hafl al-Zifaf fi al-Fiqh Islam, Syeikh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh, berkata tepuk tangan perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor ia dilakukan.

Hukum bertepuk tangan dalam majlis asalnya mubah (perkara diharuskan) sebab bertepuk tangan termasuk perbuatan jibiliyah (af’al jibiliyyah) yang hukum asalnya mubah, sepanjang tidak ada dalil mengharamkan.

Perbuatan jibiliyah adalah perbuatan secara alamiah (fitrah) dilakukan manusia sejak penciptaannya dan menjadi bahagian yang tidak terpisah dari sifat kemanusiaannya seperti berfikir, bercakap, berjalan, berlari, melompat, duduk, makan, minum, mendengar, melihat dan seterusnya.

Menepuk tangan itu sesuatu yang diharuskan syarak. Ia boleh menceriakan sesuatu majlis terutama bagi menggembirakan kanak-kanak. Walaupun begitu, hukumnya boleh menjadi haram apabila bertepuk tangan dalam pertunjukan hiburan yang tidak syarak, pembukaan aurat atau menghina serta mengejek orang lain.

Bertepuk tangan di luar solat sama ada di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah. Begitu juga niat orang yang bertepuk tangan untuk mengejek, menghina ataupun memuji orang yang tidak sepatutnya.

Tegakkan hukum agama atas dasar hujah dan dalil kerana agama tertegak bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah, bukannya dakwaan atau sangkaan semata-mata tanpa menilai dari mana asal usulnya.
imam muda asyraf 

Khamis, 22 September 2011

Takut Hantu Wahabi!

Posted by Abu Hannan On 6:20:00 PTG



Ada beberapa orang mencadangkan agar saya menyentuh sedikit apa yang disebut minggu lepas oleh seorang akvitis tarekat yang menulis mengenai penangkapan saya dalam kolum di bawah saya ini.

Bagi saya, adalah perkara biasa untuk ahli tarekat tidak selesa dengan saya kerana beberapa artikel saya sebelum ini turut mengkritik budaya meminggirkan rasional atau budaya taklid buta yang sering berlaku dalam banyak tarekat sehingga pengikut melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh ‘syeikh’ mereka tanpa bertanya lagi dalilnya.

Namun persoalan yang besar yang sering ditimbulkan ‘siapakah Ahlus Sunnah wal Jama’ah?”. Oleh kerana jenama ini begitu laku, bahkan ia juga sering dijadikan senjata, maka banyak pihak mengistiharkan jenama ini milik mutlak mereka dan sesiapa yang menentang mereka bererti terkeluar dari Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Mereka ini mengingatkan kita kepada Napoleon Banaparte yang berkata: “I am France and France is me”.
Maka ramailah orang mendakwa Ahlus Sunnah wal Jama’ah, walaupun jika ditanya mereka apakah itu Ahlus Sunnah wal Jama’ah mereka meraba dan terpinga mencari jawapannya. Atau jika diberikan jawapan, ia mempunyai kepentingan yang tersendiri.

Sehingga kelompok tarekat yang sering mencetuskan dakwaan berbagai-bagai termasuk konsep ‘wahdatul ujud’ (kesatuan tuhan dengan makhluk) yang dilaungkan oleh Ibn ‘Arabi juga mendakwa mereka Ahlus Sunnah wal Jama’ah.


Lebih sedih lagi, ada yang mendakwa “Ahlus Sunnah hanya yang ikut mazhab Syafi’e”. Kalau demikian, habislah terkeluar imam-imam lain seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam Ahmad dari kalangan Ahlus Sunnah wal Jama’ah!.

Sehinggakan mereka yang tidak qunut pun dikeluarkan dari Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Maka barangkali tiga perempat dari umat Islam ini terkeluar dari Ahlus Sunnah wal Jama’ah.

Padahal istilah Sunnah di sini merujuk Sunnah Nabi s.a.w yang merangkumi penghayatan al-Quran dan sunnah, maka ahli sunnah ialah mereka yang menghayati hakikat ini. Sementara perkataan jama’ah merujuk kepada para sahabat Nabi s.a.w dalam ertikata lain menghayati al-Quran dan Sunnah seiring dengan jalan yang ditunjukkan oleh generasi agung Islam iaitu para sahabat. Sesiapa yang yakin bahawa al-Quran dan Sunnah adalah pegangan mereka sementara penghayatan para sahabah adalah panduan mereka, maka mereka adalah Ahlus sunnah wal Jama’ah (lihat: al-Mausu’at al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa al-Ahzab al-Mu’asarah, 40-54, WAMY).

Maka dengan itu berbagai mazhab fekah sekalipun ada perbezaan pandangan mereka tidak dikeluarkan dari Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Ini seperti kata ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi (wafat 429H): 
“Maka termasuk dalam golongan ini mereka yang mengikut al-Imam Malik, al-Imam Syafi’i, al-Auza’i, al-Thauri, Abu Hanifah, Ibn Abi Laila, Abi Thaur, Ahmad bin Hanbal, Ahli Zahir dan sekelian yang beriktikad dalam bab yang menggunakan akal berdasarkan prinsip-prinsip tauhid sifat. Mereka tidak mencampur-adukkan sedikit pun dengan bida’ah ahli hawa nafsu dan sesat” (al-Baghdadi, al-Farq bain al-Firaq, m.s 314-315, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Jika kita lihat di sini, Mazhab Zahiri yang hanya berpegang kepada zahir nas sahaja dikategorikan sebagai Ahlus Sunnah, apakah tidak qunut, letak tangan atas dada ketika solat, tidak berwirid beramai-ramai selepas selepas solat terkeluar dari Ahlus Sunnah?!

Lihatlah, wakil JAIS dalam temubual Utusan menyebut antara ciri sesat itu mereka yang membicarakan pecahan tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah, Asma dan Sifat. Namun dalam ciri-ciri Ahlus Sunnah wal Jama’ah yang dikeluarkan oleh WAMY, bahkan sukatan UIA, sukatan sekolah negara kita dan kebanyakan universiti di dunia ini, itulah ciri manhaj kefahaman tauhid Ahlus Sunnah yang diajar.

Sejak saya sekolah rendah, dalam usrah, dalam buku akidah Presiden PAS, dalam buku sekolah Kerajaan UMNO dan di negara-negara Arab, di UK, US dan Eropah itulah bentuk perbahasan akidah Ahlus Sunnah yang diajar.

Hari ini wakil JAIS dalam temubualnya dengan Utusan menyatakan itu bukan akidah akidah Ahlus Sunnah bahkan dikaitkan dengan akidah penyembah berhala. Akhirnya, dikaitkan dengan wahabi. Kalau begitu telah lamalah kita semua wahabi.



Saya amat dukacita, jika golongan agama itu suka menjadikan senjata kafir mengkafir, sesat menyesat sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan dan diri, akhirnya umat yang musnah. Izinkan sekali lagi saya menyebut perkataan Prof Hamka: 
Kadang-kala dikatakan Kaum Muda tidak hormat kepada ulama. Padahal yang mereka katakan ulama itu bukanlah Imam Malik atau Imam Syafie, tetapi beberapa pegawai kerajaan yang memakai serban dan jubah. Dan beliau pun merasakan dirinya ulama kerana pada tangannya sudah ada surat tauliah”. (Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s. 66).

Daripada cerita tauliah pergi ke cerita wahabi. Setiap yang berbeza pendapat dengan mereka yang memegang kuasa agama dilebelkan wahabi.



Minggu lepas Pengarah Jais menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh masuk masjid kerana mereka bagaikan wanita haid. Dalam keadaan ramai bukan muslim salah faham terhadap Islam, fatwa seperti ini dikeluarkan.

Padahal pada zaman Nabi s.a.w para perwakilan muslim dan bukan muslim samada Yahudi, Kristian dan selain mereka masuk berjumpa Nabi s.a.w dalam masjid. Mereka memahami Islam dari masjid dan berurusan dengan kerajaan Islam dalam masjid. Ini disebut dalam banyak hadis.

Jika Pengarah JAIS itu memilih pendapat yang saya anggap tidak kukuh dan merugikan Islam di Malaysia dan saya memilih pendapat para ulama yang menyatakan bukan muslim boleh masuk ke masjid jika ada keperluan, adakah saya telah menjadi wahabi dan sesat? Apakah pula jika satu hari Allah takdirkan saya berada di tampok kuasa, maka pendapat beliau pula akan dihukum wahabi dan sesat?! Rosaklah agama jika menjadi mainan hawa nafsu dan kepentingan!

Saya bukan peminat karangan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab (1115H). Saya suka dengan Dr Yusuf al-Qaradawi yang menyatakan jiwanya begitu dekat Ibn Taimiyyah (meninggal 728H). Begitulah juga saya. Namun saya sama sekali tidak dapat menerima tabiat suka mengkafir dan menyesatkan tokoh ilmuwan seperti yang berlaku sekarang ini. Jika saya tidak bermazhab Maliki, saya tetap membantah mereka yang menghina al-Imam Malik bin Anas, kerana seorang muslim wajib membela muslim lain yang dizalimi, apatah lagi tokoh ilmuwan.

Sekalipun saya bukan pengikut Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, saya tetap tidak akan mengizinkan beliau dicerca, dikafirkan dan dihina. Apatahlagi, kesannya besar. Mereka yang membangkitkan isu kafir dan sesat wahabi ini akan mengheret Negara Arab Saudi secara khusus dan beberapa negara Arab lain sebagai sesat dan mungkin kafir. Mereka ini ada agenda yang tersendiri, yang berpusat di Lubnan dan ada agen-agennya sudah sampai ke negara ini. Rancangan menghidupkan kafir mengkafir sesama umat. Ini akan dihuraikan dalam tulisan akan datang.

Baru-baru ini UIA meraikan kedatangan tokoh ilmuwan terkenal ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Muhsin al-Turki , Setiausaha Agung, Muslim World League dalam International Conference on Jurisprudence of Minorities in the Light of Maqasid al-Shariah.

Tokoh ini dalam tulisannya Mujmal I’tikad Aimmah al-Salaf memuji akidah dan perjuangan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, antaranya beliau menyebut: 
Berterusanlah al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab menyeru kepada akidah yang bersih dan bersinar. Dengan tauhid, beliau menentang syirik, dengan ilmu beliau menentang khurafat” (m.s. 105, Beirut: Muasasah al-Risalah).


 Dr Yusuf al-Qaradawi juga menyebut dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: 
"Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abdul Wahhab di Semenanjung Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, Mesir: Maktabah Wahbah).

Seorang lagi tokoh fekah yang terkenal di zaman ini, yang banyak pandangannya dirujuk, Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut : 
“Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya):“Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah.Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid’ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih..” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).


Sekali lagi, seperti yang pernah saya tanya dahulu, apakah mereka semuanya wahabi kerana memuji Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Apakah mereka jika berceramah di negara ini akan ditanggap kerana tiada tauliah dan tauliah pun tidak boleh diberikan kepada mereka kerana mereka ada unsur wahabi ?!

Dalam sejarah, akibat permainan golongan agama seperti ini al-Imam Ahmad bin Hanbal pernah dijatuhkan hukuman oleh ulama pemerintah pada zamannya, al-Imam al-Bukhari juga sama. Wahabi telah menjelma bagaikan istilah hantu yang digunakan oleh orang tua-tua dulu untuk menakutkan budak-budak.

Maka, tidak pentinglah samada hantu itu wujud atau tidak di situ, tidaklah penting samada orang tua-tua itu pernah melihatnya atau tidak, tidaklah penting apa rupanya, yang penting kanak-kanak menjadi takut dan orang tua-tua dapat duduk selesa bersembang di meja kopi dengan gelak ketawa sampai ke pagi.
Peranan media antarabangsa & orientalis mampu mengubah persepsi dua negara di atas terhadap masyarakat Islam dunia
 DrMaza

Perjalanan

Tembusi Petra, Jordan Slideshow: BenTaleb’s trip was created by TripAdvisor. Create a free slideshow with music from your travel photos.
Sabda Baginda SAW ; "Ketahuilah ia (Dajjal) berada di laut Syam atau laut Yaman.. akan datang dari arah timur (lalu menunjukkan dengan tangan baginda).."[Riwayat Muslim]. Daripada Abi Bakr al-Siddiq r.a, sabda Baginda SAW, "Dajjal akan muncul ke bumi dari arah timur bernama KHURASAN." [Riwayat al-Tirmizi]. Daripada Anas bin Malik r.a, sabda Baginda SAW, "Dajjal akan keluar dari kota Yahudi ISFAHAN (Khurasan, IRAN) bersama 70,000 penduduk ISFAHAN". [Fath al-Rabbani Tartib Musnad Ahmad. Ibn Hajar berkata : "Sahih"]. Ibn Kathir berkata, Dajal pada mulanya akan muncul dari ISFAHAN dari sebuah kota Yahudi [al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim]. ISFAHAN adalah sebuah bandar terbesar YAHUDI di Iran dan pusat loji nuklear Iran pada masa kini.