(Nama Zulaikha dalam kisah yusuf antara yang bersumber dari cerita Israiliat-Gambar Hiasan)
Muqaddimah :
Asas
pembinaan dalam Islam ialah al-Quran dan as-Sunnah. Kedua-dua sumber
terpenting ini mesti diletakkan di hadapan dan dijadikan rujukan kerana
al-Quran adalah dari Allah SWT, manakala as-Sunnah Sohihah pula
bersandarkan persabdaan nabi SAW yang dibimbing wahyu Allah.
Kefahaman yang betul tentang al-Quran
dapat diperolehi menerusi Manhaj Tafsir yang digariskan ulamak
berdasarkan ciri-ciri dan syarat-syarat yang ditentukan. Antaranya,
meletakkan Tafsir Bil-Ma’tsur (Tafsir berdasarkan hadis dan riwayat)
sebagai asas Tafsir, disusuli dengan Tafsir Bil ra’yi yang selari dengan
kehendak syara’.
Penguasaan
dalam bidang Usul Hadis dan pengajian hadis amat mustahak bagi memahami
Tafsir Bil-Ma’sur. Tanpa pengetahuan mendalam dalam bidang hadis amat
sukar bagi seseorang itu memahami Tafsir Bil-Ma’sur.
Israiliyyat
adalah isu yang berkait rapat dengan Tafsir Bil Ma’sur kerana ia
berkembang melalui periwayatan. Kewujudannya di celah-celah tafsiran
al-Quran boleh menimbulkan bahaya tanpa disedari khususnya Israiliyyat
yang bersifat merosakkan aqidah seseorang. Dalam banyak hal ia boleh
menghalang seseorang dari memahami dan menghayati al-Quran.
Isu
Israiliyyat perlu ditangani menerusi pemahaman yang betul tentang zat
Israiliyyat itu sendiri, pembahagiannya serta cara atau pun kaedah bagi
mengenal pasti atau mengenal Israiliyyat. Untuk tujuan itu, kertas ini
dikemukakan.
Pengenalan :
Pengenalan
Israiliyyat sebagaimana yang dinyatakan oleh Doktor Muhammad Husin
az-Zahabi rahimahullah: “lafaz Israiliyyaat- pada zahir adalah lafaz
yang jama’, lafaz mufradnya Israiliyyat. Ia adalah kisah atau peristiwa
yang dinukilkan dari sumber Israiliyyi dinisbahkan kepada Israiliyyat
iaitu Nabi Ya’qub bin Ishak bin Ibrahim. Kepadanyalah dinisbahkan bangsa
Yahudi, lalu dikatakan “ Bani Israil” (Az-zahabi , Doktor Muhammad
Husin, al-Israiliyyaat dalam Tafsir dan Hadis, muka surat 19)
Menurut Doktor Zahabi ulamak tafsir dan hadis telah
memperluaskan pengertian Israiliyyat daripada hanya berkisar tentang
cerita yang bersumberkan Yahudi kepada apa jua yang dianggap tidak
berasas samada ia berbentuk dongeng dahulu kala ( sebahagian ulamak
melabelkannya الدّخيل
) yang boleh jadi asalnya adalah dari sumber Yahudi atau Nasrani atau
sumber-sumber lain (Ibid., muka surat 19-20). Oleh kerana kebanyakan
cerita yang diterima bersumberkan sumber Yahudi, maka lafaz Israiliyyat
lebih sesuai digunakan.
Pengenalan
atau definisi Israiliyyat yang dikemukakan oleh Doktor Zahabi amat
penting kerana beliau dikira tokoh utama yang membincangkan persoalan
berkaitan Israiliyyaat. Sehigga hari ini, saya tidak mendapati seseorang
pun yang menulis atau membahaskan isu Israiliyyat melainkan ia terpaksa
merujuk kepada tulisan dan pandangan Doktor Zahabi ( lihat: Doktor Ahmad Najib bin Abdullah. Tesis Ph.D muka surat 16-18.Universiti Islam Madinah)
Perkembangan ringkas Israiliyyat : (lihat, al-Israiliyyaat dalam Tafsir dan Hadis, muka surat 22-38)
Menurut
sejarah, orang-orang Yahudi telah pun menetap bersama dengan
orang-orang Arab sejak zaman sebelum Islam. Mereka memiliki ilmu
pengetahuan yang diambil dari ajaran Kitab Taurat dan buku-buku ugama mereka
yang lain. Orang-orang Arab sering kali bertanya orang-orang Yahudi
tentang perkara-perkara yang berhubung sejarah lama berkenaan tokoh,
peristiwa dan cerita tertentu.
Sebahagian
sahabat nabi seperti Abu Hurairah dan Abu ‘Abbas r.a ada bertanya ahli
kitab Yahudi yang memeluk Islam tentang beberapa perincian cerita
terdahulu (Ibid, muka surat 66.التفسير والمفسرون 1/70. Ibnu kasir, البداية والنهاية ,1/17...)
tetapi pertanyaan mereka adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu,
tidak termasuk persoalan akidah. Mereka melakukan demikian kerana mereka
faham keharusan yang diberikan nabi SAW dalam meriwayatkan cerita
Israiliyyat.
Di zaman tabi’in, proses periwayatan Israiliyyat menjadi lebih aktif disebabkan kecenderungan masyarakat mendengar cerita-cerita yang agak luar biasa.
Apabila datangnya tabi’ tabi’iin periwayatan menjadi lebih serius dengan munculnya golongan “ القصّاص”(al-Qassas) iaitu penyampai cerita yang tidak bertanggungjawab.
Era pembukuan karya Islam kemudiannya menyaksikan bagaimana tafsir al-Quran termuat dicelah-celah tajuk kitab-kitab hadis sebelum ia terpisah dan dapat menentukan kedudukannya sendiri.
Pada
peringkat awalnya, tafsir al-Quran dipersembahkan dengan lengkap
bersanad kemudiannya sanad-sanad yang menghiasi matan-matan riwayat
dibuang dengan tujuan untuk meringkaskan dan meringankan saiz
kitab-kitab tafsir yang penuh sarat dengan muatan rangkaian perawi itu.
Justeru terbuangnya sanad, maka riwayat-riwayat tafsir mula menempuh keadaan yang amat sukar dan bermasaalah di mana tidak dapat dipastikan lagi riwayat
yang boleh diterima dan riwayat yang tidak boleh diterima. Dari
timbunan riwayat inilah terdapat Israiliyyaat yang akhirnya melengkapi
sebahagian besar tafsiran ayat-ayat al-Quran. Ini berlaku bukan sahaja
kepada kitab-kitab Tafsir Bil Ma’tsur bahkan menular kepada kitab-kitab
Tafsir Birra’yi dengan kadar yang berbeza.
Pembahagian Israiliyyat :
Apabila
disebut Israiliyyat pada kebiasaanya ia merujuk kepada riwayat-riwayat
Israiliyyat yang bersifat negatif atau yang sukar diterima isinya.
Merujuk
kepada pembahagian ulamak antaranya Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah
rahimahullah ( Ibnu Taimiyyah,Muqaddimah dalam Usul Tafsir, muka surat
100) Israiliyyat dapat dibahagikan kepada tiga bahagian:
Pertama:
Israiliyyat yang selari dengan apa yang ada di dalam sumber Islam,
al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah. Contohnya: riwayat yang menyebut
rakan seperjalanan Nabi Musa a.s ialah Khidir.
Kedua:
Israiliyyat yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah.
Contohnya: cerita malaikat Harut dan Marut yang terlibat dengan dosa besar. Minum arak, berzina dan membunuh
Ketiga: Israiliyyat yang tidak dapat dipastikan statusnya (maskut
anhu). Contohnya, riwayat-riwayat yang menyebut bahagian anggota lembu
yang diambil untuk memukul si mati dalam kisah bani Israil.
Hukum meriwayatkan Israiliyyat :
Terdapat dua pandangan ulamak dalam masalah ini.
Pandangan pertama: Tidak harus meriwayatkan Israiliyyat. Antara dalil mereka, hadis nabi S.A.W:
ولا تصد قوا أهل الكتا ب و لا تكذبوهم, وقو لوا آ منا بالله وما انزل الينا
Maksudnya:
“ Janganlah kamu mempercayai Ahli Kitab dan janganlah pula mendustai
mereka, katakanlah kami beriman kepada Allah dan kepada kitab yang
diturunkan kepada kami...” (Al-Bukhari, Sohih Bukhari, hadis nombar
4485)
Hadis
ini melarang orang –orang Islam menaruh kepercayaan kepada
cerita-cerita Ahli Kitab berkenaan Kitab Taurat dan sebagainya
(Az-Zahbi, al-Israiliyyat dalam Tafsir dan hadis, muka surat 55-56).
Pandangan kedua: Harus meriwayatkan Israiliyyat. Antara dalil mereka, hadis nabi S.A.W:
بلغوا عنى ولو آية, وحدثوا عن بنى اسرائيل لا حرج, ومن كذب على متعمدا فليتبوأ مقعده من النار.
Maksudnya;
“Sampaikanlah daripadaku sekalipun satu ayat, riwayatkanlah daripada
Bani Israil, tiada salahnya. Sesiapa melakukan pendustaan terhadapku
dengan sengaja, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya dalam neraka”
(Bukhari, Sohih al-Bukhari, Hadis Nombar 3461)
Kedua-dua
pandangan ini mempunyai dalil dan hajat masing-masing tetapi setelah
dibuat penelitian, kedua-dua pandangan tersebut dapat disesuaikan
mengikut pertimbangan berikut:
1. Al-Quran
sendiri banyak menceritakan cerita-cerita Bani Israil dan cerita-cerita
tentang umat terdahulu. Ia juga mengisyaratkan keharusan merujuk kepada Ahli Kitab.
2. Nabi S.A.W pula ada menceritakan tentang cerita Bani Israil seperti A-Abros, Al-‘Ama, Al-Akro’ dan cerita A-Ghor.
3. Hadis
Nabi S.A.W yang mengharuskan periwayatan Israiliyyaat tidak bermaksud
bahawa keharusan itu adalah mutlak. Ia terikat kepada apa yang baik atau
sesuatu cerita atau perkara yang tidak dipastikan statusnya yang mana
ia boleh dianggap benar atau dusta, tetapi tiada petunjuk yang
memperlihatkan dusta atau batilnya.
4. Riwayat-riwayat
Israiliyyat yang jelas dustanya atau yang tidak boleh diterima akal
yang waras, maka tidak harus disebarkan melainkan dengan disebut
kebatilannya.
Kaedah mengecam Israiliyyaat :
Bukanlah
sesuatu perkara yang mudah untuk mengatakan sesebuah riwayat itu
Israiliyyaat atau tidak. Ilmu yang amat mustahak yang tidak dapat tidak
mesti dimiliki oleh mereka yang ingin menguasai bidang ini ialah Ilmu
Tafsir al-Quran, khususnya yang melibatkan kisah-kisah al-Quran, Ilmu
Mustholah Hadis, Ilmu Rijaal Hadis, di samping pengetahuan mendalam
tentang hadis-hadis yang sohih dan tidak sohih berkenaan kisah para Nabi
dan kisah-kisah lampau.
Di
sini saya cuba menyenaraikan beberapa kaedah atau cara yang boleh
membantu bagi mengenal atau mengecam Israiliyyaat. Kaedah ini diperolehi
setelah penulis membuat kajian terperinci terhadap ciri-ciri
Israiliyyaat yang terdapat di dalam Tafsir At-tobari dengan mengambil
kira pandangan ulamak mu’tabar dalam membuat kritikan dalam
riwayat-riwayat Israiliyyaat (lihat, Doktor Ahmad Najib Bin Abdullah.
Tesis Ph.D, muka surat 40-66.Universiti Islam Madinah)
Supaya
lebih teratur, saya bahagikan cara ini kepada empat sudut , pertama,
pengamatan kepada sanad riwayat Israiliyyaat, kedua, pengamatan kepada
matannya, ketiga, merujuk kepada pandangan ulamak yang mu’tabar dalam bidang Israiliyyaat dan keempat, merujuk kepada sumber-sumber Yahudi sendiri.
Pertama: Pengamatan sanad
1. Rijaal
/ perawi terkenal dengan meriwayatkan Israiliyyat seperti Abdullah Bin
‘Amar Bin al-‘Ash, Abu Hurairah dan Abdullah Bin Salam dari kalangan
sahabat. Dari kalangan tabi’in pula seperti Ka’ab Bin al-Ahbar, Wahab
Bin Munabbbih, as-Saiyyidul al-Kabir, Qatadah, al-Hasan al-Basri dan
Mujahid manakala dari kalangan golongan tabi’ tabi’in pula seperti Ibnu
Ishaq, Ibnu Zaid dan Ibnu Juraih.
2. Terdapat kenyataan jelas dari perawi menyebut bahawa riwayat yang disampaikan adalah bersumberkan sumber Israiliyyaat.
3. Sanad riwayat Israiliyyaat kebiasaannya bersifat terhenti “mauquf” kepada sahabat, bukan “marfu’” kepada Nabi S.A.W.
Kedua: Pengamatan matan
1. Persoalan
yang disentuh Israiliyyaat biasanya mengenai asal usul kejadian alam
serta rahsianya seperti asal usul kejadian langit dan bumi serta cerita “الجوت”
2. Matan mengandungi kisah para Nabi dan kisah-kisah lampau.
3. Perincian
kepada kesamaran (mubhamat) iaitu perkara yang tidak dijelaskan
al-Quran seperti menentukan jenis pokok larangan dalam syurga yang
dilarang Allah kepada Nabi Adam dan isterinya Hawa dan menentukan
bahagian anggota lembu yang digunakan untuk memukul si mati dalam kisah
bani Israiliyyaaat.
4. Matan memperlihatkan “keterlampauan” ketara seperti cerita salah
seorang anak Nabi Adam a.s yang memikul saudaranya yang dibunuh selama
seratus tahun, dibawanya ke sana ke mari sehingga Allah menghantar
burung gagak untuk mengajarnya cara menyimpan jenazah saudaranya itu.
5. Matan
mengandungi perkara-perkara yang bercanggah dengan al-Quran dan
as-Sunnah as-Sohihah seperti matan yang menyebut bahawa isteri Nabi Nuh
a.s adalah daripada mereka yang selamat dari azab banjir besar.
6. Matan mengandungi perkara-perkara yang menyalahi kesucian
“`ashamah” para Nabi dan malaikat seperti dalam cerita keinginan nabi
Yusuf terhadap isteri pembesar Mesir yang sampai keperingkat paling
kritikal iaitu menangggalkan seluar serta kisah tentang malaikat Harut dan Marut.
7. Matan menyebut cerita-cerita khurafat dan karut seperti cerita gergasi “’Aaj bin ‘Unuq” dan puak “jabbaarin”.
8. Matan
menceritakan sesuatu yang pelik “gharib” seperti yang menyebut bahawa
bilangan alam sebanyak lapan belas ribu atau empat belas ribu.
9. Adanya
percanggahan fakta pada matan seperti penentuan anggota lembu bani
Israil di mana ada yang mengatakan paha, lidah, ekor dan sebagainya.
10. Terdapat
kenyataan di dalam matan menyebut bahawa ia diambil dari sumber
Israiliyyaat samada dari Ahli Kitab atau kitab Bani Israil.
11. Disebut pada matan lafaz-lafaz “tadh’if” atau tamridh yang menjelaskan bahawa ia dianggap lemah.
Ketiga: Merujuk kepada ulamak
Ulamak yang banyak membicarakan isu Israiliyyaat seperti:
1. Ibnu Hazam dalam kitab al-Faslu Fil Milaali Wal Ahwa’i Wan Nihal.
2. At-Thobari dalam kitab Jami’ul Bayan Fi Ta’wili Aayil Quran dan Tarikhul Umami Wal Muluk.
3. Al-Qodhi ‘Iadh dalam Kitabus Syifaa’ Bita’rifi Huquqil Mustafa.
4. Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitab An-Nubuwwah dan Al-Jawabus Sahihu Li Man Baddala Diinul Masih.
5. Ibnul Qayyim dalam kitab Hidayatul Hiyari Fi Ajwibatil Yahudi Wan Nashora.
6. Al-Hafiz Ibnu Katsir dalan kitab tafsirnya dan juga Al-Bidayatu Wan Nihayah.
7. Rahimahullah Al-Hindi dalam Izharul Haq.
8. Jamaluddin al-Qosimi dalam Mahasinut Ta’wil.
9. Doktor Muhammad Husin az-Zahabi dalam Al-Israiliyyaat Fit Tafsir Wal Hadits dan Kitabut Tafsir Wal Mufassirun.
10. Al-‘Allamah Abu Syahbah dalam Al-Israiliyyaat Wal Maudhu’at Fi Kutubit. Tafsir.
11. Syeikh Abdul Wahab an-Najjar dalam Qishoshul Anbiya’.
Keempat: Merujuk sumber-sumber Yahudi
Tujuan
merujuk kepada sumber-sumber Yahudi tidak bermaksud kita mengiyakan
atau membenarkan apa yang termaktub dalam kitab-kitab mereka tetapi
sekadar untuk melakukan perbandingan dengan kitab-kitab warisannya
ulamak mu’tabar kita dalam soal-soal yang berkaitan dengan Israiliyyaat.
Sekiranya ia disebut dalam sumber-sumber berkenaan maka ia meyakinkan
kita bahawa ia memang satu riwayat Israiliyyaat.
Sumber-sumber Yahudi seperti berikut :
1. Kitab Taurat.
2. Talmud.
3. Kitab-kitab Yahudi yang lain.
Selain
daripada sumber Yahudi terdapat juga sumber Nasrani yang termuat dalam
Kitab Injil tetapi Israiliyyaat di dalam sumber Nasrani amat sedikit
berbanding sumber Yahudi sendiri.
Penutup :
Israiliyyaat
merupakan cerita-cerita berkaitan rapat dengan warisan Yahudi. Ia
tersebar melalui berbagai peringkat dan suasana sehingga mampu bertapak
di dalam karya warisan Islam, tafsir dan hadis.
Kehadirannya
perlu ditangani dengan sebaik mungkin melalui pengkelasan yang wajar
berdasarkan pembahagian ulamak terhadap Israiliyyaat.
Tiada
jalan pilihan bagi kita melainkan kita menolak segala rupa bentuk
Israiliyyaat yang menyalahi pegangan kita sebagai orang Islam dan boleh
menjahanamkan aqidah kita terhadap Allah, malaikatnya serta para
Rasulnya.
Israiliyyaat
yang statusnya tidak jelas “maskut ‘anhu” hendaklah diriwayati dengan
bijak walaupun ia harus diriwayatkan namun kita diingatkan untuk tidak
memberi perhatian kepada perkara yang tidak memberi faedah, tidak
mendekatkan diri kita memahami dan menghayati al-Quran, sebaliknya ia
hanya menghabiskan masa sahaja.
Pengamatan
pelbagai dimensi penting bagi mengenal pasti riwayat Israiliyyaat.
Penganalisis Israiliyyaat perlu mempunyai daya kritik yang tinggi serta
sifat berani demi memperjuangkan kebenaran.
Oleh: Dr. Ahmad Najib Bin Abdullah al-Qari'
2 Komen:
artikel yang sangat bermanfaat bgi ummat, harapan ana kepada admin agar lebih banyak lagi posting tentang Israiliyyaat ini, kerana terlalu minim ulamak Nusantara yang membincangkannya...syukran Jazilan..
Terima kasih akhi, insyaAllah kita boleh bersama menyebarkannya...
Catat Ulasan
Pada pendapat anda?