JTR mengalu-alukan tuan puan untuk membaca tulisan dalam blog ini bagi manfaat tuan puan
Photobucket

Jumaat, 5 Mac 2010

Hindun Mamah Hati Hamzah r.a?

Posted by Abu Hannan On 9:27:00 PTG 23 comments




Kisah Hindun memamah hati Sayyidina Hamzah ketika hamba Hindun, Wahsyi berjaya menobak tepat pada dada Sayyidina Hamzah selalu kita dengar dari segenap media. JTR kali ini akan berkongsi dengan anda sejauh mana kesahihan cerita ini. Keseluruhan kajian ini telah dilakukan oleh Maulana Asri Yusoff yang merupakan Pengetua di Darul Kautsar, Kota Bharu, Kelantan. Saya sendiri pernah berguru dengan beliau ketika menuntut di KIAS, Nilam Puri, Kelantan. Beliau memang dikenali dikalangan ahli ilmu terutama di Malaysia dan seorang yang specialist dalam bidang riwayah dan dirayah hadis. Mari kita berkongsi cerita disebalik kisah ini.
Sebuah kisah yang boleh dikatakan tiada sebuah buku sirah pun yang ditulis kemudian tidak menyebutkannya ialah kisah Hindun memamah, mengunyah atau memakan hati Sayyidina Hamzah semasa atau selepas peperangan Uhud.

Kisah ini adalah ciptaan dan rekaan Ibnu Ishaq. Dialah orang yang mula-mula sekali di dalam dunia ini yang mengemukakan kisah tersebut. Kemudian at-Thabari menyebarkannya tetapi melalui jalan riwayat Ibnu Ishaq. Ringkasnya Ibnu Ishaqlah merupakan satu-satunya paksi dalam meriwayatkan kisah ini.

Ibnu Ishaq berkata, “Mengikut cerita yang sampai kepada saya menerusi Saleh bin Kaisan, Hindun Binti Utbah dan perempuan-perempuan lain bersamanya melakukan ‘mutslah’ terhadap sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang terbunuh.

Mereka memotong telinga-telinga dan hidung-hidung (sahabat-sahabat yang terbunuh itu) sehingga Hindun menyucuk telinga-telinga dan hidung-hidung orang-orang yang terbunuh itu untuk dijadikan sebagai gelang kaki dan kalung-kalung. Dia memberikan gelang kaki, kalung dan subangnya (anting-anting) kepada Wahsyi, hamba Jubair Bin Muth’im. Dia membelah perut Hamzah dan mengambil hatinya lalu dikunyahnya tetapi tidak dapat ditelannya kerana itu dia memuntahkannya keluar.” (Lihat Sirah Ibnu Ishak m.s. 385, Sirah Ibn Hisyam jilid 3 m.s. 36)

Ibnu Jarir at-Thabari pula meriwayatkan dari Muhammad Bin Humaid, dia mengambil cerita ini dari Salamah Al Abrasy. Salamah pula mengambil dari Ibnu Ishaq. Ibnu Ishaq mengatakan, “Saleh Bin Kaisan menceritakan kepadanya…” (Lihat Tarikh al-Umam Wa al-Muluk-at-Thabari jilid 2 m.s. 204)
Salah seorang yang tersebut dalam isnad ini ialah Muhammad Bin Humaid ar-Razi. Beliau ialah penduduk Ray. Dia selalu menukilkan riwayat dari Ya’kub al-Qummi (seorang penulis kitab-kitab Syiah dan selainnya).

Ya’kub bin Syaibah berkata, “Dia selalu mengemukakan riwayat-riwayat yang sangat mungkar.” Imam Bukhari berkata, “Kedudukannya dipertikaikan.” Abu Zura’ah ar-Razi seorang alim senegeri dengannya berkata, “Dia seorang pendusta besar.” Fadlak ar-Razi juga seorang alim senegeri dengannya berkata, “Saya mempunyai 50,000 riwayat Muhammad bin Hummaid ar-Razi tetapi satupun darinya tidak saya kemukakan kepada orang ramai.”

Pernah Ibnu Kharasy mengemukakan riwayat Muhammad bin Humaid lantas dia berkata, “Demi Allah! Dia berbohong.” Ulama’ hadis yang lain berkata bahawa dia selalu mengambil hadis-hadis orang-orang tertentu kemudian menisbahkannya kepada orang lain. Imam Nasa’i berkata, “Dia seorang yang lemah.” Saleh Jazarah berkata, “Tidak pernah saya lihat dalam hidup saya seorang yang lebih mahir berbohong dari dua orang iaitu pertama, Muhammad bin Humaid (ahli sejarah) dan kedua, Sulaiman as-Syazkumi.”

Imam Fadhlak ar-Razi pernah menceritakan bahawa, “Saya pernah pergi kepada Muhammad bin Humaid. Ketika itu dia sedang mereka sanad-sanad cerita-cerita palsu.” Imam Zahabi berkata, “Muridnya Muarrikh (sejarawan) at-Thabari telah menulis dengan penuh yakin bahawa Muhammad bin Humaid tidak ingat al-Quran.” Di akhir hayatnya hanya dua orang yang menerima riwayat-riwayat darinya iaitu:

1)   Abul Qasim Baghawi

2)   Muhammad bin Jarir at-Thabari

Ibnu Humaid meninggal dunia pada tahun 248 H – (Lihat Mizanu al-I’tidal jilid 3 halaman 530, Tahzibu al-Kamal jilid 6 m.s. 286-287).



Seorang lagi yang ada dalam isnad Ibnu Ishak ini ialah Salamah al-Abrasy yang nama penuhnya Salamah bin Fadhl. Dia terkenal dengan gelaran al-Abrasy. Pernah menjadi qadhi di Ray kerana itulah dia dinisbahkan dengan ar-Razi. Kuniahnya ialah Abu Abdillah. Dia terkenal sebagai sejarawan di zamannya selain dianggap sebagai salah seorang perawi penting Maghazi Ibnu Ishaq. Pandangan ulama’ hadis dan rijal terhadapnya dapat dilihat melalui nukilan Imam Zahabi. Beliau menulis, “………Ishaq bin Rahawaih berkata, “Dia seorang dhaif.” Bukhari berkata, “Sesetengah hadisnya mungkar.” Imam Nasa’i berkata, “Dia seorang dhaif.” Ali Ibnu Madini menceritakan, “Setelah kami pulang dari Ray, riwayat-riwayat yang pernah kami dengar dari Salamah kami buangkan dengan anggapan ia adalah karut dan dusta.”

Yahya bin Ma’in berkata, “Salamah al-Abrasy ar-Razi adalah seorang Syiah.” Abu Hatim ar-Razi berkata, “Dia tidak boleh dijadikan hujjah.” Abu Zur’ah ar-Razi berkata, “Penduduk Ray sama sekali tidak suka kepadanya, lantaran fahamannya yang salah. Sebagai seorang qadhi, beliau selalu berlaku zalim terhadap orang ramai meskipun dia bersembahyang dengan khusyuk’. Sebelum menjadi qadhi beliau mengajar kanak-kanak dan beliau meningggal dunia pada tahun 191 H.” (Mizanu al-I’tidal jilid 2 m.s. 12, Tahzibu al-Kamal jilid 3 m.s. 252-253)


Ibnu Ishaq mendakwa riwayat ini diambilnya dari Saleh Bin Kaisan. Siapakah Saleh Bin Kaisan itu? Beliau ialah seorang tabi’i kecil dan tsiqah (perawi yang boleh dipercayai) tetapi beliau lahir selepas 70H dan meninggal dunia pada tahun 140H. Dia lebih tua sedikit dari Muhammad Bin Ishaq sedangkan peristiwa peperangan Uhud telah berlaku 70 tahun sebelum kelahirannya. Siapakah pula yang menceritakannya kepada Saleh? Tentu sekali beliau bukan merupakan penyaksi peristiwa itu dengan mata kepala sendiri. Sudah tentu sekurang-kurangnya seorang yang ‘ghaib’ dalam isnad ini menjadikannya riwayat munqati’. Sepertimana dimaklumi riwayat munqati’ tidak boleh diterima (sebagai hujah).

Sebenarnya Saleh Bin Kaisan tidak pun meriwayatkan kisah ini. Ibnu Ishaq sahaja yang mengaitkannya dengan Saleh. Selain dari Ibnu Ishaq, tidak ada sesiapapun mengambil cerita ini baik dari Saleh Bin Kaisan atau orang lain sepanjang pengetahuan sejarah. Di antara sekian ramai anak murid Ibnu Ishaq pula, tidak ada yang meriwayatkan cerita ini darinya selain Salamah al-Abrasy. Kemudian tidak ada seorang pun yang meriwayatkan dari Salamah al-Abrasy selain Muhammad Bin Humaid ar-Razi. Seterusnya tidak ada seorang pun yang meriwayatkan dari Muhammad bin Humaid ar-Razi selain dari Ibnu Jarir at-Thabari.

Thabari meninggal dunia pada tahun 310H. Ini bermakna dari tahun 70H hingga tahun 310H, di setiap peringkat hanya ada seorang sahaja yang meriwayatkan kisah ini, seolah-olah ia suatu perkara yang sulit dan perlu dirahsiakan. Ia hanya boleh diterima dari setiap generasi, seorang sahaja!

Sekiranya peristiwa ini benar-benar berlaku dan ia mempunyai saksi yang melihatnya dengan mata kepala, tentu sekali ia tersebar lebih awal dari itu dan sepatutnya perawi-perawi cerita ini semakin ramai dari satu generasi ke generasi selepas itu. Terbuktilah bahawa kisah ini tidak popular kecuali setelah masyarakat Islam menerima apa sahaja riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq dan at-Thabari dengan membuta tuli. Kisah ini sebetulnya tidak diketahui oleh sesiapa pun sebelum tahun 70H.


PENILAIAN LOGIK

Dari segi Logiknya, bagaimana Ibnu Ishak hanya nampak Hindun sahaja melakukan perbuatan keji ini dan menuding jari kepadanya sedangkan ramai lagi perempuan-perempuan lain yang turut serta dalam peperangan Uhud selain Hindun seperti Ummu Hakim binti al-Harits Bin Hisyam, Barzah (isteri kepada Safwan bin Umayyah), Barrah binti Mas’ud bin Amar bin Umair as-Saqafiyyah (ibu kepada Abdullah Bin Safwan), Buraithah binti Munabbih bin al-Hajjaj (isteri kepada Amar bin al-’As dan ibu kepada Abdullah bin Amar bin al-As). Sulafah binti Saad, Khunas binti Malik dan Amrah binti Alqamah dan lain-lain lagi. Dalam kesibukan perang dan hingar bingar kedua-dua pasukan yang berperang itu, bagaimana kelihatan kepada Ibnu Ishaq Hindun sedang memakan hati Hamzah dan menjadikan telinga, hidung dan lain-lain anggota Hamzah sebagai gelang kakinya di samping menghadiahkan pula kalung dan subangnya kepada Wahsyi yang telah mensyahidkan Hamzah.

Untuk mengetahui semua tindakan Hindun dengan sah dan tepat, seolah-olahnya Ibnu Ishaq telah mengutus wartawan-wartawan dan juru-juru kamera yang tidak terbabit langsung dalam peperangan, tugas mereka hanyalah menyaksikan dan merakamkan apa yang berlaku dalam peperangan itu lalu melaporkannya kepada Ibnu Ishaq dan menyerahkan pula gambar-gambar sebagai bukti sokongan kepada apa-apa yang disampaikan oleh mereka itu. Untuk mendapat kepastian sedemikian rupa semestinya Ibnu Ishaq dibantu oleh orang-orang tadi. Ini kerana tidak pula orang-orang yang ikut serta secara langsung sama ada dari kalangan orang-orang Islam atau mereka yang ada di pihak orang-orang kafir tetapi kemudiannya memeluk Islam menceritakan sepertimana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq.

Perempuan-perempuan yang dikatakan oleh Ibnu Ishaq telah bersama-sama dengan Hindun melakukan mutslah (memotong-motong anggota orang yang telah mati dengan maksud melepaskan geram dan dendam) juga tidak menceritakan seperti mana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq itu. Maka bagaimana kita akan menerima riwayat yang melaporkan kisah tersebut menerusi Saleh Bin Kaisan yang lahir setelah lebih 70 tahun berlakunya peristiwa ini dan mengenepikan pula saksi-saksi mata kepala yang turut serta dalam peperangan ini sama ada dari kalangan orang-orang Islam atau dari kalangan orang-orang kafir.

Wahsyi yang diketahui dan diterima oleh semua sebagai pembunuh Sayyidina Hamzah kemudiannya telah memeluk agama Islam. Jubair bin Muth’im tuan kepada Wahsyi kemudiannya juga memeluk agama Islam. Hindun binti Utbah, isteri Abu Suffian, ibu kepada Sayyidina Muawiyah yang dikatakan oleh Ibnu Ishaq telah memakan hati Hamzah, kemudiannya juga telah memeluk agama Islam. Semua mereka ini tidak ada pun menceritakan apa yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq pada hal merekalah orang-orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa ini dan paling patut dirujuk dan diselidiki penjelasan mereka.


SIKAP IMAM BUKHARI

Imam Bukhari jauh berbeza dari Ibnu Ishaq kerana meriwayatkan kisah pembunuhan Sayyidina Hamzah melalui pembunuhnya sendiri bukan melalui orang yang lahir 70 tahun selepas peristiwa itu berlaku. Menurut metod ilmu riwayat, riwayat yang dikemukakan oleh Imam Bukhari lebih wajar diterima kerana beliau mengambil dari orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa itu. Mari kita perhatikan riwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya berhubung peristiwa itu.


RIWAYAT IMAM BUKHARI

Imam Bukhari menukilkan dari Ja’far bin Amar bin Umaiyyah ad-Dhamri dia berkata, “Saya telah berangkat untuk satu perjalanan dengan Ubaidullah bin Adiy bin al-Khiyar. Bila kami sampai di Hims, Ubaidullah bin Adi bertanya kepada saya, “Mahukah engkau berjumpa dengan Wahsyi? Boleh kita tanya kepadanya tentang pembunuhan Sayyidina Hamzah.” Saya berkata, “Tentu sekali.”

Pada hari-hari itu Wahsyi menetap di Hims. Kami bertanya seseorang, “Di mana rumah Wahsyi?” Orang itu menceritakan, “Itu dia Wahsyi sedang duduk di bawah naungan (bayang) rumahnya. Bila kami ternampak dia dalam rupanya yang gemuk dan tidak berambut itu tak ubah seperti sebuah gereba. Kami berdiri sejenak setelah sampai di hadapannya lalu kami memberi salam kepadanya. Beliau menjawab salam kami. Perawi berkata, “Ketika itu Ubaidullah bin Adi bin al-Khiyar menutup muka dan kepalanya dengan serban. Wahsyi tidak nampak apa-apa darinya melainkan dua mata dan kakinya sahaja.”

Ubaidullah pun bertanya Wahsyi, “Kamu kenalkah siapa saya?” Wahsyi mengangkat pandangannya ke arah Ubaidullah, kemudian dia berkata, “Demi Allah! Tidak! Ya, Cuma saya tahu bahawa Adi bin al-Khiyar telah berkahwin dengan seorang perempuan dipanggil Ummul Qital binti Abi al-‘Is. Dengannya Adi bin al-Khiyar telah mendapat seorang anak lelaki. Sayalah yang telah mencari seorang pengasuh untuk anaknya itu dan saya dengan ibunya membawakan anak itu untuk diserahkan kepada pengasuh tersebut. Sekarang saya sedang memerhatikan kaki awak. Saya rasa engkaulah anak itu.” Ubaidullah pun mengalihkan kain dari mukanya. Dia bertanya Wahsyi, “Bolehkah kamu ceritakan kepada kami tentang pembunuhan Hamzah?” Wahsyi menjawab, “Ya, tentu boleh. Ceritanya begini: Hamzah telah membunuh Thu’aimah bin Adi bin al-Khiyar dalam peperangan Badar. Tuan saya Jubair bin Mut’im berkata kepada saya, “Kalau engkau dapat membunuh Hamzah, engkau merdeka.”

Bila saya keluar untuk berperang pada tahun ‘Ainain’ (Ainain ialah salah satu bukit di Uhud, di hadapannya terletak Wadi Uhud), saya juga keluar bersama orang lain untuk berperang. Bila masing-masing pasukan telah membetulkan saf, maka Siba’ bin Abdul Uzza pun tampil kehadapan seraya berkata, “Adakah sesiapa yang akan berlawan?” Wahsyi menceritakan, “Dari kalangan pihak lawan, Hamzah bin Abdul Muthalib tampil ke hadapan seraya berkata, “Oh Siba’! Oh anak Ummu Anmar! Mudim anak-anak perempuan, adakah engkau memerangi Allah dan Rasulnya?” Kemudian dengan pantas Hamzah menyerang lalu dia (Siba’) menjadi seperti kelmarin yang telah berlalu (terus mati). Wahsyi berkata, “Saya ketika itu bersembunyi di sebalik satu batu besar sambil mengintai-intai Hamzah. Bila dia lalu dekat saya, terus saya membaling lembing saya ke arahnya. Lembing itu mengenai bahagian pusatnya lalu menembusi belakangnya. Itulah pertemuan saya yang terakhir dengannya. Bila semua orang pulang dari medan perang, saya juga pulang bersama mereka dan terus menetap di Mekah (selepas merdeka) sehingga Islam tersebar di sana, kemudian saya pun keluar ke Ta’if.”

Bila orang Ta’if menghantarkan utusan-utusan kepada Rasulullah s.a.w. maka ada orang berkata kepada saya, “Nabi tidak mengganggu utusan,” kerana itu saya pun menyertai golongan utusan itu untuk mengadap Nabi s.a.w. Bila Nabi s.a.w. melihat saya, Baginda pun bertanya, “Adakah engkau Wahsyi?” Saya menjawab, “Ya.” Baginda s.a.w. bertanya lagi, “Engkaukah yang telah membunuh Hamzah?” Saya menjawab, “Berita yang sampai kepada tuan itu adalah benar.” Nabi s.a.w. pun bersabda, “Bolehkah engkau sembunyikan mukamu dari pandanganku?” Wahsyi berkata, “Aku pun pergi dari situ.”

Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., Musailamah al-Kazzab memberontak. Saya berfikir dalam hati saya bahawa seharusnya saya keluar untuk menentang Musailamah. Boleh jadi saya akan dapat membunuhnya dengan itu terbalaslah (terbayarlah) pembunuhan Hamzah oleh saya. Setelah terfikir begitu saya pun keluar bersama orang ramai untuk berperang. Tiba-tiba (dalam peperangan) saya ternampak seorang sedang berdiri di celah tembok. Dia kelihatan seperti unta yang kehitaman warnanya. Rambutnya berselerak. Saya lepaskan lembing saya ke arahnya dan tepat mengenai dadanya sehingga menembusi belakangnya. Selepas itu tampil seorang Ansar Madinah lalu menetak kepalanya. Abdullah Bin al-Fadhl menceritakan bahawa Sulaiman bin Yasr menceritakan kepada saya bahawa beliau mendengar Ibnu Umar berkata, “Seorang perempuan yang ketika itu berdiri di atas bumbung rumah lantas berteriak mengatakan, “Demi Amirul Mukminin (Musailamah al-Kazzab)! Dia telah dibunuh oleh budak Habsyi.” (Lihat Sahih Bukhari jilid 2 m.s. 583)

Demikianlah kedudukan sebenar kisah ini mengikut cerita dari mulut pembunuh Sayyidina Hamzah sendiri. Dari riwayat ini dapat disimpulkan beberapa perkara seperti berikut;

1. Wahsyi adalah hamba kepada Jubair bin Muth’im. Jubair bin Muth’imlah yang mendorongnya membunuh Hamzah dengan janji akan memerdekakannya jika dia berjaya membunuh Hamzah. Di dalam riwayat ini tidak ada isyarat pun tentang campurtangan Hindun dalam pembunuhan Hamzah. Bukan Hindun yang mendorong Wahsyi supaya membunuh Hamzah, bukan juga Hindun yang dapat memerdekakan Wahsyi kerana Wahsyi bukan hambanya, malah dalam riwayat Ibnu Ishaq sendiri pun Wahsyi adalah hamba Jubair bin Muth’im.

2. Di dalam riwayat ini juga tidak tersebut Hindun memberikan gelang kaki, kalung dan subangnya kepada Wahsyi kerana kejayaannya membunuh Hamzah. Bahkan Wahsyi tidak mendapat apa-apa hadiah dari sesiapa pun selain dari hadiah kemerdekaan yang dijanjikan tuannya Jubair bin Muth’im. Sekiranya ada, maka tidak ada sebab kenapa Wahsyi menyembunyikannya.

3. Wahsyi ikut serta dalam peperangan Uhud dari awal hingga akhir di pihak orang-orang kafir Quraisy dan akhir sekali beliau pulang ke rumah bersama orang-orang lain. Di dalam riwayat Bukhari ini beliau tidak menyebutkan cerita perempuan-perempuan membuat kalung dari anggota orang-orang Islam yang syahid yang telah dipotong oleh mereka. Tidak ada juga beliau menyebutkan kisah sesiapa memakan hati sesiapa. Jika diandaikan beliau tidak melihat apa yang dilakukan oleh perempuan-perempuan Quraisy terhadap orang-orang Islam yang mati syahid dalam peperangan Uhud itu terutamanya Hindun sekalipun tetap berkemungkinan juga beliau mendengar cerita itu di Mekah setelah pulang tetapi tiadanya cerita Wahsyi ini daripada perbuatan-perbuatan perempuan tersebut menunjukkan bahawa semua itu tidak benar.

4. Kerana Wahsyi telah membunuh Hamzah yang begitu disayangi oleh Rasulullah s.a.w., Nabi s.a.w. meminta beliau supaya tidak bersemuka dengannya. Tetapi Jubair bin Muth’im, pada ketika pembukaan Mekah tidak pula diminta oleh Rasulullah s.a.w. supaya tidak bersemuka dengannya seperti Wahsyi. Apa yang dilakukan oleh Hindun, jika benar seperti yang didakwa oleh Ibnu Ishaq, bahawa Hindun telah membelah perut Hamzah dan mengunyah hatinya – maka kelakuan itu lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Wahsyi terhadap Hamzah, kerana sudah lumrah dalam peperangan seseorang membunuh pihak lawannya. Tetapi adalah sesuatu yang luar biasa seseorang membelah perut orang yang telah mati dalam peperangan lalu memotong hatinya untuk dikunyah atau dimakan. Sepatutnya Rasulullah s.a.w. juga tidak sanggup bersemuka dengan Hindun sama seperti Wahsyi tetapi sebaliknya apabila Nabi s.a.w. menakluk Mekah, di samping Baginda s.a.w. mengisytiharkan damai, Baginda s.a.w. juga telah mengisytiharkan nama-nama orang yang perlu dihukum bunuh.

Pada ketika itu Hindun tidak tersenarai dalam orang-orang yang perlu dihukum bunuh. Tidak juga Nabi s.a.w. menyatakan kebencian dan dendamnya kepada Hindun malah sebaliknya mengisytiharkan kepada umum bahawa sesiapa yang masuk ke dalam rumah Abi Sufyan (juga merupakan rumah Hindun) untuk menyelamatkan dirinya, dia terselamat dan mendapat keamanan. Pengisytiharan seperti ini membuktikan dengan sejelas-jelasnya bahawa Hindun atau Abu Sufyan tidak terlibat sama sekali dalam pembunuhan Sayidina Hamzah apa lagi untuk dikatakan beliau telah membelah perut Hamzah lalu memakan hatinya. Hindun seperti juga ramai orang-orang Quraisy yang lain telah memeluk agama Islam, selepas berbai’ah dengan Nabi s.a.w. dalam keadaan bersemuka dengan Nabi s.a.w., beliau secara terbuka menyatakan perasaannya setelah memeluk Islam terhadap Nabi s.a.w. Kata beliau, “Wahai Rasulullah! Dulu tidak ada manusia yang berkhemah di atas muka bumi ini lebih dipandang hina olehku darimu tetapi hari ini tidak ada orang yang berkhemah di muka bumi ini lebih ku kasihi darimu.”

Lihatlah bagaimana beliau menyatakan isihatinya terhadap Nabi s.a.w. dengan bersemuka dan lihatlah pula apa jawapan Nabi s.a.w. dan bagaimana Nabi s.a.w. menyambut kata-katanya itu. Dari kata-kata Nabi s.a.w. itu kiranya sirnalah segala tuduhan yang dilemparkan oleh musuh-musuh Islam terhadap Hindun, ibu mertua Nabi s.a.w., ibu kepada Ummu Habibah dan juga ibu kepada Sayyidina Mu’awiyah. Baginda s.a.w. lantas bersabda, “Ya, demikian juga aku. Demi Tuhan yang nyawaku berada ditanganNya.” (Lihat Sahih Bukhari jilid 1 m.s. 539)

Ini bermakna Nabi s.a.w. juga kasih kepada Hindun seperti mana Hindun mengasihinya. Malah untuk menyatakan kasihnya yang sungguh-sungguh itu, Baginda s.a.w. bersumpah dengan Tuhan yang nyawanya berada ditanganNya.

5. Daripada dua riwayat berlainan kandungannya yang dikemukakan oleh dua orang tokoh, Ibnu Ishaq dan Imam Bukhari, tergambar dengan jelas aliran pemikiran dan aqidah masing-masing. Yang pertama berfahaman Syi’ah yang sememangnya membenci para sahabat dan memusuhi mereka sementara yang kedua pula mengasihi sahabat seperti Rasulullah s.a.w. sendiri mengasihi mereka.

6. Ibnu Ishaq mendakwa mendapat cerita yang dikemukakannya dari Saleh bin Kaisan yang lahir 70 tahun selepas peristiwa peperangan Uhud itu berlaku. Imam Bukhari pula menerima riwayat yang dikemukakannya dengan sanad yang bersambung-sambung dan tidak terputus. Perawi-perawinya terdiri dari orang-orang yang kuat dengan isnad yang kuat dan tidak terputus-putus. Imam Bukhari mengambil riwayat tentang pembunuhan Hamzah dari pembunuhnya sendiri iaitu Wahsyi. Siapakah yang lebih boleh dipercayai? Seorang yang mengambil riwayat dari orang yang lahir 70 tahun selepas kejadian atau orang yang meriwayatkan sesuatu peristiwa dari orang yang menyaksikan sendiri peristiwa itu malah terlibat secara langsung dalam peristiwa itu?

7. Ibnu Ishaq dan kuncu-kuncunya sebenarnya mahu menanam rasa benci di dalam hati ummah terhadap Sayyidina Muawiyyah yang telah memusnahkan pergerakan musuh Islam selama pemerintahannya 20 tahun sebagai Gabenor dan 20 tahun sebagai Khalifah. Dia seolah-olahnya menghujah para pembaca riwayatnya dengan cerita yang dikemukakan itu, iaitu Sayyidina Muawiyah adalah seseorang yang jahat, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Kejahatan dan kekejaman itu bukanlah suatu yang baru bahkan ia adalah suatu yang turun temurun diwarisinya dari ibunya yang telah sanggup membelah perut Hamzah dan mengunyah hatinya, juga diwarisi dari ayahnya yang merupakan kepala kafir Quraisy dalam peperangan Uhud itu. Inilah sebenarnya motif yang telah melahirkan cerita ini ke alam nyata.

8. Ibnu Ishaq sebetulnya mahu mencabar fikiran ummah dengan suatu alasan di sebalik cerita yang dipersembahkan itu. Bahawa jika Wahsyi yang telah melakukan suatu perkara yang lumrah berlaku dalam sesuatu peperangan pun diminta oleh Nabi s.a.w. supaya tidak menunjukkan mukanya kepada Baginda s.a.w., bagaimanakah pula dengan orang yang telah membelah perut Sayyidina Hamzah lalu mengunyah hatinya? Adakah mungkin Rasulullah s.a.w. dapat menerima orang seperti itu? Kalau pun orang itu kemudiannya memeluk agama Islam dan berbai’ah dengan Nabi s.a.w., tetap juga ada kemungkinan bahawa Nabi s.a.w. menerima keislamannya secara taqiyyah!

Imam Bukhari mengemukakan hadis, “Hindun menyatakan isihatinya kepada Rasulullah s.a.w. secara terbuka dan bersemuka dengan Rasulullah s.a.w. seperti disebutkan tadi di bawah bab ‘Kelebihan Hindun Binti Utbah’. Apa yang Imam Bukhari mahu abadikan melalui bab ini ialah Hindun bukan sahaja telah diterima keislamannya, bahkan beliau mempunyai kelebihan dan keistimewaannya tersendiri. Apa yang dapat difahami secara mudah ialah sekurang-kurangnya beliau merupakan mertua kepada Nabi s.a.w. dan ibu kepada Amirul Mukminin Sayyidina Mu’awiyah bin Abu Sufyan. Itu sahaja pun bagi umat Islam bukan alang kepalang keistimewaannya.                      

Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya Dalam Penyebaran Fahaman Syi’ah Di Kalangan Ummah’ karangan Maulana Muhammad Asri Yusoff.

23 Komen:

Begitu kuat bencinya syiah kepada sahabat nabi dan kita sebagai sunni menerima bulat2 cerita tu tanpa melihat pada kesahihannya..

terima kasih atas info bermakna ini..
;)

baru tahu. syukran untuk perkongsian. sangat bermanfaat.

ada logiknya namun sedikit komentar saya.

pertama kaedah "yang mensabitkan adalah hujjah atas yang menafikan". adakah dengan wujudnya penafian maka yang mensabitkan adalah palsu? contohnya seseorang mengatakan saya nampak hilal ramadhan, adakah pengakuan dia tertolak dengan wujudnya penafian 10 yang lain? anda juga dalam bidang syariah maka sudah tentu tahu kaedah ini.

ke-dua, sesetengah hadis diriwayatkan berulang kali, satu contohnya yang dikhabarkan dari guru kami di anjung magharibah di masjid Azhar asy-syarif hadis Abu Dzarr menunggang di belakang nabi dalam bab ibadat nabi dalam kitab syamail. hadis itu disebutkan dalam kitab dan bab yang sama 3 kali dengan 3 versi, maka ulamak berpendapat hadis ini menceritakan satu peristiwa tetapi pada 3 kali periwayatan dengan penambahan atau ringkasan oleh Abu Dzarr sendiri. bukannya 3 kali Abu Dzarr menunggang di belakang nabi SAW dan peristiwa tersebut 3 kali. maka kisah Saidina Hamzah ini juga boleh jadi diceritakan beberapa kali dengan beberapa versi, ada yang detail dan ada yang ringkas.

ke-tiga, sahabat nabi semuanya adalah UDUL..riwayat mereka diterima. jika riwayat ini ditolak, maka kamu juga menolak hadis Ummul Mukminin Aisyah yang berkahwin dengan nabi SAW selepas hijrah (atau sebelum) yang menceritakan tentang khulwah nabi dan permulaan wahyu di gua hira'..mana mungkin Aisyah tahu perkara yang berlaku satu tahun sebelum kelahirannya? melainkan diambil dari orang lain atau dari Rasulillah SAW tetapi beliau tidak menyebutkannya...banyak berlaku sahabat meriwayatkan daripada sahabat yang lain tetapi tidak menyebutkan diambil dari mana. ada satu contoh tapi saya terlupa hadisnya, sahabat itu menceritakan tentang dirinya tetapi yang menceritakan tiada dalam sanad. cuba kaji dalam Sohehayn ada tak perkara seperti ini di dalamnya?

ke-empat, anda menaqalkan semua yang mengeji tanpa membawa pandangan yang memuji. sekurang-kurang boleh dibuat undi majoriti berapa juta ulamak yang menolak RIJAL tersebut dan berapa yang memuji? jika tak silap saya Imam nawawi berpegang (atau ulamak lainnya) jika sabit walau seorang memujinya maka RIJAL tersebut diterima sekalipun hanya dalam martabat dhoef dan tidak berhujjah dengan riwayatnya. guru saya mentarjihkan hadis tentang Qunut subuh, beliau juga bicarakan tentang rijal dalam sanad tetapi berlaku adil membawa qaul yang menolak rijal dan menerima dan terbukti qaul yang menerima rijal yang dituduh lemah lebih banyak dari yang menolak (menang majoriti).

ke-lima, tidak semua ulamak mampu mahir dalam semua bidang atau banyak bidang seperti Imam Mazhab yang empat. maka kita ambillah ilmu dan pandangan dari ahlinya. kalam Qadhi Rayy mungkin tertolak dari sudut ilmu hadis tetapi tidak dari ilmu fiqh dan usul, sekalipun ditohmah berlaku zalim tetap ilmunya (fiqh) diutamakan. cuba rujuk kembali siapa yang awla dikedepankan menjadi imam.

ke-enam, Nabi SAW sangat bersifat maaf, pembunuh Saidina Hamzah juga dimaafkannya tetapi bagi mengelak rasa sedih berpanjangan maka diminta si pembunuh mengelak dari bertembung dengan baginda. kenapa bukan baginda Nabi yang mengelak? kerana Nabi SAW perlu berjumpa semua orang dan sampaikan ajaran Islam. nabi SAW tidak memerintahkan bunuh atau hukum orang yang mengambil hak peribadinya tetapi hanya marah dan menjatuhkan hukum kepada yang mengambil hak Allah, sepertimana kisah badawi merentap burdah sehingga berbekas di leher baginda yang mulia..di dalam perang memang sudah adatnya berlawan dan berbunuhan, tetapi kenapakah nabi maafkan Abi Sufyan? dan semua yang cuba membunuh baginda?

baginda tidak berdendam. bahkan pembunuh Saidina hamzah juga dimaafkan..

Ilmu Jarh wa Ta'dil, penilaian logik akal dlm memahami isu, dan bersederhana.

Jika Sdr Panglima Khalid atau lain2 pembaca ada mengetahui ulama' jarh wa ta'di seperti al-zahabi (penulis kitab Siar 'a'lami al-nubala') yang menta'dil atau sekurang2nya dia ini dihukum 'biasa' perawi hadis Muhammad Bin Humaid tersebut, sila kongsikan bersama JTR...

atau ada riwayat lain yang menyokong hadis tersebut. Riwayat yg menyokong itu pula tidak terputus (munqati') seperti hadis yg diriwayatkan Ibn Ishak tersbut terputus selama 70 tahun serta diriwayatkan oleh rijal2 yg thiqah dan jauh dari cacat cela.

JTR mengalu2kan perkongsian itu..

(IDEA DEMOKRASI)
Kadang2 penilaian neraca idea demokrasi iaitu melihat kata-kata majoriti dalam mengadili sesuatu isu itu itu tidak selalu boleh digunakan dalam beberapa perkara.. Saya bagi contoh mudah, bagaimana jika satu hari nanti majoriti mengatakan wanita di Malaysia tidak perlu bertudung lagi ke tempat kerja malah perlu didenda.. Jadi Ini adea yg sebenarnya boleh menimbulkan huru-hara suatu hari nanti jika tidak diperhalusi sebaiknya...

Berbalik pada isu ini; main point yg dibawa ialah:
1) kisah Hindun ini mempunyai keraguan melampau sehingga boleh dihukum tidak benar.

2) ingin menunjukkan bahawa betapa liciknya musuh2 Islam ingin memburuk2kan sahabat. mereka ini yang tidak mengetahui amanah ilmiah. Jadi umat Islam perlu bebas dari cerita2 karut sebegini.

3) memberitahu bahawa Mendalami ilmu hadis itu satu kewajipan kepada yang mampu. Ini untuk mengelakkan sampainya cerita2 yg tidak benar dan ini juga untuk memberi cerminan tulen kepada manusia bagaimana wajah Islam sebenar...

[quote] Berbalik pada isu ini; main point yg dibawa ialah:
1) kisah Hindun ini mempunyai keraguan melampau sehingga boleh dihukum tidak benar.

2) ingin menunjukkan bahawa betapa liciknya musuh2 Islam ingin memburuk2kan sahabat. mereka ini yang tidak mengetahui amanah ilmiah. Jadi umat Islam perlu bebas dari cerita2 karut sebegini.

3) memberitahu bahawa Mendalami ilmu hadis itu satu kewajipan kepada yang mampu. Ini untuk mengelakkan sampainya cerita2 yg tidak benar dan ini juga untuk memberi cerminan tulen kepada manusia bagaimana wajah Islam sebenar...
[/quote]

ini adalah satu pandangan...adakah anda terus menerima ini dan terus menolak yang lainnya...ya, memang ramai lagi ulamak yang meragui kisah ini tetapi di manakah adab kita sebagai pelajar dan sebagai orang jahil yang hanya menaqalkan kalam ulamak?

baikah, apa silap saya dalam menaqalkan kata2 ulama'? jika ada silap dan salah saya, sya harap awk boleh emel kpd saya agar saya cpt2 sy boleh perbetulkan perbetulkan..

apa yg penting artikel ini asalnya diambil dari tulisn Maulana Asri Yusoff. Beliau memang seorg yg tegas terutama terhadap penyebarn habuk2 songsang dikalangan umat Islam. jadi tidak pelik jika kita melihat kritikan beliau terhadap beberapa ulama' agak keras dan pedas. Itu adat para ilmuan.

Saya mengaku saya seorng pelajar dan masih dhaif dalam bermacam bidang ilmu dan hanya boleh menaqalkan kalam ulama' sahja dan masih blum boleh sampi tahp berijtihad lgi dan mengeluarkan qaul sndiri, jika ada salah saya, harap ditegur..

http://wargamarhaen.blogspot.com/2010/03/ong-tee-kiat-terima-hadiah-jam-hatikva.html

jam..

Hatikva Israel, merupakan lagu kebangsaan negara haram Israel. Lirik lagu yg ckup menggelikan.. Itu sahaja yg boleh dikatakan..

Dear Sirs:

I fail to understand/perceive how such an issue like this can help all the mischievous and wrong-doings in the Malaysian society.

I cannot see how going thru the hastle of these details can help make-good the receeding societal values among the Malaysian Muslims and Malays.

Apalah faedahnya mendebatkan isu yg seremeh ini sedangkan umat Islam menuju kehancuran dgn perbalahan sesama sendiri?

Dunia akhir zaman...manusia lupa apa priorities dan tenggelam dlm keseronokan debat yg melalaikan! Hati2, kadang2 kita sangka yg kita bawa itu baik sedangkan ianya menyesatkan...

saudara amirmhd,

saya kira apa yg penulis cuba sampaikan di sini(sila betolkan jikalau saya silap okey)ialah jika di zaman Nabi saw pun sudah ada org Islam munafik menipu dan memanipulasikan hadis2 serta riwayah...maka apatah lagi di zaman sekarang pabila kita hidup sudah tidak lagi berdepan dgn Nabi saw sbg pemimpin dan kita semata2 bergantung pada Al-Quran, hadis dan sunnahnya shj...jikalau riwayah dan hadis dizaman itu pun boleh di manipulasi, maka tidak hairanlah umat kita skrg pun mudah sgt terkontang kanting...

mmg benar riwayah Hindun mamah hati Hamzah r.a mungkin tidak ada signifikan yg jelas pada kita pada era ini, tapi jauh dari situ sbnrnya ia lebih byk kpd hal2 tauhid yg kita ketahui mungkin sudah jauh menyimpang pemamhamannya akibat dari perbuatan umat yg kita sendiri yg khianat pada agama Islam...oleh itu, tujuan artikel ini di tulis ialah selain dari beri pandangan lain tentang sumber asal riwayah ini, ia juga mengingatkan kita sbg umat Islam terutamanya melayu...musuh kita bukan shj ada di luar tapi dikalangan umat kita juga...iaitu BANGSA MELAYU ISLAM sendiri!!!

tidak perlulah kita bercerita tentang melayu, malaysia dan sbgnya krn tulisan2 sprt itu sudah terdapat terlalu byk di mana2 pun tidak kira di media elektronik dan juga cetak...yg penting sekarang pun kita berpecah belah ialah umat kita sendiri, khususnya di malaysia ialah org melayu sendiri...itu maksud penulis...

Kadang2 manusia selalu terlepas pandang dalam hal2 yg mereka katakan remeh, kalaupun isu ini remeh, adakah yg remeh perlu ditinggalkan dan hanya perlu berkata soal yang besar2.

Sy harap saudara boleh ambil bnyk pengajaran dari isu yg dirasakan 'remeh' ini dan cuba lihat kesannya dalam kerosakn masyarakat skarang...

Membetulkan masyarakat harus perlu belajar dari sejarah. Untuk mempelajari sejarah, pastikan sejarah yg kita terima itu, tepat, benar dan sahih.. jika tidak, kita membela sesuatu yg tidak ada asas.

Ingatlah, bukan senang benda 'remeh' ini ingin dihasilkan. pelabagai bidang ilmu perlu diperdalami. Untuk jauhkan Umat Islam dari cerita2 pelik dan karut. Sampai bila umat Islam ingin hidup dalam keadaan ditipu dan bersandarkan perkara yang tidak benar?

Dear Sirs:

1. Amat susah bukan menerima hakikat bahawa sesuatu itu remeh dan tidak perlu diberi penekanan pun - samada Hindun mamah ke x mamah ke hati Hamzah apa yg mengganggu akidah samada seseorg itu meyakini yg mana satu?

2. Apa signifikannya mendalami ilmu "Hindun mamah atau tidak hati Hmzh"? Apa sumbangannya mengetahui Hindun mamah/tidak mamah hy Hmzah kpd masyarakat dan dunia? Lainlah kalau dlm mendalami itu kita dapat tahu (mungkin) ilmu psikologi (mindset Hindun dlm perbuatannya), ilmu pathology (mcmn Hindun mengetahui itu adalah ht bukan limpa atau paru2 - sekiranya dia memamah ht Hmzh), dsbnya... Remeh pd sy kerana ia tidak membawa sumbangan kpd memperbaiki kehidupan manusia! Cuba saudara kupas apa pengajarannya dgn mengetahui Hindun mamah/tidak mamah ht Hmzh dan bagaimanakah ini membawa kesan kpd kerosakan masyarakat skrg?

3, Blog saudara dlm bahasa Melayu maka saya mengandaikan audiennya adalah org2 Melayu. Kenapa dlm membetulkan masyarakat dgn belajar sejarah itu tidak didalami sejarah Melayu dan Tanah Melayu? Bagaimana Islam itu membina dan terbina di Tanah Melayu dan Nusantara ini? Melayu jadi makin majukah dgn mengetahui Hindun mamah/tidak mamah ht Hmzh?

4. Sy berpndapat artikel saudara boleh melalaikan oleh kerana ia membawa kpd perdebatan yg tidak ada kepastian dan kesimpulan, juga tidak membawa apa2 signifikan kpd menyelesaikan permasalahan masyarakat.

5. Sy sarankan, oleh kerana saudara dlm bidang agama bawalah cerita2 tentang ayat2 Quran, bagaimana dan mengapa ayat2 itu diturunkan dan apa signifikan ayat2 itu. Bawalah juga ilmu2 yg telah sejarah gali drp Al-Quran itu. Jika ianya dr Al-Quran nescaya ia tidak melalaikan dan tidak ada keraguan ke atasnya.

6. Artikel spt yg saudara paparkan inilah antara sebab2 org2 banyak yg tidak berpendidikan formal agama memandang seperti "Apalaaa keje ustaz2 ni...". Sedangkan para saintis dan inovator2 dulu adalah juga org2 yg dalam ilmu agamanya dan dalam pengajian Al-Qurannya.

7. Saudara masih muda dan berpeluang mendalami ilmu agama secara fromal. Janganlah sia2kan masa muda ini dan peluang ini untuk menyumbang kpd membina masyarakat yg lebih peka kpd ilmu dan kepentingan ilmu. Mulakan dgn yg asas, bentangkan yg tidak ada keraguan kpdnya. Cuba kalau boleh saudara bentangkan mengapa dan bagaimana kerajaan Baghdad dulu jatuh tersungkur sedangkan waktu itu para ilmuan amat ramai dan terlalu amat mendalam kajian mereka!!! Adakah kita akan kembali ke zaman itu???

Apapun, klu saudara rasa ianya remeh dan tidak memberi tindak balas positif pada masyarkat, itu hak saudara untuk memberi pandangan.. selebihnya, saya serahkan pada pembaca untuk menilai sendiri tulisan ini dan pendapat saudara.

Terima Kasih..

Bulat air dek pembetung, bulat kata dek muafakat.
Berbangkang jangan bergaduh, bersetuju jangan bertempoh.

terima kasih atas perkongsian bermanfaat ni.

to amirmhd:apa sumbangan anda kepada agama dan bangsa setakat ni?terlalu sibuk pertikaikan isu 'remeh' ni yg kononnya tak memberi manfaat langsung...tiada ilmu yg tak bermanfaat pada saya selagi ilmu tu benar..wallahualam..

assalamualaikum...
jazakallah atas pencerahan,ana sblum ini pun tertanya2 tntng hal ini..terima kasih byk,dpt tmbh ilmu,insyaALLAH...

maaf,bukan niat nak kondem siapa2,tp ana bersetuju dgn 'Tanpa Nama'...tiada ilmu yg tak bermanfaat pada saya selagi ilmu tu benar..wallahu'alam.

pohon nyor:

Assalamualaikum...

artikel yang menarik dan insyaAllah bermanfaat..

komentar2 yang diberikan pn menarik, walau ada sedikit percanggahan...tapi, itulah warna yang mencorak sesuatu idea itu...

kesimpulannya, Alhamdulillah, dpt byk input yg bermanfaat sama ada dari artikel dan komentar2...

....think +ve....peace..^_^...

wallah hu a'lam..

salam saudara hannan,

apa yang saudara kongsikan disini adalah bermanfaat. Teruskan usaha saudara. Isu yang saudara bangkitkan bukan isu remeh kerana yahudi dan syiah semakin mengembangkan pengaruh mereka secara halus tanpa kita sedari. Subhanallah, allah sentiasa bersama hamba-hambanya yang benar. Keadaan kita sekarang ni telah digambarkan oleh Rasullulah SAW lebih 1000 tahun dahulu. Umat islam perlukan tentera2 mcm saudara. Kita sekarang ni berperang secara ideologi dan ilmiah. Tewaskan yahudi dan syiah!

Salam kembali kepada saudara di atas, Jihad menyedarkan saudara2 kita yang terlena bukan satu yg mudah, perlukan mujahadah dan istiqamah.. Sama-samalah kita doakan semoga Allah membuka hati kita dan selamatkan kita dari huru-hara fitnah akhir zaman ini. Terima kasih atas sokongan!

salam ukhwah...hmhhhhh amat menarik dan menggemparkan..harap akan ada lagi info2 yag berkualiti...

haha, wahabi macam saudara ja yang kata bukan (Hindun x makan hati hamzah). sebab hangpa semua pencinta hindun, bini muawiyyah...

Saya bersetuju dengan panglima khalid, satu lagi anta sendiri tidak menunjukkan siqah dan jujur dalam kajian ini. Maksud saya anda menyatakan artikel ini asalnya diambil dari tulisn Maulana Asri Yusoff, sedangkan dalam tulisan di atas tidak disebutpun nama beliau. Kalau di sudut ini bolehkah kita sembunyikan ambilan sumber yang penting itu?

Assalamu`alaiku,
Pendapat sdr. amirmhd dan panglima khalidada benarnya. Say atidak mehau mebahas sama ada is isu remeh atau tidak tetapi dalam kaedah menuntut ilmu kita perlu mendahulukan yang perlu didahulukan (Fiqh Aulawiyat). Kisah Hindun tidak akan menjjaskan akidah umat. Sebagai seorang yang berpelajaran saya berpendapat lebih baik sekarang inimusaha ditumpukan untuk emmbetulkan kefahaman Islam yang sudah jauh menyimpang kerana terlalu banyak perdebatan isu-isu cabang seperti ini. Remaja yang rajin melayari internet sepatutnya dibawa berbincang mengenai isu pembetulan aqidah, akhlaq dan ilmu-ilmu fardhu ain yang lain kerana ia boleh membawa mereka lebih dekat keada Allah. Jika cerdik pandai hari lebih sibuk membincangkan soal seperti ini maka peluang untuk mendidik remaja dan pembaca lain akan terlepas begitu sahaja. Dalam kita menulis ada kalanya kita menghina ulamak terdahulu. Contoh yang tertera amat jelas "Ibn Ishak dan kuncu-kuncunya..." pada saya ia satu kenyataan yang menghina yang perlu dihindari. Sekali lagi saya menyeru agar polemik seperti ini dihentikan kerana dikhuatiri penghinaan itu akan berbalik kepada diri penulis. Wallahua'lam. (Mohd Fuad Mohd Salleh)

Catat Ulasan

Pada pendapat anda?

Perjalanan

Tembusi Petra, Jordan Slideshow: BenTaleb’s trip was created by TripAdvisor. Create a free slideshow with music from your travel photos.
Sabda Baginda SAW ; "Ketahuilah ia (Dajjal) berada di laut Syam atau laut Yaman.. akan datang dari arah timur (lalu menunjukkan dengan tangan baginda).."[Riwayat Muslim]. Daripada Abi Bakr al-Siddiq r.a, sabda Baginda SAW, "Dajjal akan muncul ke bumi dari arah timur bernama KHURASAN." [Riwayat al-Tirmizi]. Daripada Anas bin Malik r.a, sabda Baginda SAW, "Dajjal akan keluar dari kota Yahudi ISFAHAN (Khurasan, IRAN) bersama 70,000 penduduk ISFAHAN". [Fath al-Rabbani Tartib Musnad Ahmad. Ibn Hajar berkata : "Sahih"]. Ibn Kathir berkata, Dajal pada mulanya akan muncul dari ISFAHAN dari sebuah kota Yahudi [al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim]. ISFAHAN adalah sebuah bandar terbesar YAHUDI di Iran dan pusat loji nuklear Iran pada masa kini.