Catatan Pengalaman:
Hitam Putih Di Pulau Mutiara
oleh: Abu Hannan Mohammad Sufian Bin Talib
KIAS, Nilam Puri, Kelantan.
Penulis bersama tiga orang sahabat bergegas ke Pulau Mutiara atas tanggungjawab yang diamanahkan oleh YBrs. Dr Ahmad Najib Bin Abdullah al-Qari’. Kami telah dilantik oleh beliau untuk menjadi Researcher Asst (RA) dalam menyiapkan beberapa projek yang dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah Universiti Malaya, Nilam Puri. Dari Segamat jam 8.00 malam bertarikh 12 April 2009, saya bertolak ke Pulau Pinang dengan dihantar oleh kedua orang tua di perhentian bas. Dua orang lagi iaitu, Sdr Mohd Shahril Bin Mohd Shukri dan juru foto, Sdr Rusli Wahab bertolak dari Kota Bharu, Kelantan pada hari yang sama, cuma mereka bertolak pada jam 10.00 malam dua jam lewat daripada saya. Walaupun begitu, sahabat dari Kelantan terlebih dahulu tiba diikuti dengan saya. Bertemu di Perhentian Butterworth, kelihatan kedua-dua sahabat sedang menunggu saya yang tiba kurang lebih jam 5.15 pagi.
Tujuan Sebenar
Saya tidak merasakan perlu untuk menulis seperti tulisan di dalam diari, tetapi sekadar ingin mencoret kenangan manis dan kelat ketika sekian lama tidak mengunjungi Pulau Pinang. Tujuan sebenar kunjungan kami ke sini adalah ingin mewawancara seorang cendikiawan Islam lokal terkenal iaitu Dr. Danial Zainal Abidin. Ini untuk melengkapkan lagi kajian kami dan Dr. Ahmad Najib mengenai karya-karya berkaitan al-Quran dan Sains di Malaysia. Hasil kerja keras ‘menempah’ masa yang agak mahal untuk bersama-sama Dr. Danial, akhirnya Allah memberi ruang dan peruntukan waktu bagi kami bertemu dengannya. Pada jam 10.00 pagi kami telahpun berada di Klinik Syifa’, tempat di mana kami menemuramah beliau. Kawasannya adalah di Gelugor. Dengan suasana yang agak sederhana, kami di sambut oleh Pn. Salmiah, (pengurus Dr. Danial) di pejabatnya dengan senyuman manis memberikan lagi kekuatan kepada kami untuk bertemu dengan Dr. Danial. Alhamdulillah, akhirnya kedua mata ini dapat juga melihat beliau secara mubasyarah yang selama ini hanya dapat dilihat di rancangan-rancangan tv dan melalui tulisan sahaja.
Pertemuan kami lebih kurang 1 jam tersebut cukup memberikan input-input menarik bagi kami dalam memberi erti kepada kami sebagai penuntut ilmu. Perkenalan yang sesingkat itu sangat membuatkan hati kami terlalu ceria kerana dapat berkenalan dengan seorang penulis buku yang terlalu tawadhu’ dan insaf dengan ilmu yang dimilikinya. Pertuturan yang jelas dan berhati-hati beliau memperlihatkan kepada kami bahawa beliau seorang yang mengikuti dan menerapi disiplin serta amanah ilmiah. Bukan seperti ‘ustaz-ustaz’ lain yang lebih suka hentam kromo sahaja bila tidak tahu menjawab. Pada kami, beliau boleh dijadikan sebagai sebuah ikon atau model kepada remaja seperti kami dalam menggali Islam dengan lebih dalam. Berdakwah kepada non-muslim melalui skop sains adalah satu cabang untuk Islam diterima oleh semua golongan, lebih-lebih lagi remaja. Sikap remaja yang lebih senang Islam disampaikan dengan cara yang saintifik, pembuktian fisikal dan mental telah dikenal pasti oleh beliau. Ini membuatkan kami boleh menarik nafas panjang kerana suatu modul baik telahpun dimulakan oleh beliau. Anda boleh merujuk terus ke buku tulisan beliau yang bertajuk: “Bahan Berdakwah Untuk Remaja”. Sifat ramah beliau juga memberi keyakinan kepada kami bahawa beliau seorang yang mudah didekati. Pertemuan kami pada hari itu diakhiri oleh dengan penyampai sedikit cenderahati dari Dr. Ahmad Najib kepada beliau. Amat mengharukan kami, apabila beliau juga turut memberikan beberapa naskhah buku tulisan beliau kepada kami sebagai hadiah.
Bersiar-siar
Setelah selesai memenuhi tanggungjawab, kami telah bersepakat untuk bersiar-siar ke beberapa tempat menarik di Pulau Pinang. Perjalanan tersebut dimulakan dengan bertolaknya kami menggunakan Rapid Penang untuk ke Komtar. Komtar merupakan lokasi wajib apabila sampai di Penang. Memang tidak boleh dinafikan, orang Penang memang baik dan peramah, suka memberi senyuman dan amat gemar bersapa. Buktinya, ketua lawatan kami, Shahril sempat bergelak ketawa dan mendapatkan beberapa maklumat mengenai lokasi yang ingin kami lawati bersama pemandu bas tersebut. Kami seterusnya mendapatkan makan tangah hari di sebuah kedai mamak berdekatan dengan Komtar, menu untuk makan tengah hari tersebut adalah Nasi Kandar, makanan yang memperkenalkan Pulau Pinang kepada masyarakat Malaysia. Berselera benar kami pada tengah hari itu, mana tidaknya, perut kami sudah memberi isyarat apabila beberapa jenis bunyi kedengaran.
Kami seterusnya meneruskan perjalanan ke Batu Feringgi, lokasi di mana terletaknya pantai yang sangat menarik untuk dikunjungi. Setibanya kami di situ, kelihatan beberapa kedai-kedai dan restoran-restoran arab terdapat di sana. Kami membeli beberapa jenis makanan dan minuman untuk dibawa ke pesisir pantai. Duduk berehat di bawah pohon nyiur, sambil di tiup angin cukup memberikan kerehatan kepada kami. Setelah hampir setengah jam berehat di situ, kami mengambil keputusan untuk bersiar-siar sebentar sebelum pulang ke Komtar untuk membeli sedikit buah tangan dari Pulau Pinang.
Terjumpa Bangunan Syiah
Dalam kami berjalan-jalan, ketua rombongan kami tiba-tiba terkejut lalu berkata menyatakan bahawa beliau ternampak sebuah bangunan syiah. Buktinya, terdapat tulisan-tulisan yang agak banyak menceritakan mengenai perihal ahl al-bait. Kami turut berpaling melihat bangunan tersebut. Ternyata, ia sebuah bangunan milik komuniti syiah. Kelihatan gambar seorang ulama’ besar syiah, Ayatollah Khomeini dan gambar lukisan yang kami sangkakan ia sebagai gambaran bagi Saidina ‘Ali r.a. Pintu pagarnya yang tertutup menyebabkan kami tidak boleh masuk ke halaman bangunan tersebut. Tidak tahu samaada bangunan itu sebuah masjid, musalla, rumah atau tidak, kami hanya menyatakan ia sebagai sebuah bangunan. Apa yang kami lihat di dalam bangunan tersebut ialah dua orang kanak-kanak yang kelihatan sedang mempelajari sesuatu di hadapan muka pintu. Juru foto kami terus mengambil beberapa gambar foto bangunan tersebut. Kesimpulan yang boleh kami katakan, syiah semakin melebarkan sayapnya diseluruh Malaysia dan semakin berani. Mungkin mereka menggunakan kesempatan kebebasan bersuara untuk mereka mempromosi syiah sesat di tanah air kita.
Perbualan kami dalam perjalanan seterusnya hanya tertumpu mengenai topik syiah. Satu ancaman aqidah yang merasuk kepada golongan yang inginkan agama. Bermacam-macam persoalan yang ditimbulkan dalam perbualan kami bertiga. Salah satunya, Pihak berkuasa agama tak buat pemantauan ke?, dan macam-macam lagi.
Kami tiba semula di Komtar, berpusing-pusing sekitarnya untuk mencari beberapa ole-ole dari Penang untuk kami bawa pulang ke Kota Bharu. Lebih kurang jam 6.00 petang, kami bertolak dari Komtar ke Terminal Bas Sungai Nibong. Menggunakan perkhidmatan teksi, kami dilayan mesra oleh pemandu teksi tersebut. Kami sempat mengambil beberapa gambar foto sekitar kawasan–kawasan cantik sekitar Pulau Pinang. Bas kami untuk bertolak ke Kota Bharu ialah pada jam 9.00 malam. Masa-masa terakhir kami di sana hanya di dihabiskan di musalla terminal. Meredakan sedikit keletihan dan berbual-bual mengenai perjalanan sepanjang hampir sehari di Pulau Mutiara. Selesai solat, kami mengambil sedikit makan malam sebelum bertolak pulang ke Kelantan. Tepat jam 9.00 malam, bas kami bergerak meninggalkan Pulau Pinang. Itulah sedikit coretan tentang kisah Putih dan Hitam kami sehari di Pulau Pinang.
“Putih ertinya manis dan indah, Hitam ertinya kelat dan kotor”.
2 Komen:
Salam,
Tentang markas Syiah di batu feringgi tu, ia memang benar2 ujud.
Saya juga simpan gambar2 dikawasan tersebut untuk dijadikan koleksi peribadi.
Semoga Aqidah ummah terpelihara.
salam..
klau nak ambik gmba sami smbhyang kat tu amik la...
klau search kat google pn ade...
:D
Catat Ulasan
Pada pendapat anda?