HARAMKAH MAKAN DAGING SEMBELIHAN ORANG UMNO?
Oleh: Abu Hannan Mohammad Sufian Bin Talib
4.45 ptg, Sabtu 11 April 2009
Batu Anam, Segamat Johor
Aidil Adha sudahpun berlalu beberapa bulan yang lalu, penyatuan umat Islam yang begitu ramai memberi gambaran jelas kepada masyarakat global bahawa Islam sebuah agama yang seiring dengan fitrah kehidupan sejagat, ingin berjiran juga bersaudara. Islam mudah diterima pakai sebagai satu sistem maslahah ke arah pengaturan berkualiti dan meningkatkan lagi nilai hidup yang sejahtera, aman tanpa kasta yang zalim dan ketidakadilan.
Sesuai dengan perayaan tersebut juga, Islam telah menggariskan satu sistem ekonomi yang memberi impak positif dalam pembangunan dan pembinaan sosio ekonomi sesebuah masyarakat secara rela berdasarkan kekuatan mata hati yang sedar tentang realiti semasa sehingga masyarakat tidak lagi mempunyai perbedaan ketara antara yang miskin dan yang kaya. Qurban merupakan salah satu dari ‘alat’ yang diberi Islam kepada umatnya untuk menyelesaikan masalah tersebut. Qurban juga berfungsi sebagai wasilah penghubung kepada yang miskin, sederhana dengan yang berkemampuan. Selain itu, qurban juga merupakan medium penting dalam penyatuan ummah sejagat tanpa dinilai mengikut acuan politik, fikrah dan sebagainya, bagi penulis, qurban merupakan instrumen yang paling popular untuk menyatukan puak yang bertelagah. Allah berfirman:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Bermaksud: Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara. sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.
Penulis pada artikel kali ini ingin berkongsi pengalaman bersama pembaca sekalian sekitar proses pembelajaran penulis di institusi tempat penulis menuntut ilmu pada tahun 2007 (dua tahun lepas). Ketika di dalam tutorial Ahadith al-Ahkam II yang disampaikan oleh seorang ustazah yang pakar dalam bidang tersebut, biasanya pelajar itu sendiri akan mengendalikan tutor mengikut kreativiti pelajar tersebut. Tetapi pada kali itu, ustazah Qamariah Binti Abd. Rahman mengambil alih kelas tersebut dan membuka perbincangan sekitar topik berkaitan hukum memakan daging sembelihan bukan Islam. Terdapat beberapa pengkelasan golongan bukab Islam yang kami ketahui ketika di dalam tutorial tersebut, sebagai contoh golongan i) ahl al-Kitab dan ii) musyrikin. Hasil dari perbincangan tersebut, kami memahami bahawa daging sembelihan ahl al-Kitab boleh dimakan berserta khilaf para ulama’nya yang terdapat di dalam permasalahan itu dan daging sembelihan musyrik haram untuk dimakan.
Biasanya, 10 minit sebelum tamat tutorial, sesi soal jawab kepada yang kurang faham akan diluangkan. Seorang dari pelajar jabatan al-Syariah ini selepas berbincang dengan sahabat disebelahnya bangun lalu memberi soalan. Beliau berkata: “ Ustazah, boleh tak kita memakan daging sembelihan orang Umno?”. Selesai sahaja soalan tersebut diajukan, kelas riuh seketika dengan bunyi-bunyi mulut yang kurang bersetuju dengan soalan tersebut. Apa lagi, ustazah terus bangun dan menjawab, tetapi kali ini agak keras sedikit jawapannya. Dengan ringkas ustazah berkata: “Umno-Umno pun, mereka masih lagi mengucapkan syahadah, bersolat, berqurban dan pergi haji. Apa yang menghalang kamu dari memakan daging sembelihan mereka sedangkan ahl-Kitab itu pun masih boleh dimakan daging sembelihannya. Kamu ini jangan terlalu taasub dengan apa yang kamu sokong sehingga menganggap begitu sekali kepada orang Umno.” Lalu ustazah tersebut membacakan semula hadis yang dipelajari pada permulaan tutotial untuk memberi kefahaman selanjutnya.
Begitulah sedikit gambaran yang terjadi sebelum artikel ini ditulis. Penulis cuba membawa isu ini kehadapan pembaca sekalian agar apa yang diperkatakan ini dapat kita kongsi bersama. Seharusnya, sikap keterlaluan perlu untuk kita jauhi sesuai dengan sikap pertengahan yang dilaung-laungkan oleh Islam dan para pendokong cerdik pandainya. Sikap ghuluw ini akan memberi impak negatif kepada beberapa golongan samaada mereka di dalam Islam itu sendiri dan lebih-lebih lagi non muslim. Bagi masyarakat Islam yang menjadi mangsa dalam kes ini, pihak yang memberi pandangan akan dianggap melampau dan totok dalam menyelesaikan isu-isu agama. Mereka juga akan terasa dipulau dan disisihkan oleh puak yang kononnya berpegang teguh dengan Islam. Orang bukan Islam pula akan melihat pergolakan yang terdapat di dalam agama Islam sendiri. Ini akan menyebabkan Islam akan lebih dijauhi oleh pihak non-muslim.
Pemahaman ilmu seharusnya bermula dari proses insafnya seseorang dan sedar tentang hakikat kewajiban menuntut ilmu. Sifat ini seterusnya harus disaluti dengan kehendak yang mendalam terhadap ilmu yang ingin dipelajari dan diteruskan dengan sikap keadilan dalam menilai yang hak dan yang batil, yang sebulu dan yang berbulu, yang dibenci dan yang dicinta. Tanpa peruntukan sikap-sikap yang sebegini rupa, penilaian seseorang akan tersasar dari objektif sebenar dan akhirnya menyebabkan nama Islam yang dibawanya akan kelihatan hitam dari cahaya kebenaran padahal hakikatnya Islam itu tetap yang terbaik tetapi diconteng oleh pembawa-pembawa yang tidak bertanggungjawab. Akhir kalam, penulis suka untuk membawa satu firman Allah yang berbunyi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآَنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
(Surah al-Maidah: 5)
8. Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) Karena Allah, menjadi saksi dengan adil. dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. berlaku adillah, Karena adil itu lebih dekat kepada takwa. dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Wallahu ‘A’lam.
0 Komen:
Catat Ulasan
Pada pendapat anda?