Tahajjud Cinta, sebuah drama tv yang baru sahaja disiarkan sebanyak 3 episod
ketika saya menulis berkenaannya. Bertemakan Naskhah Islamik karya Erma Fatima,
saya merasakan bahawa, Di Malaysia drama dan filem yang berunsur Islam baru
berada diperingkat permulaan atau peringkat berjinak-jinak. Sesuatu yang perlu
dibanggakan apabila tema Islami menjadi pilihan penerbit filem dan drama ketika
mana banyak lagi terbitan-terbitan lain yang sifar Islami dramanya.
Tahniah Erma Fatima! Saya juga mengikuti drama beliau, Kitab Cinta yang
telah tamat siarannya di TV al-Hijrah. Sebuah kisah cinta Islami yang turut
dibintangi oleh Fazura. Apa yang saya lihat, mesej pandang sisi dalam siri
penceritaan tersebut adalah berkisar berkenaan aplikasi hukuman syariah tanpa
ada sebarang tindakan mendidik masyarakat terhadap hikmah hukuman tersebut.
Akibatnya, mereka yang tidak faham, akan menilai Islam sebagai sebuah agama
yang kejam dan tidak adil.
Begitu juga di Tahajjud Cinta, sebuah karya yang tidak murah harganya. Cuba
untuk menceritakan berkenaan pengorbanan seorang wanita untuk mendapat hak
mereka sebagai kaum hawa. Uniknya cerita ini, dua gambaran yang dilakukan
empunya naskhah untuk memperlihatkan kepada masyarakat bagaimana lelaki yang
berkepentingan mendominasi kaum wanita. Yang pertama (1) seorang suami yang
memang tiada berlatarbelakangkan pendidikan agama, sering menjadikan isterinya
tempat melepaskan nafsu kemarahan, manakala yang ke dua (2), lelaki yang nilai
luarannya seperti seorang agamawan, menggunakan nas-nas suci al-Quran dan
al-Hadith untuk kepentingan nafsunya. Mungkin ini yang cuba digambarkan oleh
pengarah melalui drama ini.
Dua gambaran ini bagi saya sudah cukup untuk memahamkan masyarakat
(penonton), bahawa itu adalah realiti sejak turun temurun bagaimana wanita
diperlakukan sehingga ada diantara mereka mengganggap Islam sebuah agama yang
tidak adil. Sebuah pencerapan kesedaran sivil berkenaan dua watak yang sering
menghantui wanita.
Walaubagaimanapun, sebuah naskhah Islami, tidak semestinya tajuknya juga
perlu kepada perkataan-perkataan yang religioustik. Antara perkataan yang
sering digunakan ialah antaranya, tasbih, kitab, sejadah juga lain-lain. Ini
bagi saya hanya menyebabkan penonton akan terhad kepada kelompok-kelompok
tertentu sahaja. Mereka yang bukan Islam mungkin akan mengalih siaran tv kerana
beliau merasakan ia tidak sesuai dengannya.
Saya lebih suka dengan pendekatan yang lebih terbuka tetapi bersifat
harmoni. Sebagai contoh sebuah filem Iran, jalan cerita yang sangat baik untuk
semua lapisan masyarakat kerana nilai sivik yang tinggi juga sangat islamik.
tajuknya hanya sekadar "KASUT". Apapun, ini hanya pandangan saya.
Terpulang kepada pembaca untuk menilainya.
Berbalik kepada Tahajjud Cinta. Hari ini, ramai yang membantah siaran drama
episod tersebut. Alasannya, terdapat adegan yang memberi tasawwur (gambaran)
negatif pada pelajar agama. Adegan membuka purdah (penutup muka) yang dilakukan
Wahdi kepada Seri.Adegan itu bagi saya bukanlah atas sikap suka sama suka
antara mereka berdua. Wahdi melakukan perkara demikian adalah kerana
keghairahan dia untuk melihat wajah Seri yang dia cintai. Dalam masa yang sama
perbuatan tersebut telah menyebabkan Seri tergamam dan mungkin terkejut dengan
perbuatan Wahdi. Jika ia dilakukan antara suka sama suka, saya juga mungkin
akan turut serta 'Like' halaman Facebook yang membantah penyiaran cerita ini.
Apapun, di sini saya sertakan apa kata Fouziah Gous berkenaan adegan itu untuk
kita nilai. katanya:
"Baru tiga episod ditayangkan. Penonton perlu lihat betul-betul. Contohnya, saya ada dialog, 'buang tabiat' kepada Wahdi ketika dia mahu membuka hijab saya, itu semua bersebab. Perlu faham dan jangan ikut emosi. Kalau dilihat dalam-dalam, kami menyampaikan dengan dialog yang jelas dan bukan gerak tubuh semata yang boleh dimanipulasikan. Jika ada yang tidak kena, saya minta maaf. Berilah peluang kepada naskhah ini dan fahami dahulu. Jangan terlalu merumitkan keadaan."
Realiti hari ini mungkin juga sedemikian.Saya melihat, Erma Fatima menggarap
adegan tersebut mungkin hasil penelitian beliau terhadap realiti semasa. Jika
ia sebuah cerita yang berdasarkan realiti, naskhah tersebut sebuah karya yang
bernilai tinggi walaupun dicemuh oleh mereka yang kurang senang.
Contohnya cerita-cerita seram hantu. Pengarah filem contohnya akan melalukan
studi terlebih dahulu sebelum melakonkan hantu apa yang sesuai dengan
masyarakat tersebut untuk dibawa di dalam filem. Sifat hantu tersebut juga sangat
penting untuk menggambarkan bahawa ia adalah sebuah realiti bukan fantasi. Jika
tidak, ia hanya seperti cerita kartun. Apapun, itu hanya sangkaan saya.
Kita Terlalu Cepat Menghukum
Saya melihat, fenomena menghukum tanpa menilai sedalam-dalamnya kesan yang
akan berlaku sering terjadi kepada masyarakat, khususnya pelajar jurusan agama.
Sikap ini bagi saya adalah sangat tidak sihat. Kebanyakkannya didasari oleh
emosi. Institusi perfileman bertemakan cerita Islami di Malaysia masih baru.
banyak hal yang perlu dipelajari oleh penggerak industri ini. Berilah peluang
kepada mereka untuk untuk cuba melakukan transformasi secara
berperingkat-peringkat.
Erma Fatima dahulu pernah ingin untuk menghasilkan teater musikal bertema
Islami, tetapi tidak mendapat sambutan dari para penaja untuk menaja kos
perbelanjaan teater tersebut. Ini adalah kerana teater tersebut temanya ISLAM.
Walaubagaimanapun, hasil usaha beliau, teater tersebut tetap dapat dijalankan
dengan baiknya. Jika kita tidak menyokong dan hanya pandai mengkritik tanpa
memberi solusi penyelesaian, industri perfileman berunsur Islami alamatnya
sukar untuk bertahan dan akhirnya akan berkubur di bumi Malaysia.
Beri Cadangan
Islam sentiasa memberi gantian (Badil al-Syar'ie) kepada setiap kesalahan yang
dilakukan dalam sistem kehidupan. itu bermakna, Islam adalah sebuah agama yang
menyelesaikan masalah. Kita juga harus bertindak demikian. Jangan hanya pandai
mengkritik dan menghentam tetapi tidak menyediakan solusi yang baik sebagai
cadangan. Akibatnya, sangat jarang, penerbit atau pengarah filem datangnya dari
mereka yang beraliran agama. Oleh sebab yang demikian, mereka yang sedar,
walaupun tidak dari mereka yang khusus dalam aliran agama, mengorak langkah
mengambil bahagian dalam kerja dakwah dalam ruang berkenaan. Dalam hal ini,
saya memuji Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang memberi idea bernas dalam drama
Cinta Sempurna. Nilai dakwah yang diilhamkan dari realiti yang dihadapi beliau
diterapkan dalam drama tersebut.
Beri Masa
Ya, tidak semua yang dilakukan manusia, sempurna belaka. Ada cacat celanya
yang tersendiri. Anda punya hak untuk menilai negatif, tetapi saya juga ada hak
untuk bersuara positif. Jika hanya baru dua episod, kita sudah bertindak tidak
sihat untuk tidak membenarkan cerita tersebut ditayangkan, hanya kerana
beberapa adegan yang kita lihat 'terlampau', telah menyebabkan mesej utama yang
ingin disampaikan tidak sampai kepada masyarakat. Jika benar ia akan
diberhentikan, lalu digantikan dengan cerita cinta non Islami, apa yang ingin kita
katakan lagi adalah sia-sia. Islam punya kaedah, jika perbuatan menjauhi
kemudharatan itu menyebabkan mudharat lebih besar berlaku, ambil mudharat yang
lebih kecil.
Beri masa dan ruang untuk mereka membina tapak untuk industri bertema Islami
ini kukuh sebagai medan dakwah di Malaysia. Sudahlah kita tidak produktif,
kerja kita hanya tahu mengkritik sahaja.
Akhirnya, saya secara peribadi menyokong usaha dakwah yang cuba dibawa oleh
Erma Fatima sejak dari dahulu lagi. Kita tahu, tidak semua yang dilakukan
tepat, mesti ada salah dan silapnya. Teguran membina sangat diperlukan oleh
manusia seperti beliau. Saya juga merupakan salah seorang pelajar Malaysia yang
menuntut di Jordan, tetapi saya tidaklah seperti yang didakwa oleh empunya
halaman yang bantahan drama tersebut. Saya sangat bersetuju dengan mesej utama
yang ingin disampai dalam drama tersebut. nasihat saya, teruskan idea bernas
itu, agar masyarakat arif hak mereka sebagai wanita muslim dilindungi oleh
Islam.
Wallahu A'lam
5 Komen:
Salam...saya mula-mula beranggapan seperti insan lain juga.
Dengan mengatakan babak-babak seperti membuka purdah dan berjalan berdua-duan itu tidak baik.
Tetapi apabila membaca post ini, saya bersetuju dengan awak.
Setiap apa yang kita lakukann pasti punya kelemahan kerana tidak semua orang sempurna.
Mungkin kekurangan itu dapat dibaiki pada masa akan datang dan boleh dijadikan iktibar buat kita
Thanks for sharing...
betul sy setuju.sy ykn ada sesuatu yg ingin dismpaikan dr cerita ni oleh erma fatima.betapa Islam itu sgt lengkap dan mudah tp ada yg tidak mahu ambil tahu dan memilih utk terus jahil,ada yg ilmu tinggi tp mempergunakan ilmu itu utk kepentingan diri.kisah2 dlm cerita ni sebenarnya ada terjadi dlm realiti.cuma kita yg lebih memilih utk buat2 x nmpak dan x ambek kesah.cerita in juga dgn jelas menggambarkan samaada seseorg itu byk ilmu agama atau jahil,semuanya akan diuji..dan syaitan telah bersumpah xkan pernah berputus asa menyesatkan anak adam...
Cinta Positif
Tahniah kepada JTR, anda bersuara berbeza dari pelajar-pelajar Jordan yang lain dalam isu Tahajjud Cinta ni. Sy juga sebenarnya melihat isu ini seperti yang anda lihat. Apapun, jika kita melawan arus, pastikan kesabaran itu ditahap yang tinggi selagi mana apa yg kita pertahankan itu tidak bercanggah dengan nas2 utama Islam.
Aku Nak TC diteruskan.
Sy sgt setuju dengan JTR. bgi sy Erma Fatima berhak beritahu msyarakat realiti pelajar agama yg sebenarnya begitu. Sama ada pelajar agama nak terima atau tak itu hak die. Pelajar agama pulak, klu boleh terimalah teguran tu sikit. Inikan realiti! klu x terima buktikan pada saya semua pelajar agama semua adalh 'malaikat' yng x pernah buat dosa.
Hati-hatilah sebelum kita rasa kita nak kritik sesuatu tu. Tahniah Erma Fatima. Keep it Up. JTR, teruskan neutral dan berprinsip dan tidak taqlid buta.
bagus, ulasan yg prihatin mgenai isu smasa..
lihat ulasan ana pula.. shukron
Catat Ulasan
Pada pendapat anda?