Dunia Arab bergolak. Dari Tunisia ke Mesir dan biarlah
ia menjalar ke seluruh pelusuk daerah yang dikuasai oleh rejim yang
zalim; yang menghina agama, menghisap darah rakyat, memundurkan negara,
memerintah untuk kepentingan kroni dan keluarga, mengaut kekayaan
peribadi sedangkan rakyat dalam kemiskinan. Memang sepatutnya telah lama
ia bergolak. Persis seperti kata ‘Ali bin Abi Talib r.a:
“Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Rakus
Dunia Islam adalah dunia yang kaya. Kedudukan negara-negara umat
Islam amat strategik. Malangnya, ramai para penguasa yang zalim dan
korupsi menguasai politik. Lihatlah Tunisia, walaupun majoriti
penduduknya muslim tetapi pemimpinnya di samping zalim dan khianat,
mempersendakan agama; memperlekehkan puasa Ramadan, mengharamkan tudung
kepala (hijab) ke atas wanita dan pelbagai lagi.
First Lady Tunisia - Leila Ben Ali
Isteri Ben Ali bekas Presiden Tunisia yang diusir oleh rakyatnya
bernama Leila al-Tarabulusi yang dulu ‘First Lady Tunisia’,
dilaporkan oleh media Perancis membawa lari emas Tunisia ke Dubai
seberat 1.5 tan. Semasa berkuasa, beliau atas nama suami bermewahan
dengan harta negara. Padah perbuatan suami, ditambah dengan sikap
‘berlebihan’ isteri dan keluarga.
Lihatlah Mesir, jika pemimpinnya amanah betapa besar kekayaan yang
dapat dikaut dari hasil Suez Canal atau Terusan Suez yang menghubungkan
antara Laut Mediterranean dengan Laut Merah. Tax dari terusan tersebut
jika diuruskan dengan betul menjadi sumber yang amat besar untuk negara
itu. Bahkan dikatakan mampu membiayai setiap warga Mesir.
Mesir ada gas. Mubarak salurkannya kepada negara haram Israel. Israel
membeli gas Mesir lebih murah dari rakyat Mesir sendiri. Sungai Nil
yang subur tidak diusahakan secara bersungguh oleh Kerajaan Mesir,
bahkan mereka masih mengimport makanan dari luar. Rakyat Mesir ramai
yang hidup dalam kemiskinan. Dilaporkan lebih 42 peratus dari 81 juta
lebih rakyat Mesir berada di bawah paras kemiskinan. Jutaan rakyat hidup
tanpa rumah dan makan. Peranan Mubarak hanyalah menjaga kepentingan
diri, kroni, Israel dan Amerika!
Itu di Mesir, di sana masih ada lagi Syria, Yaman, Morocco dan
lain-lain yang hampir sama keadaannya. Malang sekali, di bawah
rejim-rejim yang berkuasa itu media dibisukan, fakta dibohongi dan
rakyat diperbodohkan. Nyawa dan darah rakyat begitu murah. Mereka
menyeksa dan membunuh pengkritik. Gambar rejim-rejim ini diangkat dan
disanjung secara upah ataupun paksa. Rakyat hidup menderita dan
kelaparan. Kekayaan dibahagi secara songsang. Harta setiap pemimpin dan
keluarga mereka mencecah ratusan billion dolar, sedangkan pendapatan
rakyat tidak sampai satu dolar pun sehari. Bahkan ada pendapatan yang
tidak sampai seratus ringgit Malaysia sebulan.
Bohong
Para pemimpin yang selekeh dan tidak amanah menguasai kebanyakan
Dunia Islam dan Arab. Mereka diagungkan oleh golongan yang
berkepentingan dan disokong oleh segelintir rakyat yang diperbodohkan.
Barat yang kononnya inginkan demokrasi disebarkan, namun mereka hipokrit
dalam masalah Dunia Islam. Mereka membiarkan pemerintah kuku besi terus
di tampuk kuasa selagi kepentingan mereka dijaga. Jiwa kapitalis Barat
melebihi kehendak demokrasi mereka. Jadi, Dunia Islam bak kata Nabi
s.a.w:
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” (Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, al-Hakim dll. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi).
Salah Sasaran
Malang sekali, ulama-ulama ‘pro rejim’ seperti Mufti Mesir
yang hari ini sibuk menasihati rakyat agar jangan berdemonstrasi dan
mengalu-alukan langkah Hosni Mubarak untuk proses pembaharuan, tidak
pula selama ini membantah kerakusan kuasa yang berlaku. Pada hari
pemerintah mengaut dan menghisap darah rakyat, mereka sibuk membahaskan
isu-isu ketaatan rakyat kepada pemimpin dan tidak pula bertegas tentang
kewajipan pemimpin menunaikan hak rakyat. Jika Hosni gagal membuat
perubahan dalam masa 30 tahun memerintah, apakah mungkin dia boleh
melakukannya dalam masa 7 bulan yang dijanjikan?! Jika mampu pun,
bererti dia selama ini khianat kerana tidak melakukan pembaharuan itu
dalam masa 30 tahun tiba-tiba hari ini dia menyatakan ia boleh dilakukan
dalam masa 7 bulan!.
Gambar Hiasan
Hari ini golongan agamawan khususnya dari aliran ‘salafi’ sibuk
membahaskan tentang demokrasi dan demonstrasi bukan dari ajaran Islam.
Bagi saya itu adalah persoalan persepsi bagaimana kita memahami
demokrasi dan dalam konteks apa demokrasi itu dilihat. Kita patut
bertanya mereka apakah pemerintahan otokrasi atau kukuh besi itu dari
ajaran Islam? Apakah membiarkan pemerintah menghisap darah rakyat tanpa
membantah itu dibenarkan oleh Islam?
Persoalan falsafah dan konteks demokrasi dan demonstrasi memang patut
dibincang dan dihalusi di sudut fekahnya. Namun adalah tidak adil
apabila rakyat bercakap soal demokrasi dan demonstrasi lalu fatwa haram
atau bid’ah dikeluarkan, sedangkan ketika pemerintah mengamalkan kuku
besi, kezaliman, rasuah dan merompak hasil negara, golongan agama ini
muncul dalam media untuk hanya mengingatkan rakyat tentang syurga dan
neraka, tetapi tidak pula membaca nas-nas agama yang mengingati
pemerintah bahawa kezaliman mereka adalah dosa yang amat besar dan
neraka yang bakal menanti. Apakah agama hanya candu untuk rakyat bawahan
supaya dapat melupakan kerakusan orang atasan?! Nabi s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolongan kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan Ibn Abi ‘Asim. Dinilai oleh al-Albani. (lihat: Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah, tahqiq: Al-Albani, hlm 337-339).
Mengapakah golongan pro-rejim tidak mengingatkan pemimpin mereka
tentang hadis Nabi s.a.w: “Allah tidak lantik seseorang hamba itu
menguasai sesuatu rakyat kemudian hamba itu mati dalam keadaan dia
menipu rakyatnya, melainkan Allah haramkan untuknya syurga” (Riwayat
Muslim).
Demonstrasi Aman
Ya, tiada siapa yang bersetuju dengan demonstrasi ganas. Rakyat
diharapkan keluar ke jalan dengan aman sebagai tanda bantahan atas
kezaliman rejim-rejim mereka. Ia salah satu dari menzahirkan bantahan
terhadap kemungkaran. Dalam hadis seorang lelaki datang mengadu kepada
kepada Rasulullah s.a.w, katanya:
“Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).
Demikian, Nabi mengajar bahawa kadang-kala cara menyelesaikan
kezaliman dengan mendapat sokongan ramai di jalan. Bantahan orang ramai
boleh menakutkan orang yang zalim. Jika sekadar kezaliman jiran kita
boleh bertindak sedemikian, apatahlagi kezaliman rejim yang jauh lebih
besar dan sukar disingkirkan. Pasti sokongan yang lebih besar dan
bantahan di jalan yang lebih hebat diperlukan. Apa yang penting,
penunjuk perasaan tidak boleh menumpahkan darah sesama umat Islam dan
rakyat, juga tidak merosakkan harta awam dan mereka yang tidak bersalah.
Dunia Arab dan Islam mesti berubah. Eropah telah lama menyingkirkan
pemimpin mereka yang korupsi dan kuku besi. Kadang-kala hak binatang
yang dinikmati oleh Barat lebih baik dari hak manusia yang hidup di
bawah rejim-rejim yang berkuasa di Dunia Arab dan Islam. Jatuh! Jatuh!
Jatuhlah segala rejim!.
4 Komen:
hmmmm.. bagos entri nie... saye suke..
Assalamualaikum..
"Demikian, Nabi mengajar bahawa kadang-kala cara menyelesaikan kezaliman dengan mendapat sokongan ramai di jalan. Bantahan orang ramai boleh menakutkan orang yang zalim. Jika sekadar kezaliman jiran kita boleh bertindak sedemikian, apatahlagi kezaliman rejim yang jauh lebih besar dan sukar disingkirkan. Pasti sokongan yang lebih besar dan bantahan di jalan yang lebih hebat diperlukan."
Adakah ini suatu cara yang selalu dilakukan oleh parti pembangkang di Malaysia????Setujukah kita sebagai rakyat Malaysia dan beragama Islam dengan cara sedemikian???..sekadar bertanya..tq
tidak setuju dgn cara demikian...lagi pun itu bukan cara pembangkang menegakkan kuasa politik ...hanya media yg memburukan pembangkang...jika itu cara pembangkang.....pasti setiap hari ada bantahan jalanan....lagi pun sudah lebih 50 tahun usia parti pembangkangkan...dan selalu kalah teruk dalam semua pilihanraya....
oleh sebab itulah rakyat mesti bijak berpolitik kalau tidak kena jual seposen dgn org politikus..
hanya kuasa POLITIK yg boleh mencorak negara... kuasa politiklah yg boleh menegakkan AGAMA ...bukan guna islam untuk kepentingan kuasa politik.
jika org politik cuma beragama ISLAM sahaja tapi tiada pegangan AGAMA dan iman.... bagaimana ia nak jadikan negara ini sebagai negara islam...
contoh org politik yg sempurna ialah nik aziz sebab ia
seorg pemimpin yg bijak politik dan beriman.....
renung2kan sebab kita sudah merdeka lebih 50 tahun... tp negara masih sekular ...adakah kita perlu menunggu lebih 50 tahun lg untuk menjadi negara islam sejati...
negara akan menjadi sebuah negara islam bila mengamalkan hukum islam sejati... bukan mengamalkan undang2 ciptaan yahudi serta bukan sekdar ada bank islam dan universiti islam.
masyarakat berbilang bangsa bukan alasan utuk menolak menjadi negara islam ...sbb di zaman nabi sendiri pun terdapat berbagai agama dan bangsa sedangkan nabi boleh ujudkan dan tegak negara islam sejati dan sebagai contoh untuk umatnya.... lagi pun mana ada didunia ini tuhan jadikan sebuah pulau utk satu bangsa dan satu agama islam sahaja...
jadi di malaysia hanya dengan kertas undi sajalah yg boleh menegakkan islam .....
hehe,
nik najis bijak berpolitik? skrg pas hy jd perkakas politik pkr dan dap kau kata bijak? x payah la jd bodoh. kertas undi bukanlah cara menegakkan islam. kalau nak kembali pd sistem islamm, demokrasi mesti dihapuskan dan sistem kapitalis mesti dilupuskan. dan kedua2 perkara ini mesti berlaku serentak sebab demokrasi-kapitalis berjalan seiringan.
Catat Ulasan
Pada pendapat anda?