JTR mengalu-alukan tuan puan untuk membaca tulisan dalam blog ini bagi manfaat tuan puan
Photobucket

Rabu, 12 Januari 2011

Syiah Sesat; Siapa Yang Keliru?

Posted by Abu Hannan On 4:37:00 PTG 5 comments


Berikutan isu penangkapan kira-kira 200 penganut syiah di gombak baru-baru ini, seorang penulis bernama Abu Bakar Abdullah yang mendakwa sebagai pengikut setia mazhab Shafi’e telah melahirkan rasa bingung dan tidak puas hati serta mendakwa  JAKIM dan ulama’sunnah khususnya di Malaysia keliru dalam memfatwakan ajaran syiah Imamiyyah sebagai ajaran sesat. Ini juga rentetan persoalan yang dikeluarkan oleh pembaca setia JTR bertanyakan berkenaan tulisan tersebut yang bagi beliau mungkin ada kebenarannya. Jawapan untuk persoalan ini telah disediakan oleh Lubna Salma dari Kajang berkenaan kekeliruan Abu Bakar Abdullah dalam suratnya yang dihantar dan disiar di akhbar Harakah. 

Persoalan saudara yang bertanya berbunyi begini:
saudara saya telah terbaca dalam satu tulisan diharakah yang menyatakan dia keliru dengan JAKIM dengan menyesatkan syiah.pandangan beliau nampak macam betul juga. tolong saudara jelaskan.


Syiah Imamiyyah sebenarnya juga dikenali sebagai mazhab ahli bayt /Syiah Imam Dua Belas -Imamiyyah Ithna ‘Ashariyyah /Syiah Ja’fariyyah  /Syiah al-Rafidhah melalui kaedah-kaedah keagamaan yang dianuti dan kelompok ini  cukup dikenali oleh ulama Islam sejak zaman tabi’en.  Syiah ini memiliki empat sumber utama di mana, menurut mereka, darjat muktabar dan kesahihannya tidak akan mampu dicapai oleh mana-mana sumber Ahli Sunnah.  Empat sumber utama tersebut ialah Usul al-Kafi, al-Istibsar, Man La Yahduruh al-Faqih dan Tahzib al-Ahkam.

Berdasarkan sumber-sumber ini, jelaslah Syiah ini bukan kelompok Zaydiyyah atau Mufaddhilah yang masih diterima ulama Islam dalam persoalan hukum fiqh kerana mereka bersikap tidak mengkafirkan tiga khalifah pertama Islam sebelum Ali bin Abi Talib r.a dan sebahagian besar sahabat nabi termasuk isteri baginda s.a.w.

Status Syiah Imamiyyah ini telah jelas di kalangan generasi ulama terawal  termasuk empat imam mazhab yang empat (Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Ahmad)  yang menolak dan menyesatkan ajaran ini . bahkan majoriti ulama’ terdahulu di kalangan mereka telah menggolongkan kelompok ini sebagai pendusta , zindiq  bahkan diragui keislamannya kerana beberapa ciri-ciri kesesatan aqidah mereka seperti mencaci, mencela dan mengkafirkan sejumlah besar sahabat nabi termasuk isteri-isteri nabi, menganggap Al-Quran telah diselewengkan (tahrif) dan diubah-ubah oleh para sahabat nabi.  Imam Abu Hanifah berkata, “terimalah hadis dari semua golongan pelaku bid’ah yang sederhana dalam fahamannya kecuali Syiah kerana prinsip aqidah mereka ialah mempercayai sesatnya para sahabat Muhammad s.a.w.” (Khatib al-Baghdadi, al-Kifayah fi ma’rifati ilmi al-riwayah, hlmn. 146 ) Sementara  Imam Syafie berkata, “tidak pernah aku melihat golongan yang menurut hawa nafsu, yang lebih pembohong  dari golongan Rafidhah” (Al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, jil. 1, hlm. 327) Imam Malik ketika ditanya mengenai Syiah, beliau berkata, “jangan kamu bercakap dengan mereka , jangan kamu meriwayatkan hadis dari mereka kerana mereka selalu berdusta” (Ibn Taymiyyah, Minhaj al-Sunah al-Nabawiyyah, jil.1 hlm. 16) Sementara Imam Ahmad bin Hanbal berkata,.. “apabila kamu melihat seseorang selalu memburuk-burukkan sahabat maka raguilah keislamannya dan keimanannya”. Oleh sebab ruangan ini terhad, kita tidak mampu menyenaraikan fatwa-fatwa ulama’ Sunnah sejak awal islam sehingga hari ini termasuk Sayyid Abu Hasan Ali al-Nadwi, Said Hawa’, Nasiruddin al-Abani dan ulama’ulama hadis benua India mengenai Syiah imamiyyah kerana perbezaan dari segi usul aqidah dan syariat.

Dalam tulisannya, Abu Bakar Abdullah mendakwa menerusi pembacaannya di internet, tokoh-tokoh seperti Dr Yussof Qardhawi, al Marhum Syeikh Tantawi bekas Rektor Universiti al Azhar, Mufti Mesir, Mufti Syria, Mufti Lubnan, Mufti Pakistan, Mufti Turki dan ramai lagi ulama-ulama Ahlussunah yang telah mengeluarkan Fatwa bahawa Syiah Imamiah adalah Islam sebagaimana mazhab-mazhab lain di dalam Mazhab Ahlussunah, tidak sesat kafir. Kenyataan beliau jelas sekali keliru dan palsu, kerana sekalipun Yusuf Qaradawi turut sama dalam Amman Message bertaqrib dengan Syiah, beliau tidak pernah lupa mengingatkan kepada umat Islam tentang kesesatan syiah yang memiliki aqidah tarif al-Quran dan mencaci maki para sahabat nabi, malah beliau meletakkan syarat dua ciri aqidah Syiah ini dihapuskan sebagai syarat berjayanya projek tersebut. Tidak memadai di situ, Syeikh Qaradhawi melarang usaha penyebaran Syiah di negara-negara Sunni kerana menurutnya akan mencetuskan pertumpahan darah (rujuk Siaran al-Jazeerah, 31 Ogos 2006). Manakala Syeikh Tantawi pula sebelum kematiannya turut menyatakan golongan yang mencaci maki para sahabat dan isteri nabi bukanlah dari kalangan umat Islam. Beliau meninggal sebelum usul beliau terhadap pendirian syiah direkomendasikan kepada lembaga penyelidikan al-Azhar (eramuslim.com, 28 Ferbruari 2010). Sebelumnya syeikh tantawi turut mengecam usaha penyebaran Syiah yang dilakukan oleh sayap Hizbullah di Mesir yang sedang pesat berkembang (mufakkirah al-Islam : 19 April 2009). Barisan Mufti Pakistan sejak berzaman telah memfatwakan Syiah sesat malah terkeluar dari Islam. Malah ulama’-ulama’ hadis sunah di benua India (khususnya ulama’ Pakistan) paling kuat membongkar kesesatan aqidah Syiah menerusi karya-karya mereka yang tidak terhitung jumlahnya (sumber :  Syiah Rafidhah : Di Antara Kecuaian Ulama & Kebingungan Ummah oleh Maulana Asri Yusuf). Malah di kalangan mereka ada yang dibunuh oleh orang-orang Syiah seperti Prof. Ihsan Ilahi Zahir.

Kita janganlah lupa kepada karya Sayid Abu Hasan Ali al-Nadwi bernama Shuurtaan Mutadhadataan (Syiah vs Sunah : dua wajah sentiasa berlawanan) dan karya Syeikh Said Hawa’ yang bertajuk Khumayniyyah : Syudzuuz fi al-Aqa’id wa al-Mawaqif (Khomeini : Keganjilan Aqidah dan Pendirian) yang secara terang-terangan membongkar kesesatan aqidah Syiah Imamiyyah yang perlu diawasi oleh umat Islam.

Syiah sering kali menyandarkan kepada sokongan ucapan dan dokumen Syeikh Mahmud Syaltut bagi membuktikan ajaran mereka diterima sebagai mazhab Islam, namun mereka tidak pernah mendedahkan fatwa Mahmud Syaltut menyatakan perkahwinan mut’ah yang diamalkan syiah bukannya datang dari syariat Allah dan Mahmud Syaltut tidak menerima konsep Imam Mahdi seperti ajaran Syiah. Mereka menyangka ulama’-ulama sunah tidak pernah menyedari kesesatan Syiah Imamiyyah dan berdiam diri padanya. Usaha taqrib, iaitu mendekatkan antara Sunah dan Syiah yang dipelopori ulama’ al-Azhar mendapat sambutan pada peringkat awal bagi mengelakkan pertumpahan darah dan mendakwahkan Syiah kepada aqidah yang benar menerusi dialog.  Namun pencetus kepada usaha ini, Syeikh Muhammad Abduh sendiri tidak sempat melihat hasil projek ini. Muridnya yang sangat terkenal bernama Rasyid Ridha yang turut terlibat dalam usaha ini telah berjaya mengesan hipokrit ulama-ulama Syiah dalam taqrib ini. Langkah ini turut diikuti oleh ulama lain seperti Mustafa Siba’ie yang menyedari helah Syiah yang hanya bertaqrib dimeja rundingan, bahkan telah membuka ruang yang besar agama syiah disebarkan di negara Sunnah.

Sebagai balasan kepada usaha ulama’ al-Azhar, seorang ulama’ Syiah bernama Abdul Husein Syarafudin al-Musawi mengambil kesempatan memperbodohkan dan mempersendakan Syeikh Salim al-Bisyri dalam dialog palsu (ditulis selepas 20 tahun selepas kematian Salim Bisyri) yang ditulisnya bertajuk al-Muraja’at (Dialog Syiah-Sunni). Dari sini kita membuat kesimpulan usaha taqrib ini yang dilanjutkan kepada Amman Message ini tidak pernah membantu apa-apa jua keadaan Ahli Sunnah di Iran sendiri, Iraq dan Afghanistan yang diperangkap dalam pertembungan Sunni-Syiah yang penuh berdarah dalam percaturan kepentingan politik antara Amerika dan Iran sejak era dunia moden.

Di sana terdapat pelbagai kepentingan dan opsyen politik antarabangsa bagi menangani isu ini. Syiah tidak seperti pertubuhan Arqam yang bersifat domestik yang mudah ditangani kerana tidak membabitkan hubungan negara antarabangsa dan semestinya membabitkan hubungan dengan negara-negara serantau dan kehendak penjajah rantau berkenaan. Sekalipun Syiah dibenarkan menunaikan haji ke Mekah (hanya kerajaan Saudi sahaja boleh menjelaskan sebab dan puncanya) dan Saudi terlibat dalam pertubuhan OIC dan Amman Message, Deklarasi Syiah-Sunah di Jeddah dan sebagainya, negara itu tidak pernah berhenti menyekat dan berdepan dengan tentangan keras dari komuniti Syiah di timur negara berkenaan. Morocco bertindak lebih berani memutuskan hubungan dengan Iran kerana usaha penyebaran Syiah yang semakin kritikal di negara itu. Yaman dan Saudi berusaha menyekat gerakan Syiah Haouthi di Sa’dah yang merebak ke wilayah Saudi. Kuwait melucutkan kerakyatan seorang ulama Syiah yang dianggap membahayakan umat Islam. Jika tindakan terhadap komuniti Syiah di Malaysia boleh dianggap “double standard”, bagaimana  pula dengan tindakan negara-negara rantau Arab berkenaan? Apakah mereka menerima Amman Message, pertemuan di Jeddah atau bagaimana? Dan apakah tindakan kejam sejak dinasti Safawiyyah ke atas etnik Sunnah yang asalnya 60% dari penduduk Iran ketika itu sehingga hari ini di Baluchistan, Ahwaz, Zahedan dan lain-lain bukan double standard? Kerjasama tentera Syiah nuri al-Maliki bersama dengan penjajah Amerika membunuh penduduk Sunnah di Iraq tidakkah satu double standard? Jika JAKIM keliru apakah PAS juga keliru memecat keahlian beberapa individu yang terlibat dengan Syiah pada 1990-an?

Kembalilah kepada isu pokok, Syiah (Imamiyyah) difatwakan sesat kerana ciri-ciri aqidahnya yang kufur dan bertentangan dengan Islam yang telah lama diputuskan oleh ulama-ulama terbilang kita. JAKIM serta JAIS memiliki alasan yang kukuh bertindak ke atas mereka atas maslahat aqidah ummah. Isu agama seharusnya menjadi tanggungjawab jabatan agama negeri dan JAKIM. Bukan orang awam yang jahil dan sering terkeliru dan yang sudah dibius oleh Syiah menjadi keliru.. Wallahu a’lam.

Video syiah mencelah Sahabat Rasulullah dan Ummu al-Mukminin.

Video Mubahalah (sumpah laknat) antara Syeikh Muhammad al-Kaus (Sunnah) dan Yasir al-Habib (syiah). Sunnah mempertahankan bahawa Sahabat (Abu Bakar, Umar, Othman dan Hafsah) dan Ummu al-Mukminin A'isyah adalah ahli syurga manakala Syiah mempertahankan bahawa Sahabat dan Ummu al-Mukminin A'isyah adalah ahli neraka.

5 Komen:

Terima kasih kpd encik krna tolong menyelesaikan kekeliruan saya selama ini.. banyak bnda yg dulunya kusut dan mengelirukan telah encik betulkan dengan izin Allah..

Untuk itu boleh tak encik tolong terangkan kepada saya tentang hukum islam dengan undang islam negara Malaysia..
saya sehingga kini masih tak faham adakah orang yg melakukan dosa besar dan menjalani hukuman mengikut undang-undang Malaysia akan terhapus dosanya sama dengan hukuman dalam islam..
sebagai contoh:
org yg berzina menurut hukum islam harus direjam sampai mati jika sudah berkahwin, tapi bagi undang2 Malaysia, mereka hanya dipenjara dan mungkin di sebat.. adakah dosa itu akan terhapus??

jadi di sini, adakah undang2 Malaysia boleh disamakan dengan hukum Islam atau hukuman rejam sememangnya tak wujud atau sememangnya Malaysia tak boleh mengamalkan hukum2 itu hanya kerna kita berbilang kaum dan bangsa walau negara ini negara Islam??

jika saudara punyai masa,moga saudara sudi meluangkan sedikit masa utk persoalan saya yg xbrapa penting ini..atau sekiranya sandara sudah membuat kenyataan tentang persoalan ini tetapi saya tidak menyedarinya..moga saudara boleh mmbuat link untuk itu..

sekian, terima kasih..

salam..

saya ingin menjawab secara ringkas sebagai pengunjung di sini..

undang-undang manusia tidak sama dengan undang2 ALLAH..
jika sesuatu kerajaan yang mengisytihar negara mereka islam tetapi tidak melaksanakan hukum islam (iaitu hukum dr Allah) scra keseluruhan..maka berdosa la bagi pemimpin krn x jalankan hukum tersebut.

dosa akan terhapus sekiranya mereka benar2 bertaubat dan insaf serta kembali ke pangkal jalan (x ulang lagi dosa). tapi tentg hukuman islam yg x dijalankan apakah mereka masih berdosa atau tidak, sy pon x pasti..tunggu admin blog ni jawab.

hukuman bagi penzina yg telah berkawin mesti direjam sampai mati..adalah wujud, telah dinyatakan Di dalam sebuah hadith:

Daripada Ibn Umar r.a.: Seorang lelaki Yahudi dan seorang wanita Yahudi telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. diatas kesalahan melakukan zina. Rasulullah s.a.w. bertanya kepada mereka berdua (lelaki dan wanita Yahudi tersebut), “ Apakah hukuman yang sah (untuk dosa penzinaan) yang terdapat di Kitabmu (Taurat)?”. Mereka menjawab, “Rahib-rahib kami telah mereka-reka hukuman iaitu menghitamkan muka dengan arang dan Tajbiya”. Abdullah bin Salam berkata, “ Wahai Rasulullah, suruhlah mereka untuk membawa Taurat”. Taurat dibawa dan salah seorang daripada golongan Yahudi telah meletakkan tapak tangannya diatas ayat yang menyebut tentang Ar-Rajm (rejam dengan batu sehingga mati) dan membaca ayat-ayat sebelum dan selepasnya. Maka berkata Ibn Salam kepada orang Yahudi itu, “Angkat tanganmu”. Maka apabila ayat berkenaan Ar-Rajm (sememangnya) berada di bawah tangan lelaki Yahudi itu. Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan lelaki dan wanita Yahudi yang melakukan zina itu direjam dengan batu sehingga mati. Ibnu Umar menambah: Kedua-duanya direjam di Balat dan aku melihat lelaki Yahudi itu melindungi wanita Yahudi itu. [Sahih Al-Bukhari]

Salam sejahtera kepada saudara yang bertanya, saya tidaklah terlalu arif untuk menjawab persoalan di atas, insyaAllah saya akan jawab sebarapa yang termampu. =)

1. Berkenaan dengan Hukuman Islam (syariah) dan Hukum sivil. ia memang dua perkara yang berbeza. Jika dilihat aplikasinya di mahkamah syariah pun, kita masih belum boleh menerapkan sistem hukuman jenayah syariah yang total untuk umat Islam. Dan ini mungkin berpunca dari keengganan pemerintah untuk menggunakan syariah compliant di dalamnya. Perlu diingat, sesuatu enakmen yang selari dengan apa yang disebut di dalam al-Quran dan al-Sunnah, ia boleh diklasifikasikan sebagai undang-undang syariah. Ia juga termasuk ijtihad pemerintah dalam hal-hal yang tidak termasuk dalam kes hudud dan qisas, iaitulah Ta'zir. Saya menasihatkan agar kita boleh rujuk terus kepada pengamal undang-undang syariah atau pakar bagi penjelasan yang lebih lanjut.

2. Pelaku jenayah, sama ada dia redha atau tidak redha, jika pemerintah menjalankan hukuman Islam dan kesalahan dia sabit dari sudut undang-undang serta jenayah dia dibuktikan benar berdasarkan saksi yang adil dan sebagainya, dia tetap akan dihukum dengan hukuman yang ditetapkan Islam. Masalahnya yang timbul sekarang, pihak pemerintah tidak menjalankan sistem Islam. dalam hal ini, tanggungjawab terletak dibahu pemerintah, bukan pada pesalah.

3. Pesalah masih berdosa atau tidak atau dosanya terhapus jika ia dihukum dengan hukuman sivil? dalam hal keengganan pemerintah untuk menjalankan hukuman Islam, tetapi pesalah ingin dihukum dengan hukuman Islam (seperti bukti kes kartika), ia kembali kepada taubat sipelaku jenayah tadi. Dengan syarat taubatnya benar-benar ikhlas dan menepati syarat-syarat taubat. Ini disebabkan keengganan pemerintah untuk menjalan hukum syariah. Wallahu a'lam.

4. Hukum rejam penzina yang sudah berkahwin. Ia sememangnya ada di dalam Islam. Ia berdasarkan hadith muslim ini:

“Dari Imran bin Hussin r.a seorang perempuan dari kabilah Jahinah datang
menghadap Rasulullah saw dalam keadaan mengandung atas perbuatan zina dia
berkata:Wahai Nabi Allah! Saya telah mengenai hukum had.Maka lakukanlah terhadap saya .Lalu Rasulullah saw memanggil walinya seraya bersabda:Berlaku baiklah kepadanya ,apabila dia telah melahirkan anaknya bawalah dia kepadaku.Lalu walinya melakukan apa yang telah diperintahkan .Maka diperintah supaya diperkemas pakaiannya kemudian diperintah supaya direjam(sehingga mati).Kemudian Rasulullah saw menyembahyangkannya jenazahnya .Maka berkatalah Umar ra adakah engkau telah telah menyembahyangkannya wahai Rasulllah padahal dia telah berzina,lalu Rasulullah telah bersabda : Sesungguhnya dia telah bertaubat, andai dibahagikan taubatnya itu di kalangan tujuh puluh orang penduduk Madinah,nescaya luas untuk mereka, adakah kamu sendiri dapati lebih baik dia bersikap baik kepada Allah dengan menyerah diri kepada Allah s.w.t.
(Riwayat Muslim)

Hadis ini secara jelas mensabitkan hukum bagi orang yang telah berkahwin melakukan zina.

5. Undang-undang Malaysia yang ada pada masa kini tidak menggunakan aplikasi syariah secara total kecuali dalam hal-hal yang berkaitan ta'zir. Jadi, jika Islam menggunakan sistem syariah secara total untuk umat Islam, mungkin kita boleh katakan Malaysia mengikut undang-undang Islam. Tidak boleh disamakan undang-undang yang dijalankan di Malaysia sekarang dengan Undang-undang Islam. Wallahu A'lam.

Terima kasih kepada pemberi komentar di atas kerana membantu saya menjawab persoalan di atas. Semoga Allah memberkati.

sharul kangar...

sememangnya Jakim telah melalukan yang terbaik dalam membanteras fahaman menyeleweng ini. Tahniah jakim!

dari itu, saya puji blog tuan kerana banyak membuka minda masyarakat kita yang sering tidak terdedah dengan isu2 seperti ini. terima kasih.

Terima kasih kepada yg mmbantu saya menyelesaikan persulitan ini..
Barulah saya sedar rupanya negara kita(Malaysia) masih jauh utk d'iktiraf sebagai negara Islam yg mengamalkan Islam keseluruhannya..

Catat Ulasan

Pada pendapat anda?

Perjalanan

Tembusi Petra, Jordan Slideshow: BenTaleb’s trip was created by TripAdvisor. Create a free slideshow with music from your travel photos.
Sabda Baginda SAW ; "Ketahuilah ia (Dajjal) berada di laut Syam atau laut Yaman.. akan datang dari arah timur (lalu menunjukkan dengan tangan baginda).."[Riwayat Muslim]. Daripada Abi Bakr al-Siddiq r.a, sabda Baginda SAW, "Dajjal akan muncul ke bumi dari arah timur bernama KHURASAN." [Riwayat al-Tirmizi]. Daripada Anas bin Malik r.a, sabda Baginda SAW, "Dajjal akan keluar dari kota Yahudi ISFAHAN (Khurasan, IRAN) bersama 70,000 penduduk ISFAHAN". [Fath al-Rabbani Tartib Musnad Ahmad. Ibn Hajar berkata : "Sahih"]. Ibn Kathir berkata, Dajal pada mulanya akan muncul dari ISFAHAN dari sebuah kota Yahudi [al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim]. ISFAHAN adalah sebuah bandar terbesar YAHUDI di Iran dan pusat loji nuklear Iran pada masa kini.