Ianya memang boleh dijawab!!
Oleh: Abu Hannan Mohammad Sufian Bin Talib
Cheras, Selangor. 24 Ramadhan 1430 | 14 September 2009
12.42 tgh hari
Salam ziarah dari saya kepada http://hanspunyablog.blogspot.com yang saya lawati beberapa jam yang lepas. Saya rasa terpanggil untuk sama-sama merungkai jawapan yang berlegar di sekitar ruang udara yang terdapat dalam otak pemikiran dan hati yang merenung ini. Harapnya dengan artikel yang singkat ini dapat kita bersama masuk ke dalamnya dan bersama memecah tradisi pemikiran biasa kepada yang lebih agresif dan luar biasa. Saya tidak memihak kepada mana-mana pihak dalam memberi sebarang komentar mengenai masalah semasa yang menjadikan muslim ragu-ragu dengannya, tetapi penulisan ini lebih bersifat koperatif agar nilaian itu dapat dilihat secara sihat.
Berkaitan dengan isu yang ditimbulkan oleh sahabat saya Hans, saya memang-memang bersetuju bahawa isu ini memang dipandang acuh tak acuh oleh kebanyakan muslim yang memerintah komunitinya. Seperti hal yang diceritakan, sememangnya ia perkara yang benar-benar berlaku. Persoalannya, mengapa ia berlaku? Jawapannya mungkin diakhir penulisan ini.
Untuk makluman sidang blogger dan pembaca sekalian, ada satu kisah yang lebih menghampakan apabila kita mendengarinya, terkadang rasa menyirap itu datang untuk membelasah pegawai-pegawai agama yang bertugas di pejabat-pejabat agama. Kisahnya ialah ketika seorang muallaf yang sudah terikat hatinya dengan keindahan Islam, datang ke pejabat agama untuk mendaftar diri sebagai penganut agama Islam. Kehadirannya pada hari tersebut boleh dikatakan sudah menghampiri waktu 4.30 petang (waktu tamat bertugas). Beliau datang berjumpa dengan pegawai semata-mata untuk memastikan impiannya menjadi realiti (dari sudut undang-undang tempatan) iaitu muslim sebagai statusnya. Yang sangat memalukan lagi menyedihkan, jawapan pegawai tersebut… Apakah jawapannya? Jawapan yang diterima ialah “encik balik dulu, datang esok saja kerana waktu pejabat sudah hampir tamat, maaf ya”.. Apa perasaan anda bila melihat situasi ini berlaku? Ini bukan pasal pembahagian duit zakat yang tidak profesional tetapi yang lebih besar dari itu iaitu, individu yang ingin memeluk Islam dilengahkan. Tidakkah mereka pernah membaca hadis Rasul yang menyuruh mempercepatkan beberapa perkara yang salah satunya ialah, perkara di atas.
Pelbagai lagi situasi yang mencemarkan imej Islam dilakukan oleh muslim itu sendiri, persoalannya, mengapakah ini berlaku? Mungkin ada yang sudah mengerti dan sedar perkara ini. walaubagaimana pun, suka saya untuk bersama berkongsi buah fikiran mengapa semua ini terjadi. Masyarakat muslim mesti bangkit menentang penyalahgunaan kuasa seperti yang telah banyak berlaku ini.
Apa sebab-sebabnya?
1. Tidak faham metodologi dakwah
Cara dakwah sememangnya penting dalam memastikan Islam dipandang tinggi. Ini kerana antara sebab tersebarnya Islam dahulu adalah kerana uslub dakwah Rasulullah dan para sahabat sangat cantik kerana penghayatan Islamnya dan kepintaran akal yang bijaksana disamping akhlak mereka menjadi qudwah kepada masyarakat yang melihat. Dibandingkan dengan sekarang, terlalu banyak ciri-ciri tersebut ditinggalkan. Sehingga sanggup merokok dilobi pejabat ketika waktu pejabat dan dalam masa yang sama ramai orang-orang tua yang tidak pandai menulis terkial-kial untuk mengisi borang meminta zakat. Ini satu contoh, lihat buku Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, Bahtera Perubahan Minda untuk mengetahui info yang sebenar. Semuanya terjadi disebabkan perkara yang kedua di bawah.
2. Kefahaman Islam yang cetek
Asal usul segalanya terletak pada ilmu, asas ini kalau tidak ada, maka rosaklah segalanya. Yang akan mereka ikut adalah nafsu dan kata hati sendiri. Perkara ini mesti diletakkan diantara yang teratas. Maksud saya, ketika temuduga dijalankan, terutama untuk pengambilan pekerja di sektor awam dalam institusi agama Islam, mestilah salah satu syaratnya adalah mereka yang ada pendidikan agama. Bagi saya, perkara ini tidak diletakkan ditempat yang sepatutnya oleh kebanyakan majlis atau pejabat agama Islam dalam melantik staf yang bertugas di sektor tersebut. Apa yang terjadi, kelakuan mereka telah mencacatkan pandangan masyarakat terhadap Islam.
3. Kesedaran untuk memahami Islam sangat kurang
Ini boleh dikatakan antara faktor mengapa situasi tersebut terjadi. Seharusnya pihak kerajaan yang mentadbir perlu memberi penekanan dalam aspek ini. Sebaiknya, pihak kerajaan menganjurkan kursus-kursus kesedaran kepada kakitangan dalam memastikan niat bekerja di bahagian ini benar-benar tepat. Selain itu, kakitangan kerajaan juga boleh mengetahui disiplin-disiplin dalam melakukan amar makruf dan nahi mungkar dalam melakukan tugasnya sebagai muhtasib ( kakitangan yang dilantik secara rasmi ). Sekiranya kakitangan tidak memandang penting aspek ini, pihak kerajaan harus mengambil inisiatif tersebut.
4. Sikap seseorang terhadap konsep pekerjaan, kerja untuk dapat gaji.
Sikap ini memang diakui keseluruhan individu mempunyainya. Tetapi, perlu diingat sikap ini harus diketepikan terutama mereka yang bekerja dalam bahagian pentadbiran Islam yang menguruskan hal ehwal muslim. Sekiranya sikap ini ada dalam diri pekerja, kita boleh lihat, pekerjaan yang dijalankan hanya melepaskan batu ditangga sahaja sehingga hak-hak Islam diabaikan dalam tugasan.
Terdapat beberapa lagi faktor yang saya rasa tidak perlu untuk dihuraikan. Inilah jawapannya mengapa situasi-situasi negatif seperti yang disebut oleh Hans di blognya boleh terjadi. Harapannya agar, sekiranya pegawai-pegawai agama membaca artikel ini, harap bukalah fikiran kita, pastikan Islam itu tertegak kerana disitu terdapat hak yang wajib kita lakukan untuk Islam. Kepada pembaca yang lain, bukalah ruang untuk Islam dapat dihayati seperti Islam yang sebenar. Kepada AJK masjid, tukarlah pendekatan yang lebih mesra apabila bersama remaja dan kanak-kanak agar mereka lebih suka untuk mendekati masjid. Sesungguhnya Islam itu agama yang mudah dan cantik, janganlah kita sukar dan burukkannya dengan kelakuan kita.. sekian wassalam
1 Komen:
Salam,baru hari ni hati saya tergerak untuk melawat blog ni..mungkin Allah nak berikan petunjuk bahawa pengalaman yg saya lalui hari ini bukan terjadi pada saya seorg.
hari ini,saya ambil cuti semata2 nak uruskan permohonan perkahwinan,dan seperti biasa staf2 pejabat agama bukan nya hendak memudahkan urusan tetapi sebaliknya menyusahkan saya dan wali serta 2 saksi saya. sebelum ke pejabat agama kajang,saya telah terlebih dahulu menelifon pejabat bertanyakan bolehkan wali dan saksi menandatangani borang permohonan kahwin dihadapan pendaftar dan mereka kata boleh.tapi lepas sampai di sana,saya di"halau" utk pergi ke masjid kariah tmpt yg bakal saya dinikahkan.kenapa tidak awal2 disuruh berbuat demikian. kenapa nak menyusahkan org yg dah sampai ke pejabat agama.apa salahnya jika permudahkan org2 yang dah smpai ke pejabat agama.kadang2 saya terfikir,patut lah ramai yang kahwin lari ke luar negara sebab protokol yg tidak bertempat oleh pejabat agama,menyusahkan orang yg nak buat benda baik..
Catat Ulasan
Pada pendapat anda?