Hari ini hari Sabbath..hari cuti. Selalunya hari Sabtu dan Ahad ni aku cabut keluar..sebab dalam dua hari ini lah hari yang paling ramai orang datang minta derma. Rumah aku tepi jalan…sapa-sapa yang minta derma mesti singgah punya.
Macam-macam orang yang datang minta derma. Dari derma buat surau di Narathiwat, buat Masjid kat Kuala Nerang, untuk anak yatim di Kuala Krai..sampai la orang Pakistan jual ayat Kursi. Dulu orang datang minta derma bawa resit saja…tapi sekarang dah upgrade sikit. Depa bawa minyak angin, bawa calendar…lepas tu minta derma. Kalau dia jual…gerenti aku tak beli. Tapi bila dia sedekah kat kita…dan kita tak sedekah balik..rasa lain macam. Memang pandai depa main saikologi.
Pagi tadi ada satu kereta berhenti kat laman rumah aku. Sebaik saja derebarnya keluar dari kereta, anjing aku pi ligan dia. Dia punya terkejut dan takut..tak berani nak bergerak. Mungkin dia tak sangka..rumah orang Melayu ada anjing.
Aku panggil anjing aku masuk ke kandang dia…dan orang tu pun lega. Dia bagi salam dan dia kenai aku!! Aku saja yang tak kenai dia. Dia nak bercakap tentang mempertingkatkan ekonomi orang kampong.
Aku tanya kat dia pasai apa dia cari aku. Dia bagi tau, ada orang rekomen nama aku. Aku jemput dia masuk kedalam rumah.
“Pasai apa Cek Mat bela anjing? Tak tau ka…kalau bela anjing, malaikat tak mai kerumah?” dia tanya aku. Ada ka soalan itu yang dijadikan pembuka bicara?
“Kalau macam tu baguih la. Malaikat maut pun tak mai rumah. Lagi selamat!” aku balas balik.
“Pasai akidah ni jangan main-main Cek Mat…nanti boleh terpesong.’ Dia jawab. Aku malas la nak berhujah dengan orang macam ni.
Aku bagi tau la masalah aku. Dulu aku buat kerja parti…tapi orang parti kencing aku sampai aku bankrap. Kemudian aku buat kerja tebas rumput dan cuci jalan…tapi tak larat. Jadi aku bela ayam…kot-kot boleh cari makan.
Hari mula-mula…aku bubuh 50 ekor anak ayam. Dalam masa tiga hari..tinggal setengah. Siang dimakan biawak…malam dimakan musang. Salah aku jugak…sebab reban ayam macam reban koboi. Tak tutup habis. Jadi aku keluar duit buat reban yang lebih sempurna.
Dalam masa dua minggu, anak ayam yang terselamat tu semakin besar. Tapi setiap hari ada dua tiga ekor yang hilang. Dalam masa seminggu..baru aku dapat tangkap pencuri ayam aku. Ular sawa.
Aku pinjam duit dari kawan untuk beli jaring. Dan beli lagi anak ayam yang baru. Selamat la.
Selepas 3 bulan, ayam-ayam aku dah besar. Boleh jual untuk duit raya. Tapi satu hari tu…aku pi pulau Pianang dan balik keesokan harinya.Bila balik rumah aku tengok ayam aku dah lesap. Aku tau..ini bukan kerja binatang..tapi kerja manusia.
Aku boleh saspek sapa yang buat kerja ni…kaki Pek Hoon banyak kat tempat aku. Dan semuanya Melayu/Islam.
Perangai orang Melayu Islam memang pelik. Depa tak takut kat polis…depa tak takut kat orang…depa tak takut kat Tuhan. Tetapi kebanyakannya takut kat anjing. Tu pasai aku bela anjing.
“Macam ni Cek Mat…saya nak bagi peluang kepada Cek Mat untuk berniaga secara Islam. Pendapatan kita pun halal…kerja kita pun diredai Allah..makan minum kita pun berkat.” Kata dia.
Macam biasa…aku skeptical sikit. Tapi aku biarkan dia menerusnya.
“Ada beberapa produk yang kita tawarkan. Pertama sekali Cek Mat kena jadi ahli…dan perlu bayar RM100.00. Kalau Cek Mat dapat cari dua orang dibawah Cek Mat..pelaburan Cek Mat sudah balik modal. Kalau dua orang ni dapat cari lagi dua ahli..Cek Mat dah untuk RM100.00. duduk rumah..orang lain buat kerja, duit kita masuk.”
Bila aku dengar macam tu…aku rasa nak peghalau saja dia keluar rumah. Tapi tak baik la bulan posa ni.
“Ini bukan Skim Pak Man Telo!! Cek Mat jangan silap sangka.” Dia tukar tune bila tengok aku macam tak minat saja.” Apa yang kita buat ini sebenarnya membantu umat-umat Islam.”
“Kita ada pakej-pakej untuk dijual. Kita buat beberapa pakej, supaya Cek Mat tak perlu risau. Kalau yang satu tak jalan…ada lagi satu jalan. Dan Cek Mat jangan risau sebab semua produk kita diendorse oleh para ulama.
Pakej pertama ialah Umrah dan ziarah. Yang ni adalah umrah bersama ulama terkenal. Selepas Umrah, kita boleh melawat kebeberapa tempat termasyhur di Iraq, Jordan Mesir.Sesiapa yang mempunyai kemampuan…boleh melawat China, Turki dan beberapa tempat lain.”
OK la. Yang ini aku boleh terima. Jadi macam Travel Agent la. Tapi kat kampong ni…orang ada duit ka?
“Yang tu boleh diaturkan. Sama ada secara menabung atau membuat pinjaman. Seseorang itu boleh menabung dan cuma pergi apabila wangnya sudah cukup. Tapi kesian la kat orang tua-tua kita. Nak tunggu duit depa simpan..sampai bila kan? Jadi kita boleh bagi pinjaman dan dibayar balik bila dia balik kekampung.” Dia jawab.
“Macam mana kalau dia mati sebelum habis bayar?” aku tanya.
“Nampak sangat Cek Mat tak paham undang-undang Islam. Kan dalam Quran ada sebut..sekiranya seseorang itu meninggal dunia, maka waris-warisnya hendaklah menyelesaikan hutang tersebut. Jadi..sebelum kita mengeluarkan pinjaman, dia perlu ada penjamin la.”
Aku garu kepala. Aku ingatkan Singer dengan Courts saja yang bagi kredit.
“Pakej kedua kita ialah Upah Haji. Kalau sesiapa yang tak mampu untuk ke Mekah…kita boleh buat untuk dia dengan bayaran RM1500.00 saja.
Yang ni aku mula rasa pelik. Kalau tak mampu…maknanya tak wajib. “Nanti la…saya tanya Ustaz.” Aku bagi tau kat dia.
“Kita ada lagi satu produk iaitu mengedarkan air Zam-Zam. Ini untuk kemudahan orang-orang Islam yang tak mampu ke Mekah. Jadi, sapa yang tak ke Mekah pun ada peluang minum air Zam-Zam.
Pakej keempat kita ialah Qurban dan Aqiqah di Kemboja. Kita kena juga bantu orang Islam disana.” Kata dia.
Yang ni aku heran. Pasai apa nak buat kat Kemboja? Kat tempat lain tak boleh ka? Kat tempat sendiri tak boleh ka? Aku diam saja.
“Pakej kelima…ini produk baru kita iaitu tepung tayammum. Kalau ada orang tua kita yang sakit..tak boleh nak ambil wuduk..boleh pakai tepung tayammum ni.”
Yang ini aku lagi pelik. Dah darurat sangat ka?
“Dan akhir sekali..pakej tahlil untuk mendoakan mereka yang sudah meningggal dunia. Kita faham…ramai anak-anak yang terlalu sibuk sekarang..jadi kita buatkan untuk mereka. Tak mahal…Cuma RM150.00 satu malam.”
Yang ni aku fed-up. “Pakej upah sembahyang tak ada ka? Saya pun sibuk sangat…kalau ada orang boleh sembahyangkan untuk saya…yang tu saya sanggup bayar.” Aku jawab.
Moral: bila agama dijual belikan, bila ibadat tidak punya sandaran sunnah, bila yang bercakap hal agama tidak punya kepakaran, bila umat sambil lewa isu agama, bila institusi Islam disalah guna, Islam akan ditertawakan oleh mereka yang bijaksana dan berakal.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. "Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan "Ruwaibidhah"". Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?". Nabi saw. menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai".
حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْمَلِكِ بْنُ قُدَامَةَ الْجُمَحِيُّ عَنْ إِسْحَقَ بْنِ أَبِي الْفُرَاتِ عَنْ الْمَقْبُرِيِّ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ
Abu Bakr bin Abi Syaibah menuturkan kepada kami. Dia berkata; Yazid bin Harun menuturkan kepada kami. Dia berkata; Abdul Malik bin Qudamah al-Jumahi menuturkan kepada kami dari Ishaq bin Abil Farrat dari al-Maqburi dari Abu Hurairah -radhiyallahu’anhu-, dia berkata; Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur didustakan, pengkhianat dipercaya sedangkan orang yang amanah dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya, “Apakah yang dimaksudkan dengan Ruwaibidhah?”. Beliau menjawab, “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.” (HR. Ibnu Majah, disahihkan al-Albani dalam as-Shahihah [1887] as-Syamilah).
Oleh: MSK dengan sedikit tambahan dari admin
5 Komen:
nice. mintak shared~
Dugaan untuk umat akhir zaman....yang hak dan batil serupa menyerupai hingga boleh keliru lagi mengelirukan...
sebab itu, hari ini kita semakin hilang punca. apa yang perlu, harus dan wajib dilakukan adalah, tajdid atau kembalikan semula kefahaman Islam berasaskan ajaran Rasulullah dan para sahabat yang pernah menjadi golongan yang diiktiraf nabi sebgai mereka yg duduk dikurun yg terbaik.
Hari ini, muslim sendiri yang merosakkan agama. Ini adalah berpunca dari salah didikan dan sistem pengajian yg kita guna pakai.
Wallahu a'laam.
izin share bicara d'atas..
-cik laksa-
Catat Ulasan
Pada pendapat anda?