Segala puji bagi Allah s.w.t, dengan rahmat dan
limpahNya, kita sudah pun melepasi bulan ujian dan rahmat Ramadhan, diikuti bulan
kemenangan Syawal dan tidak lama lagi kita akan memasuki satu lagi bulan Islam
iaitu Zulhijjah. Bulan Zulhijjah mempunyai peristiwa istimewa di dalam Islam
kerana kita sebagai muslim difardhukan untuk menunaikan haji ke Makkah - bagi
yang berkemampuan- dan juga ibadah qurban.
وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Maksudnya: “mengerjakan
haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang
mampu mengadakan perjalanan ke
Baitullah.”
(ali-Imran : 97)
Namun apa yang saya ingin tekankan adalah mengenai beberapa
salah faham dan kepercayaan karut di dalam melaksanakan ibadah haji. Salah
faham ini terjadi kerana generasi terdahulu telah melakukan perkara-perkara
yang akhirnya generasi terkemudian mempercayai ianya sebahagian daripada perlaksanaan
haji.
NIAT
SAHAJA TIDAK MENCUKUPI
Imam
Bukhari sewaktu menyiapkan kitab sahih bukhari, beliau telah menyediakan satu
tajuk khas di dalam kitab sahihnya iaitu العلم قبل القول والعمل . Ini menggambarkan kita bahawa pentingnya mempelajari
ilmu sebelum melakukan sesuatu perkara terutamanya hal-hal yang berkaitan
ibadah. Begitu juga di dalam ibadah haji agar amalan kita tidak bercanggah
dengan apa yang telah dibawa dan dilakukan Rasulullah s.a.w serta memperoleh
haji yang mabrur disisi Allah s.w.t.
Perlu
difahami bahawa setiap perkara berkaitan dengan ibadah yang melibatkan pahala
dan dosa haruslah bersandarkan dalil daripada al-Quran dan sunnah nabi s.a.w.
Mudah sahaja sifirnya. Jika ibadah itu tiada di dalam kitab wahyu al-Quran atau
terbit dari mulut serta perbuatan baginda s.a.w, maka ianya TIDAK dibolehkan.
Noktah. “Tetapi mengapa tidak boleh?” Jawapannya kerana, siapa lagi yang
mampu untuk menjamin kita akan memperoleh pahala selain nabi s.a.w. Siapa lagi
yang mengetahui jika kita melakukan ‘hal ini’, maka kita akan mendapat pahala ‘seperti
ini’ melainkan nabi s.a.w.
“Tapi
apa salahnya, niat saya baik, apa yang saya buat ini juga baik jika difikir
pada logik akal.”
Ya, slogan yang baik tetapi kaedah yang salah. Niat semata-mata bukanlah alasan
untuk kita melakukan sesuatu dengan sesuka hati. Baiklah, jika seorang peragut
meragut beg tangan seorang nenek tua di simpang jalan dengan alasan mahu
menyara kehidupan, adakah kita menghalalkan tindakan peragut itu? Walaupun
nenek tua itu mengalami kecederaan. Begitu juga bagaimana jika seorang ibu yang
terdesak terpaksa menggadai maruahnya demi memberi rezeki buat anak-anaknya,
apakah kita mengharuskannya dengan sebab niatnya yang baik?
Maka yang salah
tetap salah. Walaupun niatnya baik. Samalah seperti perkara ibadah di dalam
Islam.
Ibn
Qayyim al-Jawziyyah berkata:
الأًصلُ فِي العِبَادَاتِ البَطْلاَن إِلاَّ مَا شَرعَهُ اللَّه وَرَسُولَه
“Asal hukum di dalam ibadat adalah batal
melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah dan rasul-Nya”. [Ahkam Ahli al-Dhimmah]
Apa yang ingin saya jelaskan, adalah betapa
pentingnya agama ini dibina (tertegak) di atas dalil. Sesiapa sahaja yang
berbicara tentang agama, sehebat mana dia, mintalah dikemukakan dalil syarak.
Agar agama tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja
untuk mewakili Allah dan Rasul-Nya tanpa bukti.
مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
“Sesiapa sahaja yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka dia
telah menempah tempatnya dalam neraka”. (Riwayat
Muslim)
KEBIASAAN
MASYARAKAT
Justeru,
saya akan menyenaraikan beberapa salah faham masyarakat yang dianggap mereka
sebahagian daripada sunnah dalam melaksanakan ibadah haji.
1.
Mengadakan majlis bacaan berzanji, tahlil dan
yasin, kenduri arwah, doa selamat atau mengadakan majlis zikir-zikir tertentu.
Sama ada sebelum berangkat ke Makkah atau setelah pulang dari mengerjakan haji.
Hal ini sememangnya tiada nas yang menganjurkannya kerana Rasulullah s.a.w dan
sahabat tidak pernah mengadakan kenduri arwah, berzanji dan selainnya.
2.
Berhutang, meminjam wang atau bergadai untuk
menunaikan haji. Perbuatan ini dilarang dalam syarak kerana salah satu daripada
syarat wajib haji adalah berkemampuan. Berkemampuan juga dimaksudkan dengan
mampu dari segi harta. Allah s.w.t berfirman:
وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan
Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah
iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.” (al-Imran : 97)
3.
Melaungkan azan sebelum berangkat atau sebelum
menaiki kenderaan atau sesudah berangkat (setelah menaiki kenderaan). Tidak
terkecuali juga azan di lapangan terbang! Ini memang menjadi adat bagi setengah
masyarakat terutama bagi mereka yang sudah lama menunggu untuk berangkat ke
tanah suci Makkah.
4.
Mengiringi keberangkatan jemaah haji
ke lapangan terbang dengan bacaan al-Quran atau dengan zikir-zikir yang khusus.
5.
Ada yang menganggap bahawa jika seseorang yang
hendak pergi haji itu sudah berada dalam kenderaan, dia tidak boleh berpatah
balik jika ada barang yang tertinggal. Nanti kononnya akan mati di Makkah atau
Madinah dan tidak pulang ke rumah lagi. Hal ini sememangnya bercanggah dengan
sabda Nabi s.a.w yang menganjurkan umatnya agar meninggal dunia di sana.
عَنْ ابْنِ عُمَرَ
قَالَ قَالَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ اسْتَطَاعَ أَنْ يَمُوتَ
بِالْمَدِينَةِ فَلْيَمُتْ بِهَا فَإِنِّي أَشْفَعُ لِمَنْ يَمُوتُ بِهَا
Daripada Ibnu
Umar berkata, Rasulullah sallallahu alaih wasallam bersabda: “Sesiapa yang
mampu untuk mati di Madinah, maka matilah (di Madinah). Sesungguhnya aku akan
memberi syafaat untuk mereka yang mati (di Madinah).”
(Riwayat Tirmizi. Kata Sheikh Albani: hadis ini sahih)
6.
Menerima amanah dari orang yang belum mengerjakan
haji supaya diserukan namanya di Kaabah agar memperolehi seruan dari Allah s.w.t.
Perkara ini juga bertentangan kerana mereka yang bertuah melaksanakan haji di
tanah suci adalah tetamu-tetamu Allah s.w.t. Apa yang dibolehkan adalah berdoa,
bukan diseru nama-nama mereka.
7.
Melarang jemaah lain daripada menggaru kulit
yang gatal kerana bimbang bulu atau rambut akan gugur. Menurut Syeikhul Islam
Ibn Taimiyah di dalam Majmuk Fatawa: “Tidak mengapa bagi orang yang
sedang berihram, menggaru anggota tubuhnya (termasuk rambut kepala), begitu
juga gugur beberapa helai rambutnya ketika mandi.” Berdasarkan hadis dari Ummu Alqamah
bin Alqamah:
عَنْ عَلْقَمَةَ بْنِ أَبِي عَلْقَمَةَ عَنْ أُمِّهِ أَنَّهَا
قَالَتْ سَمِعْتُ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تُسْأَلُ عَنْ الْمُحْرِمِ
أَيَحُكُّ جَسَدَهُ؟ فَقَالَتْ: "نَعَمْ فَلْيَحْكُكْهُ وَلْيَشْدُدْ وَلَوْ
رُبِطَتْ يَدَايَ وَلَمْ أَجِدْ إِلَّا رِجْلَيَّ لَحَكَكْتُ"
“Daripada
Alqamah bin Abi Alqamah daripada ibunya, Sesungguhnya aku mendengar Aisyah
isteri Nabi sallallahu alaih wasallam ditanya tentang orang yang sedang
berihram, apakah orang yang sedang berihram boleh menggaru badannya? Dia
berkata: Ya, aku menggarunya. Sekiranya tangan aku diikat dan aku merasa gatal
pada kakiku, maka aku akan menggarunya.”(
Riwayat Malik)
8.
Berdoa dengan suara yang lantang,
beramai-ramai dan menggunakan pembesar suara. Hal ini sememangnya bertentangan
dengan firman Allah subhanahu wa taala:
وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ
Maksudnya: “Dan
sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan
perasaan takut (melanggar perintahNya), dan dengan tidak pula menyaringkan
suara.”
(Surah Al-A’raf : 205)
9.
Memulakan tawaf sebelum Hajar Aswad dengan
alasan untuk berhati-hati agar tidak terlebih dari Hajar Aswad. Sedangkan yang
wajib adalah dimulai dari Hajar Aswad.
10.
‘Raml’ (berjalan cepat) di semua pusingan
kerana ingin segera mengerjakan Sa’i. Sedangkan Nabi s.a.w hanya melakukan
ramal pada tiga pusingan yang pertama sahaja.
11.
Ada yang semasa tawaf cuba mengoyak kelambu
(Kiswah) Kaabah kononnya untuk disimpan kerana ada keajaibannya. Mereka lupa
kelambu tersebut adalah tenunan zaman sekarang yang selalu ditukar ganti.
Kilangnya di Makkah dengan pelbagai peralatan canggih. Mengoyak kelambu bererti
memusnah harta awam dan mencuri. Apakah jenis keberkatan yang mereka harapkan
dari barangan curi dan khianat? Ada juga yang membelinya di kilang membuat
kiswah semasa menziarahi tempat tersebut. Para jemaah sanggup membeli cebisan
kain tersebut dengan harga yang mahal kerana semata-mata menganggap ianya
pembawa tuah. Ini semua kepercayaan yang karut dan khurafat. Juga dikaitkan
berkat kerana kiswah itu menutupi Kaabah. Perlu diketahui, bahawasanya sejak
pembinaan pertama Kaabah oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, Kaabah telah pun
mengalami beberapa kali runtuhan dan dibina semula disebabkan banjir. Oleh itu,
batu binaan Kaabah pada masa kini bukan lagi batu binaan yang asal untuk
diharapkan berkat darinya. Ianya tidak lain hanya akan membawa kepada
kesyirikan. Cuba lihat link ini, ini merupakan contoh seruan khurafat dan berbahaya.
12.
Bertolak-tolakan untuk mencapai Hajar Aswad
agar dapat menciumnya sehingga boleh menyebabkan kecederaan dan kesakitan pada
jemaah yang lain. Maka terjadilah pukul-memukul dan caci-mencaci sesama jemaah.
Walhal mereka sedang berada di dalam Masjidil Haram.
عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ
اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
قَالَ لَهُ: يَا عُمَرُ! إِنَّكَ رَجُلٌ قَوِيٌّ
لا تُزَاحِمْ عَلَى الْحَجَرِ فَتُؤْذِيَ
الضَّعِيفَ إِنْ وَجَدْتَ خَلْوَةً
فَاسْتَلِمْهُ وَإِلا فَاسْتَقْبِلْهُ فَهَلِّلْ وَكَبِّرْ
Daripada Umar
radiallahu anhu, sesungguhnya Nabi sallallahu alaih wasallam bersabda, “Wahai
Umar! Sesungguhnya engkau seorang lelaki yang gagah, janganlah engkau
berebut-rebut dan mendesak atas Hajar Aswad sehingga menyakiti yang lemah. Jika
engkau mendapati ruang maka sapulah olehmu akan dia (Hajar Aswad) dan jika tidak
dapat, bacalah tahlil dan takbir. (Riwayat Ahmad)
13.
Mempercayai sesungguhnya Hajar Aswad mampu
memberikan manfaat dan mempunyai barakah. Perlu diingati bahawa manfaat dan
mudarat hanya dari Allah subhanahu wa taala. Umar bin Khatab radiallahu anhu berkata:
إِنِّي أَعْلَمُ
أَنَّكَ حَجَرٌ لا تَضُرُّ وَلا تَنْفَعُ وَلَوْلا أَنِّي رَأَيْتُ النَّبِيَّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُكَ مَا قَبَّلْتُكَ
Maksud: “Sesungguhnya
aku pasti bahawa kamu hanya sekadar batu biasa yang tidak mendatangkan mudarat
dan manfaat. Seandainya aku tidak melihat Nabi sallallahu alaih wasallam
menciummu, tentu aku tidak akan menciummu.”
(Riwayat Bukhari)
14.
Mencium rukun Yamani juga merupakan satu
kesalahan dan penambahan dalam ibadah kerana rukun Yamani hanya perlu disentuh
dengan tangan tanpa dicium.
15.
Idhtiba’ sejak pertama menggunakan pakaian
ihram sehingga selesai melaksanakan manasik haji. Idhtiba’ dilakukan semasa
mengerjakan tawaf sahaja. Begitulah mengikut sunnah.
16.
Berjalan cepat sewaktu sa’i antara Safa dan Marwah
di semua pusingan. Adalah menurut sunnah dengan berjalan cepat dilakukan di
kedua-dua tanda hijau sahaja.
17.
Wanita juga berjalan cepat semasa sa’i
sedangkan ianya hanya dikhususkan kepada lelaki sahaja.
18.
Ada sebahagian jemaah yang pergi meninggalkan Arafah
sebelum terbenam matahari. Hal ini bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w yang
melakukan wuquf di Arafah sehingga matahari terbenam dengan sempurna.
19.
Jemaah haji berebut-rebut untuk mendaki Bukit
Rahmah (bukit Arafah) dan ingin sampai ke puncaknya sehingga boleh mendatangkan
kemudaratan kepada dirinya dan juga kepada para jemaah yang lain. Sedangkan hal
ini tidak disyariatkan kerana seluruh padang Arafah adalah tempat berwuquf.
Begitu juga tidak digalakkan kepada jemaah wanita kerana dibimbangi akan
bersentuhan dan bergeseran dengan jemaah lelaki.
20.
Kebanyakan jemaah menganggap bahawa Bukit
Rahmah adalah tempat untuk mendapatkan jodoh atau mengeratkan hubungan suami
dan isteri. Mereka akan berdoa dan menulis di tembok nama pasangan
masing-masing. Ini semua adalah kepercayaan yang karut dan tiada sumber atau
dalil dari al-Quran mahupun hadis.
21.
Sebahagian jemaah pula apabila tiba di
Muzdalifah, mereka akan mengutip batu-batu kecil untuk dilontar kerana
beranggapan ianya wajib untuk mengambil batu di Muzdalifah. Sedangkan yang
benar adalah dibolehkan mengambil batu-batu itu di seluruh tempat di tanah
haram.
22.
Ketika melontar jamrah, kebanyakan jemaah
mengganggap mereka sedang melontar pada syaitan. Oleh itu, mereka melontarnya
dengan penuh kemarahan disertai dengan caci maki terhadapnya. Padahal melontar
jamrah itu telah disyariatkan oleh Allah s.w.t tanpa kita ketahui sebab dan
mengapa ia dilakukan, sama seperti solat subuh dua rakaat dan zohor empat
rakaat. Hal ini kerana ianya telah pun disyariatkan tanpa perlu kita mengetahui
sebabnya sebagai tanda kita beriman dengan apa yang telah dibawakan oleh
Rasulullah s.a.w.
23.
Ada juga sebilangan mereka yang melontar
jamrah menggunakan batu yang besar, kasut atau dengan kayu. Perbuatan ini
termasuklah dalam berlebih-lebihan dalam agama yang dilarang Nabi s.a.w.
24.
Untuk menghindari kesesakan dan kesukaran, ada
segelintir jemaah yang mewakilkan orang lain untuk melontar bagi pihaknya
sedangkan dia sendiri mampu. Hal ini dibolehkan jika dia sendiri tidak mampu,
kerana sakit dan lain-lain. Tetapi sekiranya berkemampuan, hendaklah
melakukannya sendiri tanpa mewakilkan sesiapa.
25.
Apabila selesai melakukan tawaf wada’, ada
jemaah yang keluar dari Masjid al-Haram dengan berjalan secara berundur sambil
menghadapkan muka ke Kaabah. Ada juga yang melambai-lambai ke arah Kaabah
sebagai tanda selamat tinggal. Mereka mengganggap yang demikian itu merupakan
penghormatan terhadap Kaabah. Perbuatan ini bid’ah dan tidak ada dalilnya dalam
agama.
26.
Mengusap dinding, meratap di pagar maqam Nabi
s.a.w dengan harapan akan mendapat keberkatan adalah termasuk dalam bid’ah yang
mungkar. Ada juga yang mengganggap ianya dapat mendekatkan diri kepada
Rasulullah s.a.w dan hal ini boleh jatuh kepada syirik.
27.
Memohon kepada Nabi s.a.w dan bertawassul
kepadanya agar baginda memenuhi hajat mereka, menghilangkan kesusahan,
menyembuhkan penyakit, melepaskan diri mereka dari kesusahan atau memohon
syafaat dan sebagainya. Perkara ini boleh menjejaskan aqidah kerana
meminta-minta daripada orang yang telah mati adalah perbuatan yang syirik
kepada Allah s.w.t.
28.
Mengutamakan berdoa dekat kubur Nabi s.a.w sambil
menghadap ke arahnya dengan mengangkat kedua-dua belah tangan sebagaimana yang
dilakukan oleh sebahagian penziarah adalah termasuk bid’ah yang diada-adakan.
29.
Mendaki ke gunung Uhud dan gua Hira’ serta gua
Thaur di Makkah. Kemudian membaca pelbagai doa yang tidak ada nas yang
menyuruhnya dari al-Quran ataupun hadis. Ini adalah bid’ah yang direka-reka.
Namun begitu, tidak salah untuk menziarah jika bertujuan untuk mengambil
iktibar terhadap perjuangan Rasulullah s.a.w.
30.
Kebanyakan jemaah beranggapan sunat untuk
melakukan umrah banyak kali semasa berada di Makkah. Mereka percaya dengan
keluar melakukan umrah sebanyak tujuh kali, mereka akan memperolehi pahala
bersamaan dengan ‘haji kecil’. Perkara ini sememangnya tiada nas yang
menganjurkannya sebagaimana kata al-Sheikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz r.h:
“Tidak
ada satu dalil pun yang mensyariatkan agar mengerjakan umrah berulang kali
selepas selesai mengerjakan haji dengan keluar untuk berihram ke Tana’im,
Ji’raanah atau yang lain, sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian orang”.
Demikianlah
beberapa perkara yang sering dilakukan jemaah semasa melakukan ibadah haji dan
umrah. Hal ini bukan sahaja boleh menjejaskan ibadah haji, malah melibatkan
perkara yang berkaitan dengan aqidah apabila menganggap perkara yang ditokok
tambah itu sebahagian daripada sunnah dan dilihat sebagai perkara yang baik.
Perlulah diingat, sekiranya ibadat itu baik, pastilah para sahabat dan generasi
sahabat melakukannya terlebih dahulu. Nabi s.a.w bersabda:
مَنْ عَمِلَ عَمَلا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ
رَدٌّ
Bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan suatu
pekerjaan yang tidak pernah kami mengamalkannya maka ia adalah tertolak”. (Bukhari dan Muslim)
Seharusnya
majlis agama mahupun agensi tabung haji, perlulah memainkan peranan penting
dalam menerangkan kepada masyarakat betapa pentingnya melaksanakan ibadah haji
dan umrah selari dengan petunjuk al-Quran dan sunnah. Tetapi malangnya,
golongan berkelulusan agama sendiri yang mencanangkan dan memperbolehkan perkara-perkara
sebegini dilakukan. Hasilnya, masyarakat yang jahil ini akan menyandarkan
bulat-bulat amalan dan kepercayaan mereka kepada apa yang dinyatakan oleh ‘ustaz’
mereka. Sehingga mereka menyangka bahawa asal sahaja orang yang mempelajari
agama, pastilah faqih di dalam hukum hakam agama lalu mempercayai ‘fatwa-fatwa
karut’ yang dikatakan mereka. Walhal Islam bukanlah seperti cerita hikayat yang
boleh ditokok-tambah di dalamnya mengikut citarasa sendiri. Tetapi Islam
merupakan agama wahyu dari Allah s.w.t. Maka beramanahlah dalam menyampaikan
risalah tauhid ini. Agar ketulenan agama itu dapat terus dijaga.
Ditulis oleh: Nur Sulaiman Zolkapli (krew JTR)
Kuliah Fiqh & Usul Fiqh, Universiti Al al-Bayt. Jordan.
6 Komen:
hal yang sama terjadi pada banyak jemaah asal indonesia....
ni ada copy paste tulisan Dr.Mohd Asri ni..
http://drmaza.com/home/?p=1262#more-1262
Tulisan Dr.MAZA antara salah satu rujukan penulis utk artikel ini. Kita cuba mengambil ilmu yg bermanfaat darinya. Begitu juga pada 30 point itu diambil dari rujukan yg berbeza.
ish3... dalilnya apa? nabi tak buat?
ini bukan dalil
مَنْ عَمِلَ عَمَلا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
Bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan suatu pekerjaan yang tidak pernah kami mengamalkannya maka ia adalah tertolak”. (Bukhari dan Muslim).Jangan kita mengaku muslim tapi menolak hadis nabi yang sahih.
Al-Imam Ahmad rahimahullahu mengatakan:
“Pokok-pokok ajaran As-Sunnah menurut kami adalah: berpegang teguh di atas metode para sahabat Rasul Shallallahu ‘alaihi wa sallam, mengikuti mereka, dan meninggalkan bid’ah. Dan setiap bid’ah adalah sesat. Dan meninggalkan pertengkaran serta duduk bersama pengekor hawa nafsu, juga meninggalkan dialog dan berdebat serta bertengkar dalam agama ini.”
(Syarh Al-Lalika`i, 1/156, Mauqif Ahlis Sunnah, Ar-Ruhaili 2/591)
Catat Ulasan
Pada pendapat anda?