JTR mengalu-alukan tuan puan untuk membaca tulisan dalam blog ini bagi manfaat tuan puan
Photobucket

Memaparkan catatan dengan label Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Islam. Papar semua catatan

Selasa, 3 April 2012

Teguran Dan Bantahan Terhadap Karekter Fifi Dalam Siaran Radio Hot.Fm

Posted by Abu Hannan On 5:20:00 PTG



Pendahuluan

Bagi menjamin sebuah Negara yang punyai jatidiri, teguh dan disegani kawan dan lawan, sudah tentu salah satu kreteria yang menjadi kayu ukurnya adalah cara hidup masyarakat yang bertunjang kepada prinsip keagamaan yang kukuh juga memegang prinsip tatasusila dan kesopan sebaiknya. Ini jugalah yang ditekankan dalam rukun negara kita yang sangat luhur.

Pula itu, Malaysia yang terlatak di benua asia, sangat terkenal dengan budaya sopan, hormat menghormati dan masyarakat yang patuh pada agama, seeloknya ciri-ciri ini dikekalkan walaupun percaturan globalisasi serangan hedonisme barat terus menyerang media-media massa kita pada hari ini.

Hari ini, salah satu serangan pemikiran dan cara hidup yang perlu ditangkis secukupnya adalah berkenaan dengan isu LGBT yang sehingga kini masih lagi diperkatakan. Ini ekoran adanya sebuah kumpulan yang tanpa segan silu memperjuangkan hak mereka-mereka yang berorientasikan LGBT. Mereka dengan berani tampil dengan acara-acara tertentu bagi menuntut pihak kerajaan mengiktiraf cara hidup itu selain mengalihkan stigma masyarakat agar persepsi sebaliknya kepada LGBT timbul dan diakui tanpa kesalahan. Hakikatnya LGBT adalah satu cara hidup yang sememangnya tidak diterima oleh agama, tidak juga oleh manusia yang berakal sihat.

Maka pada hari ini, telah lahir sekumpulan NGO-NGO Islam yang bangkit mempertahankan keharmonian bermasyarakat berasaskan prinsip-prinsip Islam. Mereka bergabung dengan kekuatan wahdatul fikr (kesatuan idea) dan wahdatul amal (kesatuan tindakan) bagi mempertahankan institusi kesopanan dalam masyarakat kekal tanpa gangguan anasir kotor dan jelek. Salah satunya NGO aktif yang benar-benar menentang segala isu yang berkait dengan pemesongan fahaman umat Islam ialah Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).


Karektor Fifi dalam siaran Radio Hot.fm
memandangkan NGO-NGO Islam semua satu suara dalam menentang LGBT, adalah sangat elok untuk NGO-NGO Islam terutama PPMM mwnyuarakan kebimbangan terhadap beberapa isu yang mungkin dilihat enteng atau masalah kecil oleh sesetengah pihak.
 
Satu-satunya isu yang PPMM lihat cuba dinormalisasikan di media-media Malaysia hari ini ialah watak lelaki lembut bersuara wanita yang dibuat-buat. Watak sebegini  kebelakangan sering ditonjolkan di kaca-kaca televisyen, Watak ini juga dalam pemerhatian PPMM sering diselitkan antaranya dalam siaran televisyen yang bergenre komedi, ini tidak kurang juga ditonjolkan di corong-corong radio. Kini, apa yang dilihat, ia sedang berlaku di radio Hot.fm apabila watak 'Fifi', sebagai lelaki lembut menjadi salah seorang penyampai di stesen radio berkenaan. 

Watak tersebut mungkin dari mata kasar hanya sekadar watak komedi dan tidak lebih dari itu. Akan tetapi, secara tersiratnya, ia ingin mengambarkan bahawa masyarakat sedang menerima 3 gender dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia iaitu, Lelaki, Perempuan dan Pondan/Transgender.
 
Lebih merbahaya apabila ada penyampai radio lelaki menyatakan kepada penyampai radio berwatak fifi tersebut dengan katanya "cik fifi memang suka duduk depankan..." pada 27 Mac 2012 . Walaupun sekali dengar seolah ia satu komedi, tetapi pada makna lain, ia menunjukkan keingin seksual si Fifi yang berwatak pondan.

Saya mengandaikan, dalam sepuluh responden yang mendengar perbualan penyampai tersebut, hanya 2 orang yang sensitif terhadap dialog tersebut. Ini jika dibiarkan berterusan, hanya akan mematikan sensitiviti masyarakat selain ianya sebagai memudakan lagi budaya ini diterima oleh masyarakat di Malaysia.

Saya melihat, walaupun tiada sokongan secara zahir kepada kumpulan penyokong LGBT dibuat oleh media-media arus perdana di Malaysia, akan tetapi secara tersiratnya, dengan adanya watak-watak pondan, lelaki lembut dan lain-lain, ia seolah-olah membantu kumpulan tersebut mempromosi cara hidup sedemikian. Pendekatan seperti ini hanya akan memperlihatkan kepada masyarakat sikap tidak ikhlas dan bermuka-muka pihak media dalam menangani isu serius ini.

gambar hiasan

Teguran kepada Stesyen Radio Hot.fm
Di kesempatan ini, saya meminta agar bukan sahaja radio Hot.fm cuba memperbaiki modul siaran, begitu juga kepada penyiar-penyiar rakan media yang lain terutama media televisyen dan media cetak. Pastikan siaran tersebut menepati norma-norma hidup bermasyarakat yang tinggi dengan budaya dan adat ketimuran berdasarkan neraca al-Quran dan al-Sunnah.

Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadith:

“Bukan dari golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita.”(Musnad Ahmad, no: 6875 dengan sanad yang dinilai hasan oleh Ahmad Syakir)

Bahkan ‘Abdullah ibn ‘Abbas r.a. menerangkan bahawa: 

“Rasulullah s.a.w. melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Shahih al-Bukhari, no: 5546). Hadis-hadis larangan dalam bab ini juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Aisyah r.a.

Berdasarkan dua hadith nabi s.a.w. di atas, secara mijoritinya, ulamak berpendapat bahawa lelaki dan wanita yang berusaha untuk menyerupai jantina yang berbeza dengannya adalah salah satu perbuatan haram lagi dibenci. Menyerupai di sini tidaklah hanya tingkah laku, akan tapi, cara hidup, penampilan, pakaian dan lain-lain lagi.

Dalam hal ini, kanak-kanak yang belum baligh juga tidak tertinggal dari hukum tersebut. Haram bagi ibu bapa kanak-kanak termasuk penjaga yang berusaha mengenakan pakaian perempuan kepada anak lelaki mereka, begitu juga sebaliknya, mengenakan pakaian lelaki kepada kanak-kanak perempuan.  

Dr. Jamil bin Habib al-Luwaihiq menjelaskan:

“Apa-apa yang berlaku untuk orang lelaki dan wanita dalam bab ini, berlaku pula untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan. Maka tidak boleh mengenakan kepada kanak-kanak lelaki pakaian kanak-kanak perempuan atau mengenakan kepada kanak-kanak perempuan pakaian untuk kanak-kanak lelaki.” [al-Tasyabbuh al-Manhy ‘Anhu fi al-Fiqh al-Islami (edisi terjemahan oleh Asmuni dengan judul Tasyabbuh Yang Dilarang Dalam Fikih Islam; Darul Falah, Jakarta, 2007), ms. 138, Hafiz Firdaus Abdullah, Islam, Jantina dan Seks]

Melalui hadith-hadith tersebut, juga pandangan salah seorang ulama’ berkenaan isu LGBT ini, menunjukkan bahawa Islam benar-benar serius menangani dan mencegah perkara berhubung isu ini dari menular dalam urat masyarakat kita.

Jika kita tidak bersatu berganding bahu dalam mengubati, menangani dan mencegah gejala ini, saya berpendapat, Umat Islam akan melalui satu jalan sukar dan getir di masa hadapan kelak. Ini kerana apa yang PPMM lihat menjadi faktor semakin meningkatnya gejala LGBT ini adalah dari watak-watak yang ditonjolkan di dalam media seolah menyokong karekter yang dibawa pengamal LGBT ini.
 
Apapun, ini bukanlah satu-satunya kes yang memalukan, banyak lagi rancangan yang sengaja menonjolkan watak-watak pondan, gay, tomboy, pengkid dan lain-lain dalam media arus perdana kita.
 
Sekali lagi, saya berharap agar adanya gesaan dari pihak NGO lain dan pihak kerajaan melalui kementerian-kementerian terbabit untuk memantau gejala ini agar ia tidak terus menular dan dipandang biasa suatu hari nanti oleh seluruh masyarakat Malaysia.

Saya juga meminta agar pihak Stesyen Radio Hot.fm menghentikan serta merta rancangan yang menyiarkan watak Fifi tersebut dan menukar segmen siaran tersebut kepada yang lebih berobjektif menghidupkan sakhsiah masyarakat pendengar. Gesaan ini tidaklah terhenti kepada Stesyen Radio berkenaan sahaja malah ia turut melibatkan seluruh pengamal media tempatan. 


Sekian, wassalam.

Selasa, 22 November 2011

Bulan Sabit Lambang Islam?

Posted by Abu Hannan On 11:45:00 PG




Ketika penulis sedang update isu letupan bom di gereja Mesir baru-baru ni, terbaca pula fatwa Syeikh Dr. Mas’ud Sobri, Penyelidik di Markaz Wasatiyyah, Kuwait bertajuk ‘Hukum muslim mengangkat lambang bulan sabit bersama salib’. (kliksini ) Sebenarnya penulis bawakan isu ini bukannya sebab tajuk ini kerana ia tidak berlaku di Malaysia, tetapi kerana isu lain. Iaitu isu ‘lambang bulan sabit yang sering dikaitkan dengan Islam’. Terjemahan fatwa tersebut lebih kurang berikut:-

“Sebelum dibincangkan hukum ini secara lanjut, perlu dinyatakan bahawa lambang bulan sabit bukanlah sesuatu yang disyariatkan di dalam Islam. Bulan sabit tidak pernah menjadi lambang atau syiar Islam pada zaman Nabi SAW, Khilafah Umayyah, Khilafah Abbasiyah, bahkan di zaman Khilafah Uthmaniyyah sekalipun. Bahkan orang pertama yang mula menggunakan bulan sabit adalah bangsa Turki selepas penggulingan Sultan Abdul Hamid Kedua dan selepas gerakan Freemasonry berjaya menembusi Empayar Uthmaniyyah yang sedang tenat melalui Parti Perpaduan dan Kemajuan yang menganut fahaman Masonik.


Jika kita merujuk kepada asal-usul gerakan Masonik dan sesetengah gerakan bawah tanah seperti penyembah syaitan dan lain-lain, kita akan dapati bulan sabit adalah satu daripada syiar mereka. Gerakan penyembah syaitan ini dan pengikut gerakan Masonik berbangga dengan membawa medal yang berbentuk bulan sabit, bintang dan di atasnya terdapat pedang lagenda. Ia adalah lambang tempat penyembelihan bagi para pemuja yang mempersembahkan kucing dan anjing yang disembelih, dan meminum darahnya, melalui pelaksanaan ritual kesyaitanan yang sesat dan upacara yang biadap.


Kemudian lambang bulan sabit tersebar ke dalam bendera beberapa negara yang berkemungkinan tidak berhati-hati dengan signifikan bulan sabit ini terhadap doktrin tertentu.Setelah kita mengetahui ini, maka menjulang lambang bulan sabit langsung tiada kena mengena dengan Islam, malah ia adalah syiar Freemasonry dan para penyembah syaitan. Mungkin dengan merujuk kepada kalung Freemason dan tarbus Freemason yang terdapat padanya bulan sabit, bintang dan pedang mampu memuktamadkan kesahihan pandangan ini.

Bagaimanapun, adalah benar jika dikatakan: Bukan semua yang menggunakan bulan sabit itu berpegang kepada doktrin tersembunyi gerakan Freemasonry dan penyembah syaitan. Tetapi kesimpulannya tetap : Bulan sabit itu bukanlah lambang bagi Islam. Tidak syak lagi bahawa salib adalah lambang dari lambang-lambang Kristian, ia adalah salah satu iktikad yang kita percaya kepalsuannya dan penyelewengannya berbanding apa yang di bawa oleh Nabi Isa AS. Jelas salib ialah syiar kekufuran yang tidak kita imani bahkan al-Qur'an telah menafikannya dan menerangkan kebatilannya melalui surah al-Nisa' ayat 157.

Oleh itu, haram bagi muslim untuk mengangkat bendera bersalib kerana ia dianggap mengangkat syiar kekufuran, setiap yang membawa kepada kekufuran adalah haram. Ia bukan bermaksud mengkafirkan pelakunya tetapi pelakunya telah melakukan salah satu daripada perbuatan kufur tanpa kita menghukumnya sebagai kafir.

Adapun perbuatan umat Islam dan Kristian keluar bersama-sama untuk berdemonstrasi sedang penganut Kristian membawa bersama-sama mereka bendera-bendera yang padanya salib-salib, perkara ini diharuskan syara' bagi menunjukkan kesatuan rakyat, Islam dan Kristian. Ia boleh jadi digalakkan bagi memadamkan api fitnah dan memelihara perpaduan masyarakat Mesir, sambil umat Islam wajib memungkiri kepercayaan salib itu di dalam hatinya.

Kesimpulannya, membunuh orang Kristian tanpa sebab yang haq di sisi syara' adalah haram, salah satu daripada dosa besar, tetapi ini sekali-kali TIDAK mengharuskan bagi seseorang muslim untuk mengangkat bendera bersalib kerana salib adalah antara syiar kekufuran”.

Rumusannya, berhati-hatilah wahai umat Islam dalam mengambil lambang untuk disandarkan pada agama. Wallahu a’lam.

Jumaat, 4 November 2011

Membongkar Siapa Di Sebalik Penganjuran Seksualiti Merdeka!

Posted by Abu Hannan On 6:16:00 PTG


Hari ini, logo di atas kita jumpa di mana-mana sahaja di laman sesawang, ramai yang membantah, ramai juga yang turut bersuara positif dengan menyokong festival Seksual Merdeka 2011 ini diadakan. Antara yang sangat pelik, Sister In Islam bertindak sebagai penyokong kepada penganjuran ini. Layakkah kalian meletakkan Islam dalam nama organisasi anda? 

Bagi krew Jejaki Tinggalan Rasul, kami mengutuk sekeras-kerasnya kempen ini di atas nama agama. JTR sangat yakin bahawa ini adalah salah satu proses atas nama demokrasi untuk meletakkan kebebasan manusia tanpa berpegang di atas prinsip-prinsip agama, ketamadunan dan ketatasusilaan.

Ini juga merupakan salah satu dari idea-idea penting puak-puak the secret society yang sedang berjalan menuju The New World Order dengan cara mengangkat sepanduk Human Right.

Dr. Sulaiman Noordin ada kisah disebalik penganjuran Seksualiti Meredeka 2011 yang akan dirasmikan oleh Dato Ambiga Sreenevasan.






Penyampai: PROF MADYA DR SULAIMAN NOORDIN
Tarikh: 03/11/2011 - Khamis
Lokasi: Kajang

Selasa, 1 November 2011

Tepuk Tangan Syaitan Lahir?

Posted by Abu Hannan On 6:56:00 PTG



KEBIASAANNYA bertepuk tangan disaksikan ketika menghadiri majlis keramaian dan persembahan. Sudah menjadi kebiasaan majlis berbentuk Islam sunyi daripada tepukan gemuruh penontonnya. Bahkan suasana sedemikian menampakkan kesuraman sesuatu program.

Apabila diteliti permasalahan ini, timbul beberapa perbahasan dalam kalangan sesetengah orang agama bahawa bertepuk tangan itu diharamkan. Ada pula mengeluarkan pendapat pelik ia boleh menyebabkan syaitan melahirkan anaknya.
Bertepuk tangan di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah
Malah ada yang mencadangkan jika ingin menepuk tangan maka tepuklah dengan belakang tapak tangan sebagai isyarat gantian. Persoalannya adakah ini sesuatu ditetapkan agama.

Walaupun ada dibahaskan dalam bab solat oleh ulama asy-Syafi’iyyah seperti Imam Ramli dan al-Bajuri, namun ia tidak membabitkan hukum menepuk tangan di luar solat. Maka, ada pendapat mengharamkannya berasaskan penghujahan dalil tertentu.
Firman Allah SWT bermaksud: “Tiadalah solat atau ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ (siulan) dan tashdiyyah (tepuk tangan). Maka rasakan azab disebabkan kekafiran kamu.” (Surah al-Anfal ayat 35)
Pentafsir mentafsirkan ayat ini mengatakan perkataan al-muka’ (siulan) dan al-tashdiyyah (tepuk tangan) yang dimaksudkan dalam surah al-Anfal ialah perbuatan orang kafir yang mengganggu solat dan bacaan al-Quran Rasulullah serta kaum muslimin.

Tepukan dan siulan itu mendatangkan rasa tidak senang kepada Rasulullah dan orang Islam sehingga Rasulullah menegah perbuatan berkenaan. Ini pandangan paling tepat dalam menceritakan sebab turunnya ayat menurut Imam Jalaluddin as-Suyuti.

Al Qurtubi pula merujuk kepada pendapat Ibnu Abbas mengatakan, masyarakat Quraisy jahiliah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia adalah ibadat. Ini juga pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.

Merujuk sebab turun dan kisah di sebalik ayat 35 surah al-Anfal ini, jelas pengharaman tepuk tangan secara umumnya adalah kepada orang yang meniru perbuatan orang kafir dalam melakukan ibadah. Jika ibadah solat diselang-selikan dengan bertepuk tangan maka secara jelas diharamkan.

Bagaimanapun, mengharamkan hukum menepuk tangan ketika di luar solat adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya kerana ayat berkenaan tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk tangan.

Sudah jelas kepada kita bertepuk tangan dalam solat seperti orang jahiliah adalah dilarang. Namun, menepuk tangan di dalam solat dan di luar solat berbeza. Maka penyabitan hukumnya juga berbeza.

Begitu juga sebahagian pendapat mengatakan menepuk tangan diharamkan kepada lelaki berasaskan dalil hadis sahih yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih (dengan berkata subhanallah). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya (memberi perhatian). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan itu dilarang kerana termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) wanita seperti dinyatakan hadis bahawa hal semacam itu hanya khusus bagi wanita ketika memperingatkan imam yang tersilap dalam solat sementara lelaki disuruh mengingatkan imam dengan ucapan tasbih.

Hadis ini khusus mengenai bertepuk tangan dalam solat. Kes berlaku apabila seorang imam melakukan kesilapan maka makmum wanita hanya boleh menepuk tangan sebagai isyarat membetulkan imam. Ia tidak boleh menjadi dalil menegah bertepuk di luar solat seperti disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami.

Pengharaman hukum menepuk tangan dalam sesuatu majlis itu tertolak kerana masih lagi didasari dalil agak lemah. Penulis cenderung kepada pandangan beberapa ulama yang membenarkannya seperti Syeikh Atiyyah Saqr, yang mengharuskannya kerana tiada dalil mengharamkan.

Menurut kaedah fiqh Islam, asal sesuatu perkara adalah harus. Maksudnya, sesuatu perkara yang tidak diberitakan oleh syariat dipandang harus hukumnya. Namun, ia boleh menjadi haram mahupun wajib jika disertakan dalil yang menyuruh.

Pengarang kitab al-Hafl al-Zifaf fi al-Fiqh Islam, Syeikh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh, berkata tepuk tangan perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor ia dilakukan.

Hukum bertepuk tangan dalam majlis asalnya mubah (perkara diharuskan) sebab bertepuk tangan termasuk perbuatan jibiliyah (af’al jibiliyyah) yang hukum asalnya mubah, sepanjang tidak ada dalil mengharamkan.

Perbuatan jibiliyah adalah perbuatan secara alamiah (fitrah) dilakukan manusia sejak penciptaannya dan menjadi bahagian yang tidak terpisah dari sifat kemanusiaannya seperti berfikir, bercakap, berjalan, berlari, melompat, duduk, makan, minum, mendengar, melihat dan seterusnya.

Menepuk tangan itu sesuatu yang diharuskan syarak. Ia boleh menceriakan sesuatu majlis terutama bagi menggembirakan kanak-kanak. Walaupun begitu, hukumnya boleh menjadi haram apabila bertepuk tangan dalam pertunjukan hiburan yang tidak syarak, pembukaan aurat atau menghina serta mengejek orang lain.

Bertepuk tangan di luar solat sama ada di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah. Begitu juga niat orang yang bertepuk tangan untuk mengejek, menghina ataupun memuji orang yang tidak sepatutnya.

Tegakkan hukum agama atas dasar hujah dan dalil kerana agama tertegak bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah, bukannya dakwaan atau sangkaan semata-mata tanpa menilai dari mana asal usulnya.
imam muda asyraf 

Selasa, 25 Oktober 2011

E-Code Lemak Babi; Mahasiswa pun tertipu

Posted by Abu Hannan On 8:46:00 PG


PENDAHULUAN

Apabila kita terima apa-apa maklumat menerusi internet, sepatutnya lakukan sedikit-sebanyak kajian terlebih dahulu untuk mempastikan sejauh manakah kebenaran maklumat tersebut. Ada kalanya maklumat yang kita sangka bagus itu rupa-rupanya dicipta oleh musuh-musuh Islam. Mereka sengaja melakukan hal itu untuk merosakkan akidah umat Islam, mempersenda-sendakan umat Islam, memecah-belahkan umat Islam dsb.

Pada kali ini saya kongsikan pendedahan bahawa berita yang kononnya ditulis oleh Dr M Amjad Khan bertajuk E-CODE BABI adalah PALSU. Selamat membaca, semoga bermanfaat:

LATARBELAKANG BERITA PALSU MENGENAI KODE BABI

Ia bermula sekitar tahun 2009. Pada asalnya berita palsu ini ditulis dalam bahasa Inggeris, kemudian ada pihak yang telah menterjemahkan berita palsu itu ke bahasa Melayu dan meletakkannya di laman web mereka dan juga di Facebook dll. Saya telah cuba selidik laman manakah (antara) yang mula menyiarkan berita palsu itu, lalu bertemu satu laman yang dikendalikan oleh seorang yang bernama Yasir Imran Mirza. Alamatnya seperti berikut:

http://yasirimran.wordpress.com/2009/01/04/pig-fat-by-dr-m-amjad-khan/

Beliau telah diselar oleh ramai pembaca Muslim yang telah membuat carian di sekitar internet untuk mencari siapakah dia Dr M Amjad Khan yang kononnya menulis "kajian kode lemak babi" itu, tapi nampaknya Dr Amjad Khan tidak wujud. Nama itu didapati merujuk kepada seorang pelakon India (kemudian diletakkan Dr). Malah, Dr M Liaqat (PhD Food Biochemistry) MA CONSULTING yang kononnya menjadi rakan Dr M Amjad Khan juga tidak wujud. Medical Research Institute United States yang kononnya tempat Dr M Amjad Khan bertugas juga tidak wujud. Yang wujud ialah U.S. Army Medical Research Institute. Ringkasnya, tidak ada sumber sah yang boleh disandarkan atau dipertanggugjawabkan.

Para pembaca laman itu menegur Yasir Imran Mirza, bahawa tindakan beliau kongsikan berita palsu adalah berdosa dan dilarang oleh Islam, namun nampaknya beliau berdegil dan terus memaparkan berita palsu itu hingga ke hari Nota ini saya tulis.

E-CODE YANG DIBERI ADALAH MELESET

Selain dari penulisnya didapati tidak wujud, E-CODE yang diberikan oleh "Dr M Amjad Khan" itu juga tidak betul. Ia mengharamkan kebanyakan E-CODE yang telah dikenalpasti halal. Dari seluruh E-CODE yang diberikan oleh "Dr M Amjad Khan" itu, hanya sedkit saja E-CODE yang dikenalpasti haram. Saya fikir tidak perlulah diperincikan E-CODE dan maknanya memadailah saya kongsikan pautannya. Saudara-saudara bolehlah mencari laman-laman yang lain untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai status halal, selain dari pautan yang saya berikan ini:

(1) Untuk Mengetahui Maksud E-CODE:

(2) Untuk Semak Status Halal E-CODE:

KESIMPULAN

Umat Islam perlulah berhati-hati. Dalam keghairahan untuk kongsikan maklumat sesama kita, hendaklah pastikan terlebih dahulu kesahihan berita tersebut. Ada juga golongan yang berpendapat bahawa "tujuannya baik" maka "itu tidak mengapa". Ini adalah cara berfikir yang bahaya kerana ia akan menyebabkan banyak kerosakan kepada umat Islam di zaman yang banyak fitnah ini.

Kerana itu, jika sesuatu berita yang baru diterima tidak dapat dipastikan kesahihannya, maka sebaik-baiknya janganlah disebarkan. Walaupun pada zahirnya ia nampak menarik, mungkin ia adalah "jerat" yang bakal memerangkap umat Islam itu sendiri. Banyak surat-surat berantai, e-mel berantai dan SMS berantai berjaya disebarkan kerana menggunakan taktik "menjerat" pembacanya dengan "ancaman" (contohnya terima nasib buruk jika tidak disebarkan) dan "ganjaran" (dapat rezeki dsb jika disebarkan kepada ramai orang). Mereka yang kurang berfikir panjang (dan yang inginkan "ganjaran duniawi") terus menyebarkannya tanpa menyelidik terlebih dahulu.

Ada pula yang meletakkan pesanan Rasulullah SAW: "Sampaikanlah walaupun satu ayat" bertujuan agar si pembaca akan terus sebarkan berita itu "kerana menyahut seruan Rasulullah SAW" tapi sayangnya si pembaca tidak siasat terlebih dahulu kesahihan berita yang dikongsikan itu. Inilah antara "trend" yang kita lihat berlaku, tapi segelintir orang masih tidak sedar bahawa itu hanyalah tipudaya yang dimainkan oleh musuh-musuh Islam.

Jika sesuatu itu sudah dikenalpasti sebagai berita benar, dari sumber yang boleh dipertanggungjawabkan dan ianya difikirkan bermanfa'at, maka bolehlah disebarkan, tapi tidaklah semestinya kita yang turut menyebarkannya. Sama-samalah kita berhenti dari menyebarkan sebarang berita bohong atau yang berunsur fitnah, walaupun kita sebenarnya berniat baik.

Apa pun, segala yang telah berlaku ada hikmahnya. Umat Islam akan lebih berhati-hati, akan lebih berusaha mengkaji, dan akan berusaha mengenalpasti musuh-musuh yang ada di sekeliling serta segala tipudaya mereka itu. Kewujudan "pakatan rahsia" untuk memberi orang-orang Islam "makan kotor" dan "makan racun" dsb tidaklah dapat dinafikan, maka jadikanlah itu semua sebagai peringatan kepada kita. Sediakan payung sebelum hujan.

_________________________________

Semoga Allah SWT merahmati kita semua.

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Susunan: Hibatullah Yusof Al-Haj

Khamis, 6 Oktober 2011

Hudud Adalah Hadiah Bagi Masyarakat Yang Islami

Posted by Abu Hannan On 9:55:00 PTG


Bicara al-Allamah Yusuf al-Qaradhawi, pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia tentang 'Hudud Dalam Wacana Feqh Masa Kini' yang disiarkan oleh setesen satelit, al-Jazeera, telah memberikan garis panduan asas berkenaan kaedah perlaksanaan hukum tersebut dalam masyarakat.


Garis panduan tersebut-yang dirumuskan daripada pengamatan beliau terhadap pendekatan Nabi SAW dalam melaksanakan hukum hudud-sangat penting dari segi menyatukan pandangan umat Islam hari ini dalam soal kaedah perlaksanaan hukum tersebut.


Atau paling kurang, merapatkan jurang perselisihan pandangan berhubung soal ini.


Trend semasa wacana hudud di negara ini memperlihatkan, pihak-pihak yang memperkatakan tentang perlaksanaan hukum hudud atau yang berusaha melaksanakannya, kurang memberi perhatian terhadap kaedah atau pendekatan yang digunakan Nabi SAWdalam melaksanakan hukum itu.

Pemahaman berkenaan hukum Islam sangat penting kepada Muslim dan Non Muslim


Trend ini sedikit sebanyak telah menyumbang kepada pelebaran jurang perbezaan pendapat berhubung soal ini.



Merujuk kepada kaedah Nabi SAW melaksanakan hukum hudud, Qaradhawi telah mengetengahkan satu fakta, yang barangkali boleh ‘mengejutkan’ sesetengah pihak.



Fakta itu menyatakan, 'sebelum Nabi SAW melaksanakan hukum hudud, Baginda terlebih dahulu menegakkan Islam secara keseluruhannya, yakni menegakkan kehidupan Islam’.



Jelas tersurat, fakta ini bermakna, perlaksanaan hukum hudud adalah peringkat atau ‘projek’ terakhir dalam agenda perlaksanaan Islam.



Dalam ungkapan yang lebih jelas-seperti yang dinyatakan Qaradhawi- “dasar [berkenaan perlaksanaan hudud ialah] tidak dilaksanakan [hukum] hudud melainkan apabila kita telah melaksanakan-seperti yang telah saya katakan-ajaran-ajaran Islam keseluruhannya yang berkaitan akidah, syariat, akhlak, tata susila dan nilai-nilai [murni], kita bangunkan masyarakat Islam, dalam keadaan ini, kita laksanakan [hukum] hudud”.




Kenyataan Qaradhawi ini secara tidak langsung menidakkan pandangan yang melihat 'perlaksanaan hudud' sebagai 'agenda teratas' dalam sesebuah negara Islam.



Penegasan ini sebaliknya menuntut sesebuah Negara Islam, melaksanakan hukum hakam Islam dan tuntutan-tuntutan Islam yang lain terlebih dahulu, sebelum mengambil langkah untuk melaksanakan hukum hudud.



Gambaran yang jelas tentang kuantiti hukum hakam dan tuntutan-tuntutan Islam ini boleh diperolehi melalui tinjauan ke atas pembahagian ulama terhadap jenis-jenis hukum hakam Islam.



Syaikh Abdul Wahab Khalaf umpamanya, membahagikan hukum hakam yang dinyatakan al-Quran kepada tiga kategori induk, iaitu Hukum Hakam Akidah, Hukum Hakam Akhlak dan Hukum Hakam Amali. Iaitu hukum hakam berkaitan perbuatan manusia.



Hukum Hakam Amali ini pula terbahagi kepada dua bahagian yang besar, iaitu Hukum Hakam Ibadat dan Hukum Hakam Muamalat (transaksi).



Sementara itu, hukum hakam Muamalat pula dipecahkan kepada 7 bahagian, iaitu Hukum Hakam Kekeluargaan, Hukum Hakam Madani (sivil), Hukum Hakam Jenayah (hudud, qisas dan takzir), Hukum Hakam Perundangan, Hukum Hakam Kenegaraan, Hukum Hakam Antarabangsa dan Hukum Hakam Ekonomi (Abdul Wahab Khalaf (1998), Ilmu Usul al-Feqh, Mansurah : Darul Kalimah, ms.34-35).



Pembahagian ini memperlihatkan dengan jelas kedudukan hukum hudud sebagai salah satu juzuk daripada ‘binaan’ hukum hakam Islam yang besar, dan bukannya keseluruhan hukum hakam Islam itu sendiri.



Sementara kedudukannya dalam ‘jadual’ perlaksanaan pula ialah pada kedudukan atau tertib terakhir, seperti yang telah dinyatakan Qaradhawi.



Pandangan Qaradhawi ini turut dikongsi oleh Syaikh Muhammad Abdullah al-Khatib, seorang tokoh terkenal pergerakan Ikhwanul Muslimin masa kini, yang juga merupakan pengarang Risalah al-Ta'lim, Syarh Usul al-'Isyreen dan lain-lain.



Dengan ungkapan yang jelas, Muhammad Abdullah al-Khatib mengatakan,"hudud dalam Islam...datang pada [kedudukan] penghujung [proses] pensyariatan [hukum] kerana Islam lebih prihatin terhadap tangan manusia [daripada dipotong akibat mencuri], kehormatan, hak milik dan kehidupan mereka keseluruhannya".



Justeru, beliau menolak dakwaaan sesetengah pihak yang mengatakan perlaksanaan hukum hudud berada pada kedudukan teratas dalam ‘jadual perlaksanaan Islam’ berbanding hukum hakam yang lain.



Beliau menyatakan, "[hukum] hudud sebagaimana yang kamu lihat dengan syarat-syaratnya yang ketat, dan dengan [syarat] menyediakan keperluan-keperluan asas kepada setiap individu umat ini [sebelum melaksanakannya], datang pada [kedudukan] penghujung hukum hakam [Islam dari segi perlaksanaan], bukannya pada permulaannya, seperti yang didakwa sesetengah [pihak]".




Qaradhawi bagaimana pun tidak pula menyatakan dengan jelas, dalil yang menjadi asas kepada pandangan beliau ini. Namun, boleh difahami daripada bicara beliau ketika diwawancara oleh setesen satelit, al-Jazeera pada 10 Januari 2011 itu, dalilnya ialah waktu turun ayat-ayat yang memerintahkan perlaksanaan hukuman-hukuman hudud, iaitu zina, qazaf, mencuri,  dan hirabah.



Menurut beliau, ayat-ayat tersebut-yang memerintahkan perlaksanaan hukum hudud- adalah antara ayat-ayat terakhir dan pertengahan dari segi urutan penurunannya. Kedudukan pada tertib pertengahan dan terakhir ayat-ayat ini dari segi urutan penurunan, membawa makna ia juga berada pada kedudukan dan urutan yang sama dari segi perlaksanaan.



Oleh sebab itu, beliau menyatakan, “sebelum dilaksanakan [hukum] hudud, beri makan [terlebih dahulu] kepada orang  yang lapar, sediakan pekerjaan kepada penganggur, ajarkan orang yang jahil dan latih [para] pekerja. Mesti dilakukan ini [semua] sebelum melaksanakan [hukum] hudud”.


Bagi menyokong pandangannya berhubung kaedah perlaksanaan hudud ini, Qaradhawi juga dilihat berdalilkan dengan hakikat bahawa Islam tidak beria-ia mahu menghukum manusia yang melakukan kesalahan hudud. Hakikat ini adalah jelas kerana amalan Nabi SAW dan hadis-hadis Baginda sendiri menyatakan hal ini.


Jika demikian, umat Islam perlulah bergerak seiring dengan amalan Nabi SAW dari segi mengelak mengenakan hukuman hudud, meskipun ke atas orang yang datang membuat pengakuan secara sukarela.



Ini boleh dilakukan dengan berusaha menghapuskan segala perkara yang boleh mendorong manusia melakukan kesalahan hudud, seperti desakan, tekanan dan keperluan hidup.


Dari sinilah, perlunya hukum hakam Islam berkaitan kewajipan menjaga kebajikan rakyat, sifat kebersamaan dan apa sahaja yang menjurus ke arah penghapusan dorongan-dorongan jahat itu, didahulukan sebelum dilaksanakan hudud.


Dengan berbuat demikian, umat Islam telah bergerak seiring dengan amalan Nabi dari segi berusaha mengelak sedaya mungkin daripada mengenakan hukum hudud ke atas pesalah.



Kesimpulannya, kaedah perlaksanaan hukum hudud-seperti yang dijelaskan oleh Qaradhawi-ialah mendahulukan perlaksanaan Islam secara keseluruhan terlebih dahulu, sebelum melaksanakan hukum Allah itu.



Justeru, dalam keadaan perlaksanaan Islam secara menyeluruh ini belum selesai dalam sesebuah Negara Islam, hudud bukan sahaja tidak dilaksanakan, bahkan tidak juga diwartakan sebagai undang-undang Negara yang boleh dilaksanakan, sehinggalah urusan perlaksanaan Islam secara menyeluruh tadi selesai dijayakan.


Demikianlah yang difahami daripada penjelasan dan kenyataan-kenyataan Qaradhawi yang turut disokong oleh Muhammad Abdullah al-Khatib, yang disertakan petikannya dalam tulisan ini.



Pemahaman ini nampaknya selaras dengan tindakan Syaidina Umar r.a menangguhkan perlaksanaan hukum hudud secara total pada musim kelaparan, meskipun di kalangan rakyatnya tentu ada orang yang kaya atau berada yang terselamat daripada bencana kelaparan tersebut.



Tidak ada pula pihak yang membantah tindakan beliau itu dengan berhujjah bahawa hukum hudud perlu diteruskan seperti biasa, dengan membebaskan orang yang sabit mencuri disebabkan kelaparan dan mengenakan hukuman hudud ke atas orang yang terbukti mencuri bukan kerana desakan kelaparan.



Syaidina Umar tidak berbuat demikian. Sebaliknya beliau menangguhkan perlaksanaan hudud di musim kelaparan secara total.



Syaikh Qaradahwi, dengan pandangannya berhubung kaedah perlaksanaan hukum hudud ini, sesungguhnya telah membuat satu anjakan penting dalam diskusi dan wacana hudud, iaitu membuka perbincangan berkenaan aspek berkaitan hukum hudud yang tidak dibincangkan secara serius di negara ini, iaitu kaedah perlaksanaan hukum hudud dalam masyarakat.



Semoga dengan pandangan tokoh besar Islam ini, wacana hudud di negara ini tidak terus dikurung atau dilihat dikurung dalam skopnya yang lama, yang hanya berlegar di sekitar kewajipan melaksanakan hukum hudud, keadilan hukum hudud, kesesuaiannya dalam masyarakat majmuk dan seumpamanya.





 Shamsul Muda

Isnin, 29 Ogos 2011

Sunnah-sunnah Menyambut 'Eid

Posted by Abu Hannan On 7:21:00 PTG




Kita diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk sentiasa beramal dengan sunnahnya agar agama yang diamal tidak lari dari manhaj atau metodologi juga diterima oleh Allah s.w.t. Oleh kerana itu, tidak ada satupun berkenaan ibadah, Nabi s.a.w tinggalkan kecuali baginda meninggalkan juga satu petunjuk sunnah agar kita mampu untuk melaksanakan ibadah tersebut. 

Aidul Fitri menjelang tiba, kebiasaan masyarakat kita dinusantara sedang sibuk melakukan persiapan menjalang raya antara hari-hari terakhir ramadhan. Jika kita punya ilmu untuk mengetahui lailah al-Qadr itu, saya yakin, tidak ada yang sibuk ke pusat-pusat membeli belah, bahkan masjid-masjid akan menjadi padat buat seketika. 

Hari ini, Aidul Fitri sudah tidak lagi dilihat sebagai sebuah perayaan yang tunjangnya adalah keimanan, Aidil Fitri adalah sebuah keseronokan bebas seperti yang digambarkan oleh Kristian terhadap perayaan hari Natal. Lalu umat Islam yang disogok dengan cerita-cerita suka ria Krismas terpengaruh bahkan cuba untuk dipraktik di hari raya. “Hari rayakan hari kemenangan orang Islam, apa salahnya kita berseronok sakan pada hari ini?”.

Ya, hari raya adalah hari kemenangan untuk umat Islam. Ia bukan hari untuk bersedih-sedihan. Bukan juga hari untuk kita bergembira dan berhibur sehingga melampaui batas. Justeru itu, Rasulullah s.a.w banyak memberi tunjuk ajar kepada kita bagaimana menghidupkan hari raya aidul fitri mengikut lunas-lunas yang diredhai Allah. Sunnah mengajar agar Aidul Fitri dilihat sebagai sebuah perayaan keagamaan yang penuh disiplin. Apa yang Rasulullah ajarkan kepada kita?


                  

1. Banyak Bertakbir

Islam mensyariatkan bertakbir ketika mana masuknya tarikh 1 Syawal. Disunatkan bertakbir bila mana terlihat al-Hilal (anak bulan) syawal. Disunatkan juga bertakbir sehingga imam selesai membaca khutbah raya. Allah berfirman:

"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah:185. 

Antara sunnah yang sering kita tinggalkan adalah bertakbir dengan suara jahr (lantang) dalam perjalanan kita menuju ke masjid. Dalam hal ini, suka saya untuk merujuk komentar Syeikh Nasiruddin al-Albani r.h. katanya:

"Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini." Mencontohi Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32.

Mengapa perlu menguatkan suara? Ini adalah rangka kita menunjukkan syiar-syiar Islam di mana sahaja yang kita lalui. 

2. Memberi Ucapan Kepada Muslimin

Rasulullah menganjurkan kepada kita untuk saling memberi ucapan kepada sesiapa sahaja dari kalangan kaum muslimin di hari raya. Alhamdulillah, ini telah menjadi simbol utama masyarakat Islam di Malaysia. Walaubagaimanapun, sunnah ada mengajarkan kepada kita bagaimana ucapan yang terbaik untuk diucapkan. 

Disebut oleh Jubair bin Nufair r.a, Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fathul Bari ada menyebut: 

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”  Rujuk Fathul Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. (hadith hasan)

3. Mandi Di Pagi Raya

Apa yang dimaksudkan dengan mandi di pagi raya adalah mandi yang menyampaikan air ke seluruh anggota badan, sama seperti mandi wajib. Ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w sebelum bergegas ke tempat perlaksanaan solat aidul fitri. 

Imam Malik r.h. meriwayatkan sebuah hadith di dalam al-Muwatta’

Maksudnya : “Bawasanya ‘Abdullah bin ‘Umar seringkali akan mandi pada hari raya sebelum beliau keluar ke tempat solat Hari Raya di pagi hari raya.”

Mengikut pendapat ini, cukuplah untuk kita melihat perbuatan Ibn ‘Umar ini kerana beliau adalah sahabat yang paling kuat jiwanya dengan sunnah Rasulullah s.a.w. 

Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.

4. Bersarapan Terlebih Dahulu Sebelum Bersolat

Ini adalah contoh dari Rasulullah s.a.w. Baginda biasanya akan makan dahulu sebelum bergerak menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat aidul fitri. 

Hikmah dari perbuatan ini adalah untuk mengelakkan andaian bahawa satu syawal bukan lagi hari untuk berpuasa. Pernah diceritakan oleh Anas Bin Malik yang katanya:

“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no 953 

Hadith ini tidaklah bererti yang kita tidak boleh makan selain dari kurma. Cuma adalah baik untuk kita menuruti sunnah Baginda, kerana di sebalik sunnah itu, terselit banyak hikmahnya.

5. Memakai Pakaian Yang Cantik

Masyarakat Malaysia hari ini, jika menyambut hari lebaran, mereka akan mengenakan pakaian baru yang cantik dan berwarna warni. Inilah sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. 

Dalam hal ini, saya suka untuk merujuk pendapat Imam al-Syafie r.h. Katanya sepertimana dipetik:

“Aku sangat suka jika seseorang itu memakai pakaian yang paling baik yang ada dalam simpanannya pada hari-hari raya, iaitu Hari Jumaat, dua Hari Raya (Aidul Fitri dan Aidul Adha) dan tempat di mana di adakan majlis (seperti majlis walimah). Hendaklah dia memakai pakaian yang bersih dan memakai wangian” Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Wanita juga turut serta dalam seruan ini kecuali wanita hendaklah mengelakkan dari memakai pakaian yang menarik minat kaum lelaki untuk melihatnya, apatah lagi mengenakan wangi-wangian yang menghidupkan syahwat lelaki. Dalam hal ini, jika wanita melakukan demikian, ia akan dihukum berdosa berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w:

"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina." Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no 5036

Walaubagaimanapun, hadith ini tidak bermaksud untuk wanita itu sentiasa dalam keadaan busuk, tetapi memadailah wangian itu untuk menghilangkan bau busuk. Tidak mengapa untuk wanita berwangi-wangian ketika bersama suami dan ahli keluarga. 

6. Berjalan Kaki Ke Tempat Solat & Melalui Jalan Yang Berbeza

‘Ali r.a di dalam atsarnya menyebut: 

“Adalah sunnah jika engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat didirikan dan memakan sesuatu sebelum berjalan menuju ke tempat solat” Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no 487

Ini tidak bererti, sesiapa yang jauh rumahnya dari tempat solat juga perlu berjalan kaki, menggunakan kenderaan tidak dilarang untuk ke tempat solat, Cuma sebaiknya adalah dengan mengikut sunnah ini.

Rasulullah s.a.w juga mengajarkan kepada kita bahawa membezakan jalan pergi dan pulang dari tempat menunaikan solat hari raya adalah salah satu dari sunnah baginda. Jabir Bin Abdullah r.a berkata:

"Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya." Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no 986 

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:

"Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untuk memberi barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikan darjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya."  Rujuk Zaadul Ma'ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49, dinukil dari tulisan Mohd Yakub Yunus.

7. Mengerjakan Solat Hari Raya

Solat Hari Raya adalah syiar utama ketika menyambut hari raya. Rasulullah dan para sahabat r.anhum mengerjakan solat hari raya. Yang membezakannya dengan solat-solat lain, Rasulullah mengerjakannya di tanah lapang dan bukannya di masjid. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

"Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah)."  Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no 956

Solat sunat hari raya dilakukan sebanyak dua rakaat tanpa ada solat sunat sebelum dan selepasnya. Ini berdasarkan hadith dari Ibnu Abbas r.a:

"Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no 989

Seusai Rasulullah s.a.w mengimami solat sunat hari raya, Rasulullah s.a.w akan berpaling kebelakang untuk berkhutbah, apa pun, khutbah ini adalah sunnah, sesiapa yang ingin mendengarnya adalah lebih baik, sesiapa yang ingin beredar, itu tidak mengapa. Ini berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w seperti berikut:

"Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah)."  Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no 956

Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata: 

"Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar." Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no 975 

8. Bergembira & Bukannya Bersedih Di Hari Raya

Islam menganjurkan kepada kita untuk bergembira di pagi hari raya dan bukannya bersedih-sedihan. Apa yang berlaku di tanah air kita hari ini ialah, pagi raya dijadikan hari untuk bersedih dengan menziarahi kuburan. Inilah hari yang Allah jadikan untuk umat Islam bergembira, bergurau senda, bertamu di rumah saudara mara dan sahabat handai dan menggembirakan orang-orang miskin dengan pergi untuk menziarahi mereka. Tetapi perlu diingat, hiburan tersebut hendaklah sesuai dengan kehendak syarak dan bukannya melanggar batas-batas akhlak yang diajarkan oleh Rasulullah.

9. Puasa Enam di Bulan Syawal

Rasulullah s.a.w ada bersabda sepertimana yang dicatat oleh Imam Muslim di dalam sahihnya:

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun."  Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no 1164

Tidak menjadi kesalahan jika melakukan puasa enam hari di bulan syawal ini secara tidak berturut-turut. Tetapi ada pendapat yang menyatakan bahawa puasa berturut-turut selepas 1 syawal itu adalah lebih afdhal. 

Ada perbuatan yang yang menyatukan puasa qadha’ dan puasa sunat enam hari ini dalam satu puasa. Ini adalah satu kesalahan yang bersalahan dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Ini kerana tidak ada petunjuk dari Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang melakukan puasa dua dalam satu ini. Sebaiknya untuk kita mengasingkan puasa kita mengikut niat. Tidak mengapa untuk mendahului puasa sunat enam hari ini dari puasa qadha’.

Penutup

Semoga hari raya kali ini dapat kita jadikan titik permulaan kepada kita untuk menyambut sebaik mungkin berdasarkan acuan sunnah Rasulullah s.a.w yang semakin ditinggalkan. Hari ini, aidulfitri disambut seolah-seolah tidak ada ruh al-Din dalam perayaan tersebut. Racangan-rancangan tv yang menghidangkan hiburan yang melampau membuatkan semangat ramadhan hilang serta merta. 

Marilah kita sama-sama menghidupkan sunnah sunnah Rasulullah s.a.w ini dengan ikhlas. Siapa lagi untuk diharapkan bagi menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w ketika umat sedang rosak dan pelik dengan sunnah melainkan kita sendiri yang wajib menghidupkannya. 

Perjalanan

Tembusi Petra, Jordan Slideshow: BenTaleb’s trip was created by TripAdvisor. Create a free slideshow with music from your travel photos.
Sabda Baginda SAW ; "Ketahuilah ia (Dajjal) berada di laut Syam atau laut Yaman.. akan datang dari arah timur (lalu menunjukkan dengan tangan baginda).."[Riwayat Muslim]. Daripada Abi Bakr al-Siddiq r.a, sabda Baginda SAW, "Dajjal akan muncul ke bumi dari arah timur bernama KHURASAN." [Riwayat al-Tirmizi]. Daripada Anas bin Malik r.a, sabda Baginda SAW, "Dajjal akan keluar dari kota Yahudi ISFAHAN (Khurasan, IRAN) bersama 70,000 penduduk ISFAHAN". [Fath al-Rabbani Tartib Musnad Ahmad. Ibn Hajar berkata : "Sahih"]. Ibn Kathir berkata, Dajal pada mulanya akan muncul dari ISFAHAN dari sebuah kota Yahudi [al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim]. ISFAHAN adalah sebuah bandar terbesar YAHUDI di Iran dan pusat loji nuklear Iran pada masa kini.